Selasa, Disember 24, 2019

Sedekad Buku/Teater/Filpen Ridhwan Saidi

Waktu tatal fon saya temui banyak senarai sepanjang dekad di laman-laman web tak kira dari segi buku, teater, muzik mahupun filem dari negara luar. Ini mengingatkan saya betapa saya sebagai penulis dan pembikin muncul secara formatif dalam dekad 2010-2019.

Disenaraikan kerja-kerja tulisan dan bikinan saya secara stand alone dan singular, tidak temasuk antologi buku yang melibatkan orang lain, werk dalam skala zine, mahupun pementasan playlet/monolog yang melibatkan ramai pembikin lain seperti Teater Modular/Projek Suitcase, atau play double bill yang mana saya cuma bikin satu daripadanya seperti Stereo Genmai di Urbanscapes tempoh hari, dan malah juga hal yang saya co-curate seperti Pesta Playlet dan LiteraTur, dan juga filpen yang saya sunting dari found image di internet seperti Z, dan saya juga tak masukkan kerja-kerja muzik bikinan Joni Atari kerana ia bakal jadi lebih kompleks. Kenapa saya asingkan? Mungkin sebab kalau saya senaraikan semua ia akan jadi macam CV. Lagi pula tak pernah saya asingkan karya saya sebegini rupa, jadi saya mahu tengok apa yang tinggal. Selain itu filpen Sesuap Kaseh walaupun dibikin tahun ini, ia akan ditayang awal tahun depan sempena ulangtahun kelima Wayang Budiman, jadi saya kira filpen ini bertemu dengan audiens pada tahun 2020.

Adakala ia disusun, adakala ia didesain, dan adakala ia digubah. Saya kepilkan sedikit imejan bagi setiap hasil kerja/projek agar ia menerbitkan sedikit bayangan buat para pembaca. Jika ada cover buku yang anda berminat nak beli, jangan segan jangan silu untuk hubungi Moka Mocha Ink.


2010
filpen Perempuan, Hantu dan Skandal  |  filpen Cinta Cokelat

Rata-rata kerja yang saya bikin, posternya saya yang desain, dan dalam contoh di atas, ketara bahawa saya gemarkan sesuatu yang simple dan minimal. Ini akan terpancar terutama pada kerja-kerja teater saya di mana setiap gerakan dan kata-kata amat jernih dan tepat, dan di-compose untuk dapatkan suatu harmoni dengan void dan ruang kosong dan kesunyian—bila untuk berbunyi, dan bila untuk tiada bunyi. Foto kanan ialah Mama Afzan, dan asalnya beliau production manager untuk projek filpen Cinta Cokelat, tapi kita devised kembali kerana salah seorang aktor tak dapat join. Task-nya adalah untuk jadi pelayan di sebuah restoran koboi, dan akan main mata dengan salah seorang pelanggan.


2011
novel Cekik  |  novel Amerika  |  filpen Broga Rendezvous

Cekik novel pertama saya diterbitkan Buku Fixi. Dikisahkan ada 10 orang diajak untuk tulis novel dan saya salah seorang daripada tiga orang yang siap untuk pelancaran pertama. Amerika novel kedua saya dan secara langsung membentuk Moka Mocha Ink. Dari sini kita melawat ke kilang dan pelajari proses kemenjadian sebuah buku. Kita mula guna bulky paper yang lebih ada feel dan ringan (ketika itu kertas simile putih lebih popular). Ingat lagi saya sewaktu memberikan senaskah novel Amerika ke Pak Agi (Abdul Ghafar Ibrahim) dan beliau katakan, desain buku ini seperti paperback yang dicetak di Amerika. Saya tak pasti mahu rasa apa, tapi saya bangga untuk cetak ‘dicetak di Malaysia’ di belakang buku Amerika ini agar semua orang tahu ia dibikin di mana :-) Filpen Broga Rendezvous dibikin seminggu selepas kita shoot filpen Kasturi di mana ia merupakan satu tindakbalas di mana Kasturi filpen yang didana dan berbajet tinggi, manakala Broga Rendezvous digerakkan secara sifar dana. Kedua-duanya penting dan saya tiada prejudis terhadap karya berdana atau tidak berdana, kedua-duanya karya yang perlu diambil serius dan dibikin betul-betul.


2012
filpen Kasturi  |  novel Mautopia  |  novel Stereo Genmai

Seperkara yang menarik tentang Kasturi ialah ia melibatkan sekumpulan penari istana, dan kita rehearse di DBP, sebelum rakaman dibikin di dalam Stor DBP. Saya beberapa kali tonton teater di sini, dan tidak pernah bikin teater, tetapi pengalaman untuk shoot Kasturi di Stor DBP (desain lama) membekas. Antara yang saya ingat ialah, mereka menari tarian tradisional, diimprovisasi dari Tari Tualang Tiga tapi dipasangkan dengan rentak muzik New Order, Bizarre Love Triangle. Mautopia novel pertama saya dengan protagonis perempuan, kerana saya lenguh dan penat juga asyik tulis novel dengan protagonis lelaki, dan ini diikuti dengan Stereo Genmai kembali dengan protagonis lelaki. Saya tidak pasti jika saya berjaya atau tidak (menulis watak perempuan), dan ini akan saya ulangi lagi sewaktu menulis novel Babyrina.


2013
filpen Sesudah Suboh

Saya tidak prolifik tahun ini kerana saya sedang bekerja, dan ia ambil masa 2 tahun untuk saya siapkan novel Babyrina. Saya sempat bikin filpen Sesudah Suboh, dan Fasyali terlibat sebagai casting director, dan task-nya adalah untuk cari watak pelakon dengan wajah yang diyakini vampire. Untuk projek ni kita shoot pakai filem 16mm dan 35mm still. Saya yang meminati fotografi sejak universiti atau dari kecil, hanya sempat belajar cuci filem ketika ini. Saya belajar dari internet dan pesan filem dan chemical dari Amerika.


2014
novel Babyrina  |  terjemahan novel Konsum

Novel Babyrina terbit, dengan protagonis perempuan, tentang murder mystery yang sudah pun saya beberapa kali bikin via filpen. Nuansa noir dan pembunuhan gelap ini akan terserap ke dalam teater saya seperti Hotel Berdarah dan Matinya Seorang Birokrat beberapa tahun kemudian, barangkali kerana negara kita masih dibelenggu dengan kes-kes yang tergendala dan penuh misteri. Dalam waktu sama saya terjemah novel David Cronenberg dalam mendalami pemikirannya, paranoia siber, 3D printing body horror dan konspirasi politik antarabangsa yang menggerunkan. Kebetulan Konsum dan Babyrina dalam satu jenis tenaga perversion yang sama. Ketika ini KLAB berlangsung di The Annexe Gallery, lokasi di tengah kota yang menarik untuk melakukan aktiviti selain Stor DBP tadi.


2015
novel Brazil  |  filpen The Harlot, The Client, His Wife and Her Lover  |  filpen Lunch Time

Brazil novel kedua saya terbitan Fixi, dan seperti filem Once Upon A Time in Hollywood oleh Tarantino atau The Irishmen oleh Scorsese, ia umpama sebentuk surat cinta, cuma ia surat cinta terhadap perasaan balik kampung, saudade, melankoli seorang perantau. Dan seperti dinamik Kasturi-Broga Rendezvous, filpen Lunch Time dibikin seminggu selepas The Harlot, The Client, His Wife and Her Lover, kerana ada urgency yang saya sendiri tidak pasti apa, malah sehingga hari ini tiap kali saya berkarya, tidak pasti apa daya yang mengerah saya untuk melakukannya. Jika The Harlot lebih terancang dan kolaboratif, malah ini pertama kali sesi bikin filpen yang ada katering, dibekalkan oleh Nazim Masnawi dengan masakan nasi ayam, kontras dengan filpen yang lebih bebas dan penuh improvisasi lakonan Nazim pula di sekitar taman di mana saya diam.


2016
koleksi puisi Holokos  |  filpen Roti Tisu: Atau Sebuah Filem Tentang Kiamat

Pada saya puisi adalah sesuatu yang kita baca (dan dengar dalam kepala) lalu entah mengapa ia trigger suatu perasaan yang profound. Untuk ia berlaku, ia mesti diberi peluang dan terjadi di waktu yang paling kita tak jangka. Puisi mesti datang secara berkumpulan sebab pasti cuma beberapa yang menjadi dalam satu sesi bacaan yang kita buat. Semua puisi tak boleh berkesan serentak sepanjang buku, kerana ia perlu ada rongga-rongga yang boleh beri kita sedikit ruang untuk termenung atau bernafas. Untuk sebuah puisi menjadi amat sukar, tetapi untuk ia ketara tidak jadi amat mudah jika mata dan pendengaran kita sudah terlatih dengan bacaan luas tentang semua bentuk puisi dari seluruh pelusuk dunia. Saya tiada niat untuk ada buku puisi, dan dalam kes Holokos ini ia merupakan koleksi yang terkumpul dari 7 zine yang pernah diterbitkan dan dijual sebelum ini, termasuk satu isi set zine yang terus ke buku. Filem Roti Tisu: Atau Sebuah Filem Tentang Kiamat merupakan salah satu filpen bagi tayangan sempena ulangtahun Temasya Wayang Budiman pertama.


2017
koleksi cerpen Pengembaraan Shell-Searching Seekor Umang-Umang Rock n’ Roll dan lain-lain cerita  |  koleksi esei Stereograf: 33 Esei  |  filpen Empu

Cerpen-cerpen saya yang berterabur di dalam antologi dan internet ditemukan di dalam buku Pengembaraan Shell-Searching Seekor Umang-Umang Rock n’ Roll dan lain-lain cerita. Ia lucu kerana bila berhadapan dengan cerpen saya gemar gunakan judul panjang, inspirasi Sufian Abas dan Etger Keret, dan ini akan berlanjutan ke judul monolog pertama saya berdurasi 20 minit iaitu Kisah Lelaki Yang Dapat Pencerahan Setelah Kasutnya Dicuri Di Masjid Pada Suatu Petang. Saya ada cita-cita untuk teruskan siri monolog dengan judul panjang ini, dan suatu masa kesemuanya akan dibukukan dengan judul Monolog Dengan Judul Panjang. Stereograf: 33 Esei menghimpunkan teks non-fiksyen yang saya garap khas. Saya dengan mudah boleh kompilasikan semua entri dari blog ini, tetapi saya tidak semalas itu. Ada hal lain yang ingin saya teroka melalui 33 esei yang ditulis dan dibukukan ini. Malah boleh saya katakan, esei-esei dalam buku ini tidak sesuai untuk saya post-kan ia di sini sebagai entri blog. Tempatnya di dalam buku, dan di situ anda baca. Empu filpen yang nampak kaos, tapi ada order, tentang siapa yang memimpikan siapa lakonan Mia Sabrina Mahadir dan Fara Kafli.


2018
teater normcore: Double Bill [Tiada Cinta Selama Muda x Matinya Seorang Birokrat]  |  teater normcore: Stereo Genmai  |  filpen Misteri Atas Meja

Ini tahun pertama saya bikin teater dan saya tiba dengan dua naskhah teater sebabak; satu puitis dan melankolik, manakala satu lagi lebih realistik dan lucu. Ini diikuti dengan naskhah full length iaitu Stereo Genmai. Buat mereka yang sudah baca novel Stereo Genmai, mereka akan tahu bahawa world building-nya complex dan ia perlu diselesaikan sebelum kita dapat masuk ke karakter. Dalam versi teater, ini sekolah adaptasi kedua saya (yang pertama Mautopia) kerana saya kena pandai-pandai sendiri untuk pastikan audiens dapat tangkap dunianya dahulu, sebelum kita masuk ke karakter dan drama. Ia hanya apabila dunia Stereo Genmai ini diyakini dan dipercayai audiens, baru kita dapat rasa tragis yang melanda si protagonisnya K. M. Raslan. Antara hal menarik tentang Stereo Genmai ini ialah, saya dapat bikin teater dengan watak novelis, yang mana selalunya saya dapati bila watak novelis dipaparkan orang lain, ia akan dipaparkan secara stereotaip dan klise, iaitu novelis ini akan pakai spek bulat dan taip guna typewriter. Telah dua kali saya garap play Stereo Genmai ini secara berbeza (satu lagi sewaktu Urbanscapes) dan kedua-duanya tak memerlukan saya ada prop mesin taip atau spek bulat. Kadang-kadang saya ada terfikir, andai ada pengarah lain ambil skrip saya ini, hal pertama yang akan dibikin barangkali si novelis ini perlu pakai spek bulat atau menaip dengan typewriter. Jika ini berlaku, jauhi play ini dengan segera. Filpen Misteri Atas Meja dibikin sempena ulangtahun ketiga Wayang Budiman. Sebentuk table top theatre, ia merupakan satu statement bahawa diri saya sudah terserap masuk ke dalam teater, hinggakan filpen saya pun digarap seperti teater.


2019
teater normcore: Double Bill at George Town Festival 2019 [Retak Menanti Belah x Matinya Seorang Birokrat] | koleksi playlet Teater Modular Box Set | filpen Sisa Binasa | teater normcore: Hamlet Fansuri

Sudah saya ceritakan kerja-kerja tahun ini di entri Apa Yang Dibuat Untuk Tahun 2019 termasuk nikmat membikin Hamlet Fansuri, iaitu teater dengan kolektif teramai iaitu sebanyak 10 orang. Asalnya saya banyak tulis skrip 2-3 hander sebab saya fikir saya tak boleh handle ramai aktor dan performer, tapi rupanya saya boleh, syukur! Dan secara retrospek baru saya sedar Teater Modular fasa pertama telah selamat difizikalkan via Teater Modular Box Set. Fasa kedua di dekad seterusnya akan membolehkan saya lebih teroka dan experimentasikan garapan-garapan performans bagi setiap playlet Teater Modular. Meski Teater Modular bermula di tahun 2017, dan ketika itu saya masih di takah playwright dan tak tahu apa tentang teater, serta baru berjinak-jinak direct playlet. Kita boleh anggap 2018 tahun freshman saya, dan 2019 tahun sophomore, dan 2020 tahun junior, dan 2021 tahun senior. Masih ada dua tahun di hadapan sebelum saya peroleh ijazah dalam performance/theatre-making menerusi universiti kehidupan ini. Blog ini muncul di tahun 2008 iaitu di awal permulaan saya berjinak-jinak dengan filpen. Ia kombo menulis dan membikin di mana saya mula belajar dan bekerja. Menuju ke dekad seterusnya demi sesuap sastera, kehidupan dan memori.


Ridhwan Saidi