Selasa, Disember 24, 2019

Sedekad Buku/Teater/Filpen Ridhwan Saidi

Waktu tatal fon saya temui banyak senarai sepanjang dekad di laman-laman web tak kira dari segi buku, teater, muzik mahupun filem dari negara luar. Ini mengingatkan saya betapa saya sebagai penulis dan pembikin muncul secara formatif dalam dekad 2010-2019.

Disenaraikan kerja-kerja tulisan dan bikinan saya secara stand alone dan singular, tidak temasuk antologi buku yang melibatkan orang lain, werk dalam skala zine, mahupun pementasan playlet/monolog yang melibatkan ramai pembikin lain seperti Teater Modular/Projek Suitcase, atau play double bill yang mana saya cuma bikin satu daripadanya seperti Stereo Genmai di Urbanscapes tempoh hari, dan malah juga hal yang saya co-curate seperti Pesta Playlet dan LiteraTur, dan juga filpen yang saya sunting dari found image di internet seperti Z, dan saya juga tak masukkan kerja-kerja muzik bikinan Joni Atari kerana ia bakal jadi lebih kompleks. Kenapa saya asingkan? Mungkin sebab kalau saya senaraikan semua ia akan jadi macam CV. Lagi pula tak pernah saya asingkan karya saya sebegini rupa, jadi saya mahu tengok apa yang tinggal. Selain itu filpen Sesuap Kaseh walaupun dibikin tahun ini, ia akan ditayang awal tahun depan sempena ulangtahun kelima Wayang Budiman, jadi saya kira filpen ini bertemu dengan audiens pada tahun 2020.

Adakala ia disusun, adakala ia didesain, dan adakala ia digubah. Saya kepilkan sedikit imejan bagi setiap hasil kerja/projek agar ia menerbitkan sedikit bayangan buat para pembaca. Jika ada cover buku yang anda berminat nak beli, jangan segan jangan silu untuk hubungi Moka Mocha Ink.


2010
filpen Perempuan, Hantu dan Skandal  |  filpen Cinta Cokelat

Rata-rata kerja yang saya bikin, posternya saya yang desain, dan dalam contoh di atas, ketara bahawa saya gemarkan sesuatu yang simple dan minimal. Ini akan terpancar terutama pada kerja-kerja teater saya di mana setiap gerakan dan kata-kata amat jernih dan tepat, dan di-compose untuk dapatkan suatu harmoni dengan void dan ruang kosong dan kesunyian—bila untuk berbunyi, dan bila untuk tiada bunyi. Foto kanan ialah Mama Afzan, dan asalnya beliau production manager untuk projek filpen Cinta Cokelat, tapi kita devised kembali kerana salah seorang aktor tak dapat join. Task-nya adalah untuk jadi pelayan di sebuah restoran koboi, dan akan main mata dengan salah seorang pelanggan.


2011
novel Cekik  |  novel Amerika  |  filpen Broga Rendezvous

Cekik novel pertama saya diterbitkan Buku Fixi. Dikisahkan ada 10 orang diajak untuk tulis novel dan saya salah seorang daripada tiga orang yang siap untuk pelancaran pertama. Amerika novel kedua saya dan secara langsung membentuk Moka Mocha Ink. Dari sini kita melawat ke kilang dan pelajari proses kemenjadian sebuah buku. Kita mula guna bulky paper yang lebih ada feel dan ringan (ketika itu kertas simile putih lebih popular). Ingat lagi saya sewaktu memberikan senaskah novel Amerika ke Pak Agi (Abdul Ghafar Ibrahim) dan beliau katakan, desain buku ini seperti paperback yang dicetak di Amerika. Saya tak pasti mahu rasa apa, tapi saya bangga untuk cetak ‘dicetak di Malaysia’ di belakang buku Amerika ini agar semua orang tahu ia dibikin di mana :-) Filpen Broga Rendezvous dibikin seminggu selepas kita shoot filpen Kasturi di mana ia merupakan satu tindakbalas di mana Kasturi filpen yang didana dan berbajet tinggi, manakala Broga Rendezvous digerakkan secara sifar dana. Kedua-duanya penting dan saya tiada prejudis terhadap karya berdana atau tidak berdana, kedua-duanya karya yang perlu diambil serius dan dibikin betul-betul.


2012
filpen Kasturi  |  novel Mautopia  |  novel Stereo Genmai

Seperkara yang menarik tentang Kasturi ialah ia melibatkan sekumpulan penari istana, dan kita rehearse di DBP, sebelum rakaman dibikin di dalam Stor DBP. Saya beberapa kali tonton teater di sini, dan tidak pernah bikin teater, tetapi pengalaman untuk shoot Kasturi di Stor DBP (desain lama) membekas. Antara yang saya ingat ialah, mereka menari tarian tradisional, diimprovisasi dari Tari Tualang Tiga tapi dipasangkan dengan rentak muzik New Order, Bizarre Love Triangle. Mautopia novel pertama saya dengan protagonis perempuan, kerana saya lenguh dan penat juga asyik tulis novel dengan protagonis lelaki, dan ini diikuti dengan Stereo Genmai kembali dengan protagonis lelaki. Saya tidak pasti jika saya berjaya atau tidak (menulis watak perempuan), dan ini akan saya ulangi lagi sewaktu menulis novel Babyrina.


2013
filpen Sesudah Suboh

Saya tidak prolifik tahun ini kerana saya sedang bekerja, dan ia ambil masa 2 tahun untuk saya siapkan novel Babyrina. Saya sempat bikin filpen Sesudah Suboh, dan Fasyali terlibat sebagai casting director, dan task-nya adalah untuk cari watak pelakon dengan wajah yang diyakini vampire. Untuk projek ni kita shoot pakai filem 16mm dan 35mm still. Saya yang meminati fotografi sejak universiti atau dari kecil, hanya sempat belajar cuci filem ketika ini. Saya belajar dari internet dan pesan filem dan chemical dari Amerika.


2014
novel Babyrina  |  terjemahan novel Konsum

Novel Babyrina terbit, dengan protagonis perempuan, tentang murder mystery yang sudah pun saya beberapa kali bikin via filpen. Nuansa noir dan pembunuhan gelap ini akan terserap ke dalam teater saya seperti Hotel Berdarah dan Matinya Seorang Birokrat beberapa tahun kemudian, barangkali kerana negara kita masih dibelenggu dengan kes-kes yang tergendala dan penuh misteri. Dalam waktu sama saya terjemah novel David Cronenberg dalam mendalami pemikirannya, paranoia siber, 3D printing body horror dan konspirasi politik antarabangsa yang menggerunkan. Kebetulan Konsum dan Babyrina dalam satu jenis tenaga perversion yang sama. Ketika ini KLAB berlangsung di The Annexe Gallery, lokasi di tengah kota yang menarik untuk melakukan aktiviti selain Stor DBP tadi.


2015
novel Brazil  |  filpen The Harlot, The Client, His Wife and Her Lover  |  filpen Lunch Time

Brazil novel kedua saya terbitan Fixi, dan seperti filem Once Upon A Time in Hollywood oleh Tarantino atau The Irishmen oleh Scorsese, ia umpama sebentuk surat cinta, cuma ia surat cinta terhadap perasaan balik kampung, saudade, melankoli seorang perantau. Dan seperti dinamik Kasturi-Broga Rendezvous, filpen Lunch Time dibikin seminggu selepas The Harlot, The Client, His Wife and Her Lover, kerana ada urgency yang saya sendiri tidak pasti apa, malah sehingga hari ini tiap kali saya berkarya, tidak pasti apa daya yang mengerah saya untuk melakukannya. Jika The Harlot lebih terancang dan kolaboratif, malah ini pertama kali sesi bikin filpen yang ada katering, dibekalkan oleh Nazim Masnawi dengan masakan nasi ayam, kontras dengan filpen yang lebih bebas dan penuh improvisasi lakonan Nazim pula di sekitar taman di mana saya diam.


2016
koleksi puisi Holokos  |  filpen Roti Tisu: Atau Sebuah Filem Tentang Kiamat

Pada saya puisi adalah sesuatu yang kita baca (dan dengar dalam kepala) lalu entah mengapa ia trigger suatu perasaan yang profound. Untuk ia berlaku, ia mesti diberi peluang dan terjadi di waktu yang paling kita tak jangka. Puisi mesti datang secara berkumpulan sebab pasti cuma beberapa yang menjadi dalam satu sesi bacaan yang kita buat. Semua puisi tak boleh berkesan serentak sepanjang buku, kerana ia perlu ada rongga-rongga yang boleh beri kita sedikit ruang untuk termenung atau bernafas. Untuk sebuah puisi menjadi amat sukar, tetapi untuk ia ketara tidak jadi amat mudah jika mata dan pendengaran kita sudah terlatih dengan bacaan luas tentang semua bentuk puisi dari seluruh pelusuk dunia. Saya tiada niat untuk ada buku puisi, dan dalam kes Holokos ini ia merupakan koleksi yang terkumpul dari 7 zine yang pernah diterbitkan dan dijual sebelum ini, termasuk satu isi set zine yang terus ke buku. Filem Roti Tisu: Atau Sebuah Filem Tentang Kiamat merupakan salah satu filpen bagi tayangan sempena ulangtahun Temasya Wayang Budiman pertama.


2017
koleksi cerpen Pengembaraan Shell-Searching Seekor Umang-Umang Rock n’ Roll dan lain-lain cerita  |  koleksi esei Stereograf: 33 Esei  |  filpen Empu

Cerpen-cerpen saya yang berterabur di dalam antologi dan internet ditemukan di dalam buku Pengembaraan Shell-Searching Seekor Umang-Umang Rock n’ Roll dan lain-lain cerita. Ia lucu kerana bila berhadapan dengan cerpen saya gemar gunakan judul panjang, inspirasi Sufian Abas dan Etger Keret, dan ini akan berlanjutan ke judul monolog pertama saya berdurasi 20 minit iaitu Kisah Lelaki Yang Dapat Pencerahan Setelah Kasutnya Dicuri Di Masjid Pada Suatu Petang. Saya ada cita-cita untuk teruskan siri monolog dengan judul panjang ini, dan suatu masa kesemuanya akan dibukukan dengan judul Monolog Dengan Judul Panjang. Stereograf: 33 Esei menghimpunkan teks non-fiksyen yang saya garap khas. Saya dengan mudah boleh kompilasikan semua entri dari blog ini, tetapi saya tidak semalas itu. Ada hal lain yang ingin saya teroka melalui 33 esei yang ditulis dan dibukukan ini. Malah boleh saya katakan, esei-esei dalam buku ini tidak sesuai untuk saya post-kan ia di sini sebagai entri blog. Tempatnya di dalam buku, dan di situ anda baca. Empu filpen yang nampak kaos, tapi ada order, tentang siapa yang memimpikan siapa lakonan Mia Sabrina Mahadir dan Fara Kafli.


2018
teater normcore: Double Bill [Tiada Cinta Selama Muda x Matinya Seorang Birokrat]  |  teater normcore: Stereo Genmai  |  filpen Misteri Atas Meja

Ini tahun pertama saya bikin teater dan saya tiba dengan dua naskhah teater sebabak; satu puitis dan melankolik, manakala satu lagi lebih realistik dan lucu. Ini diikuti dengan naskhah full length iaitu Stereo Genmai. Buat mereka yang sudah baca novel Stereo Genmai, mereka akan tahu bahawa world building-nya complex dan ia perlu diselesaikan sebelum kita dapat masuk ke karakter. Dalam versi teater, ini sekolah adaptasi kedua saya (yang pertama Mautopia) kerana saya kena pandai-pandai sendiri untuk pastikan audiens dapat tangkap dunianya dahulu, sebelum kita masuk ke karakter dan drama. Ia hanya apabila dunia Stereo Genmai ini diyakini dan dipercayai audiens, baru kita dapat rasa tragis yang melanda si protagonisnya K. M. Raslan. Antara hal menarik tentang Stereo Genmai ini ialah, saya dapat bikin teater dengan watak novelis, yang mana selalunya saya dapati bila watak novelis dipaparkan orang lain, ia akan dipaparkan secara stereotaip dan klise, iaitu novelis ini akan pakai spek bulat dan taip guna typewriter. Telah dua kali saya garap play Stereo Genmai ini secara berbeza (satu lagi sewaktu Urbanscapes) dan kedua-duanya tak memerlukan saya ada prop mesin taip atau spek bulat. Kadang-kadang saya ada terfikir, andai ada pengarah lain ambil skrip saya ini, hal pertama yang akan dibikin barangkali si novelis ini perlu pakai spek bulat atau menaip dengan typewriter. Jika ini berlaku, jauhi play ini dengan segera. Filpen Misteri Atas Meja dibikin sempena ulangtahun ketiga Wayang Budiman. Sebentuk table top theatre, ia merupakan satu statement bahawa diri saya sudah terserap masuk ke dalam teater, hinggakan filpen saya pun digarap seperti teater.


2019
teater normcore: Double Bill at George Town Festival 2019 [Retak Menanti Belah x Matinya Seorang Birokrat] | koleksi playlet Teater Modular Box Set | filpen Sisa Binasa | teater normcore: Hamlet Fansuri

Sudah saya ceritakan kerja-kerja tahun ini di entri Apa Yang Dibuat Untuk Tahun 2019 termasuk nikmat membikin Hamlet Fansuri, iaitu teater dengan kolektif teramai iaitu sebanyak 10 orang. Asalnya saya banyak tulis skrip 2-3 hander sebab saya fikir saya tak boleh handle ramai aktor dan performer, tapi rupanya saya boleh, syukur! Dan secara retrospek baru saya sedar Teater Modular fasa pertama telah selamat difizikalkan via Teater Modular Box Set. Fasa kedua di dekad seterusnya akan membolehkan saya lebih teroka dan experimentasikan garapan-garapan performans bagi setiap playlet Teater Modular. Meski Teater Modular bermula di tahun 2017, dan ketika itu saya masih di takah playwright dan tak tahu apa tentang teater, serta baru berjinak-jinak direct playlet. Kita boleh anggap 2018 tahun freshman saya, dan 2019 tahun sophomore, dan 2020 tahun junior, dan 2021 tahun senior. Masih ada dua tahun di hadapan sebelum saya peroleh ijazah dalam performance/theatre-making menerusi universiti kehidupan ini. Blog ini muncul di tahun 2008 iaitu di awal permulaan saya berjinak-jinak dengan filpen. Ia kombo menulis dan membikin di mana saya mula belajar dan bekerja. Menuju ke dekad seterusnya demi sesuap sastera, kehidupan dan memori.


Ridhwan Saidi

Isnin, Disember 09, 2019

Tindakan Performatif Yang Diaksikan Setakat Ini

Lucu, antara respon spontan orang apabila saya cakap ‘saya buat teater’ ialah, mereka fikir saya pelakon. Ia stereotaip umum untuk nampak imej orang sedang berlakon di dalam teater, ia terlalu ketara. Tapi saya sedar, bukan sebab saya tak boleh hafal skrip atau paling kurang tak boleh berlakon pun, alasan terkuat kenapa saya tak nak berlakon adalah sebab di Malaysia kita sudah ada ramai pelakon (serta mereka yang ada daya dan keinginan berlakon), tidak kurang yang berbakat dan berpotensi. Saya fikir, dari saya develop diri saya jadi pelakon dan mengganggu periuk nasi orang yang lebih berbakat, lebih baik saya raikan pelakon-pelakon di sekitar saya. Ada kala jika seseorang itu tidak berbakat berlakon, dia sentiasa boleh perform. Menjadi performer tak semestinya kena ada kebolehan berlakon. Semua orang boleh perform ikut kemampuan masing-masing selagi mereka ada jati diri yang real. Ada kala, pelakon sendiri tiada kebolehan untuk perform di luar kerangka lakonan. Jadi dalam play-play saya sentiasa ada kombinasi para aktor/pelakon dan performer ini, dan mereka yang cair di antaranya. Saya akan sentiasa terjerumus ke dalam mereka yang boleh perform ini (hanya apabila terpaksa). Apabila saya handle muzik atau lampu ketika persembahan, itu juga boleh dianggap sebagai tindakan performatif (kerana ia terzahir pada play), lebih-lebih lagi dalam teater saya seorang kru teknikal boleh saja menjadi sebahagian daripada korus, atau beri sebarang efek langsung terhadap performans, atau memang masuk ke dalam play secara literal.

Berikut merupakan tindakan performatif yang telah saya aksikan dan saya akan kupas satu-satu peristiwa dan sebab musabab di sebaliknya jika ada. Setiap tindakan ini cuma specific terhadap play-play tertentu kerana ia nature saya untuk tidak ulang hal yang sama secara ketara. Malah setiap tindakan ini juga menurut gerak hati, improvisasi dan situasi semasa kerana untuk setiap play, sesungguhnya perasaannya dan audiensnya berbeza.


MENDIAMKAN DIRI SEWAKTU BUAL SANTAI (Stereo Genmai, Oktober 2018)
Foto menunjukkan penulis dan ensembel performer-nya sedang berbalas senyuman dengan audiens yang senyum.
Selepas mengharungi Stereo Genmai yang tragik, saya fikir kita perlu rehat seketika, dan intervensi terbaik dan luar duga yang boleh kita lakukan (tindakan ini dibincangkan bersama para aktor) adalah untuk mendiamkan diri buat seketika. Ada hari kita tunggu hingga audiens yang mula bersuara, dan ada hari saya beralah dan menjelaskan konteks tindakan mendiamkan diri ini. Sudah tentu dalam keadaan diam ini, provokasi-provokasi halus berlaku, dari mata ke mata, senyuman ke senyuman, apa kejadah yang sedang berlaku? Dalam situasi ini audiens bukan lagi penonton/konsumer yang pasif tetapi sebuah komuniti ephemeral yang aktif. Jika ia mahu keluar, ia keluar, jika ia mahu duduk ia duduk, jika ia mahu cakap ia cakap, jika ia tak mahu cakap ia tak cakap. Seluruh persembahan Stereo Genmai ambil semangat teater yang melarutkan, teater seperti yang kita kenal, dan situasi diam bersama ensembel aktor dan penulis/pengarah pasca persembahan ini, apa yang sesimpel-simpel gesture apa itu ‘performance’ yang lebih semasa. Pada saya performance art di dalam galeri sesuatu yang mudah dijangka, dan kerana itu performance art hari ini akan merebak ke tempat lain, di luar, di jalanan atau sesuatu, yang pasti ia teraksi di luar kerangka galeri, cuma dalam kes ini saya letak dudukkan ia betul-betul selepas persembahan teater, agar dialog berlaku di antara teater dan seni performans ini. Saya masih memikirkan dialog ini hingga ke hari ini. Kerana itu play saya yang seterusnya akan sentiasa berlegar-legar di antara kedua disiplin seni ini.


LECTURE-PERFORMANCE LAUT API (Pesta Playlet, Mei 2019)
Foto menunjukkan penulis sedang menceritakan sesuatu ditemani Mucky yang akan bermain synth serta ketiga-tiga pembaca yang sedang bersedia di luar ruang performans.
Jika tindakan performatif di atas amat halus melangkaui kepekaan kontemporari komuniti teater pada ketika itu (dan dalam konteks Malaysia mungkin sampai sekarang), lecture-performance ini pula lebih literal. Dalam lecture-performance biasanya lebih banyak syarahan, tapi dalam konteks ini saya lebihkan adegan performans. Saya sedang jungkir balik naratif Hang Tuah dengan mengupas hal paling trivial iaitu perkataan ‘laut api’ yang muncul sebanyak 5 kali dalam Hikayat Hang Tuah. Menariknya perkataan ini tersebar sama banyak dari awal, beberapa sekitar tengah, dan akhir teks, jadi kita dapat rasa secara fast forward snippet adegan yang akan dilakonkan. Oleh kerana Hikayat Hang Tuah teks yang begitu kelelakian, saya pilih tiga pembaca perempuan iaitu Nyna Roslan, Mia Sabrina Mahadir dan Nurul Aizam untuk baca dari fon (agar cahaya fon beri fill light pada wajah mereka, selain ia objek masa kini yang kontras dengan situasi yang sedang mereka aksikan). Rashid Akhmal dan Sadiq M. Jamil jadi hamba raja, dan di sini saya cuba bikin secara minimal bagaimana untuk elevate atau beri aspek kekaguman terhadap karakter raja yang akan dimainkan oleh Nyna, iaitu dengan memastikan tapak kaki raja tidak bersentuh dengan lantai—dengan memijak tubuh hambanya sebagai pedestal. Bersama Mucky, kita main synth untuk beri nuansa elektronik purba. Takkanlah tiap kali play bernuansa purba kena main gamelan dan instrumen tradisional, ye dok?


PASANG KERTAS PADA DINDING YANG BERKATA-KATA (Double Bill at GTF, Julai 2019)
Foto menunjukan penulis sedang menggunting kertas bagi membuka ruang pada wajah aktor sebelum bergerak ke dinding seterusnya.
Sewaktu previu Retak Menanti Belah, kita letak projektor atas lantai dan ini buat pancaran projektor selari dengan sudut pandang audiens, membolehkan kita boleh nampak projection di atas permukaan tray telur yang berlekuk. Hal ini kami terlepas pandang, sebab sewaktu di George Town, projector digantung pada siling, menjadikan sudutnya tak sama dengan sudut pandang audiens yang pandang dari bawah ke atas. Ini bikin projection tadi tenggelam ke dalam lekuk-lekuk tray telur membuatkan ia tak kelihatan. Untuk selesaikan masalah ini, saya perlu masuk ke ruang pentas untuk pasang kertas tersebut. Dalam masa sama ia perlu terbenam ke dalam play, lalu kita telah bina mekanisma untuk kertas itu gugur di satu waktu kemudian. Kertas itu dipasang, kertas itu gugur. Cuma saya boleh masuk ke dalam play itu (saya boleh suruh kru tetapi ia tidak boleh), kerana play ini tentang dilema eksistensial sebuah dinding yang bakal retak menjadi dua, ia secara metafiksyen memikirkan dunia sebelum lakon dan hidup mereka sebagai dinding. Dinding ini akan seru nama saya yang cuma diingati sebagai R-N. Teks ini progresif dalam konteks Malaysia sebab biasanya hal pertama yang aktor/pelakon nak buat ialah bergerak, tetapi dalam naskhah play ini saya bikin kedua aktor perlu berdiri tegak, dan cuma berlakon dengan apa yang ada iaitu mimik muka mereka (ke atas junjungan Beckett!). Ia hanya kemudian ia menjadi surreal apabila kedua dinding ini melakukan apa yang mustahil terjadi, iaitu dinding-dinding yang terbelah ini menari sewaktu perpisahan berlaku. Perpisahan selalu disinonimkan dengan kesedihan, tapi dalam konteks dinding, ia sebentuk mitosis persis amoeba, di mana dinding yang satu, menjadi dua. Dalam kes ini, saya cuma masuk dan buat kerja buruh saya, memasang wallpaper ke dinding, agar projection menjadi jelas kemudian, sebentuk nesessity.


MEMBUKA RUANG/LALUAN PERFORMANS DI KAWASAN AUDIENS (Hamlet Fansuri, Ogos 2019)
Foto menunjukkan penulis sedang membuka ruang dan jalan bagi Claudius yang bakal menggunakan ruang yang sedang diduduki audiens.
Terinspirasi dari seni persembahan tradisional Mendu yang saya dengar, bahawa pengarahnya boleh memberikan arahan secara live/langsung terhadap persembahan yang sedang berlaku, saya mulai berani untuk bertindak ketika play sedang berlangsung. Tetapi ia bukan semberono, sebab apa yang saya lakukan ini tak akan berkesan dalam ruang konvensional yang tak memerlukan audiens bergerak. Dalam kes ini, Hamlet Fansuri sendiri secara naratif memerlukan audiens bergerak dari satu ruang ke satu ruang, dan apabila ia tiba di bilik belakang yang luas, performans akan berlangsung di kawasan audiens. Pendek kata, ruang audiens dan performer dah bercampur ketika ini. Ini poin seluruh naratif Hamlet Fansuri ini, iaitu agar ia bermula dengan pemisahan jelas melalui kaca antara performer dan audiens, kemudian ia semakin akrab dengan proscenium lorong kontena, dan seterusnya ke bilik luas yang menempatkan Kicau Bilau di mana audiens dan performer sudah pun berkongsi ruang ketika ini, sebelum akhirnya ke luar di mana segala-galanya telah cair, dan audiens patut pandai-pandai sendiri untuk cari view persis seni persembahan tradisional dulu kala. 

Lain hari lain posisi kedudukan audiens, dan saya selaku penjaga lampu dan dramaturgi persembahan sudah tahu aktor mahu ke mana, jadi tugas saya adalah untuk buka jalan dan ruang bagi adegan yang bakal berlaku bila-bila masa selepas itu. Ada kala saya perlu tinggalkan stesen suis lampu saya, menggunakan tubuh dan gerakan tangan untuk berkomunikasi (saya tak gunakan kata-kata kerana performans sedang berlangsung!), dan ada kala stesen lampu saya diambil oleh audiens yang bergerak dan saya perlu reclaim ia walau macam mana pun. Dalam kes ini saya perlu berhubung dengan audiens secara halus dan bahasa isyarat, dan perlu subtle sebab tak mahu ia jadi intervensi ketara. Ia memang campuran intervensi, necessity (kalau audiens tak sediakan ruang, aktor berpotensi rempuh dan langgar audiens), dan komunikasi bawah tanah. Perasaan saya seperti konduktor muzik yang sedang orkestrakan kedudukan dan gerakan audiens dalam menyumbang kembali terhadap kelancaran play dan dramaturgi.


SEBAGAI PENGARANG KEPADA PENGARANG, NOVELIS KEPADA NOVELIS (Stereo Genmai at Urbanscapes, November 2019)
Foto menunjukkan para aktor sedang baca soalan yang sedang ditaip, sementara aksi menulis secara langsung oleh penulis sedang berlangsung di tepian.
Dalam Stereo Genmai at Urbanscapes, seperti yang sudah saya ceritakan sebelum ini, oleh kerana slotnya lebih pendek dari durasi sebenar Stereo Genmai, saya perlu ringkas dan abridged-kan teks dan dalam masa sama saya perlu gel dan gabungkan balik adegan-adegan yang mulai melompat-lompat ini. Oleh kerana kefahaman audiens penting dalam menyampaikan cerita yang sedia senggama minda ini, saya tak berniat untuk bikin audiens semakin keliru. Dengan itu, saya telah selitkan sesi soal jawab bersama saya (sekali lagi ia perlu saya dan tidak boleh orang lain) kerana sayalah ‘pengarang kepada pengarang, novelis kepada novelis’ yang disebut dalam play ini, dan intervensi ini secara tak langsung mengaburkan jurang antara adegan (biasanya teknik blackout digunakan di sini dalam teater konvensional). Ideanya adalah untuk susun rentak agar audiens dapat cam kitaran lakonan-soalan-lakonan ini sewaktu ia berlangsung. Bila menjawab soalan, sudah tentu aktor tak perlu berlakon dan perlu jadi diri sendiri. Kontras lakon dan tak lakon ini akan bikin dinamik, dan menyerlahkan kebolehan disiplin lakon. Ada 9 pusingan soalan dalam play ini, di mana 8 pusingan pertama saya yang akan tanya para aktor manakala di pusingan akhir, giliran setiap aktor pula untuk tanya saya (setiap soalan berbeza dan dirahsiakan, agar kita spontan waktu menjawab, ideanya adalah untuk tidak berfikir terlalu lama untuk jawab soalan). Dalam hubungan ini, saya cuma menjawab dengan menaip ia secara langsung guna Pages/Word (software yang sama saya taip novel) yang terpancar di dinding. Suara saya dibaca oleh aktor-performer dan audiens dalam bentuk tulisan (secara tak langsung ia menampakkan kesan dan kelajuan saya menaip di hadapan umum), sepertimana dunia proses ciptaan novel yang tertanam dalam naratif Stereo Genmai.


Ridhwan Saidi

Sabtu, Disember 07, 2019

Lapan performans yang saya tonton dan rasa terkesan untuk tahun 2019

Meneruskan amalan tahunan blog ini dengan senarai ‘Tiga performans yang saya tonton dan rasa terkesan untuk tahun 2018’ dan ‘10 Teater Terbaik Kami Tonton 2017’, berikut merupakan lapan performans yang saya tonton dan rasa terkesan untuk tahun 2019. Selain itu saya perlu pisahkan werk sendiri dengan orang lain, jadi di entri ini terkumpul kerja-kerja teater/play/performans saya: ‘Apa yang dibuat untuk tahun 2019’.

Terkesan di sini dalam erti kata saya dapat rasa sesuatu. Ada sesuatu yang bikin saya heightened, biar pun sekejap dan tidak menyeluruh, sebab perasaan ini amat langka lagi-lagi dalam seni persembahan (ia lebih mudah dialami via buku atau filem). Mungkin semuanya menjadi, atau mungkin ada bahagian-bahagian tertentu yang menjadi. Hati saya terbuka dan saya diserap/terserap masuk ke dalam dunia/karakter itu. Dan adakala pilihan ini secara tak langsung menjadi kuat apabila ada play/performans lain yang dibikin kemudian, dengan kepekaan atau isu yang sama, tetapi kurang kuat membuatkan kita teringatkan play/performans yang lebih kuat dan padu di awal tahun. Tanpa melengahkan masa, ini merupakan lapan pilihan performans/teater yang saya tonton dan alami di tahun 2019 yang mengesankan:


Orang Asing (2019) tulisan Hariry Jalil, arahan Afendy Shah (Asterik Anak Seni), Revolution Stage, Februari 2019
Apa yang saya gemar dari pementasan ini rekaan setnya dan nuansanya beri impresi ‘kemas’ hasil sentuhan Afendy Shah. Sebuah male melodrama, ia tulisan baru oleh Hariry Jalil. Ia play yang berkisar tentang situasi watak suami pertama yang dipenjara, seorang suami kedua serta hubungannya dengan seorang anak lelaki remaja yang bisu. Di tengah-tengahnya ada watak isteri dan anak perempuannya yang sedang sakit di dalam wad, tetapi fokusnya lebih kepada tiga lelaki tadi. Kita boleh kata bahawa ia sebuah cerita tentang kelelakian dan maskuliniti yang diuji takdir, dengan penuh ketegangan (ia turut menampilkan dua badut sans humor). Penulisannya berkisar kehidupan dewasa yang matang, dan ini buat ia menyerlah pada saya, kerana selalunya play baru yang ditulis atau di-devised lebih longgar bentuknya dan selalunya amat mudah dipengaruhi budaya popular dari segi garapan dan kata-kata menjadikannya keanak-anakan atau penuh sentimental, menjadikannya jengkel atau senang dijangka.

Meski play ini ada sikap drama tivi Melayu, tetapi keterbalikan watak (lelaki dimangsai dan berserah kepada takdir) tadi bikin ia unik, berbanding play (terutama dalam bahasa Melayu) lain yang ada waktu cenderung misoginistik dan disturbing (di mana watak perempuan dimangsai secara emosi dan fizikal dari mula sampai habis), atau masalah tipikal iaitu watak-wataknya cuma satu dimensi dan rata. Ada juga play-play yang lebih kontemporari dan rajin gerakan ensembelnya tetapi tidak cukup kuat dalam menyampaikan teks, lebih gaya dari makna/isi—kadang-kadang kita rasa ia macam koreografi Anugerah Juara Lagu. Orang Asing meski kelongsongnya realisme dan old skool, tetapi garapan dan sensibility-nya tak terjerat untuk embrace klise budaya popular yang tidak senonoh. Ini amat dihargai, kerana benda terakhir yang saya nak temui dalam teater ialah unsur bawaan tivi yang bukan-bukan (yang selalu saya temui!).


to which my brother laughed; (2019) arahan Tung Jit Yang, Pentas 2, KLPAC, Feb-Mac 2019
Dengan live performance dan score asal oleh kugiran Shh… Diam!, saya dapat rasakan tenderness dan dalam masa sama, suatu enclosure seperti bubble apabila ia tiba di penghujung. Ia rasa begitu middle-class, bandar, personal dan tulen, cuma oleh kerana ia kerap merujuk kembali kes sebatan yang berlaku di Terengganu, percanggahan kelas dan sensibility ini adakala buat ia rasa berjarak dengan kes sumbernya (bila saya bayangkan nuansa di Terengganu). Ia paling ketara apabila ensembel performer menjalankan kitaran fesyen show. Kontras antara kota yang ada KL Fashion Week dengan Dungun jauh, dan bagaimana ia boleh didekatkan?

Dalam melawan violence yang berlaku di Terengganu, play ini meraikan cinta di dalam ruang selamat Pentas 2 di Kuala Lumpur, didukung oleh majoriti audiens yang sedia menyokong, lagi pula sebelum intermission, para audiens dipinta untuk bersolidariti dengan performer tanpa kata-kata selama 20 minit. Saya cukup faham apa yang sedang berlaku, mekanismenya (John Cage) dan apa yang diingini, tetapi ia buat saya fikir kembali kenapa saya berada di ruang teater: buat sementara adakah ia okay untuk saya memilih menjadi (minoriti) antagonis di dalam panggung itu?

Meski saya sedar kes sumber cuma dicubit, dan empati lebih berfokus kepada setiap ahli ensembel yang mendedahkan diri masing-masing, saya boleh tangkap urgency yang diperlukan dalam meluahkan rencam perasaan masing-masing. Ada momen yang intens dan menyentuh. Ia boleh jadi sedikit privilege (kerana kita tak boleh elak dari bandingkan situasi di Terengganu yang jadi rujukan), tapi entah kenapa saya boleh appreciate ia sebagai naratif Kuala Lumpur, dan kerana itu ia kontemporari? Sastera dan teater di Malaysia rata-rata punya semangat, sentimen dan nuansa kampung, dan jarang sekali ia all out bandar. Jika ia berlatar bandar, kampung biasanya menjadi jalan keluar untuk capai kebahagiaan. Play ini terbalik. Buat jarang-jarang kali, kebahagiaan ada di bandar.


Void in Void (2019) arahan Liew Chee Heai, dalam siri SeniTiga, KongsiKL, April 2019
Segmen pembukaan oleh Lee Ren Xin amat kuat dan cukup solid di mana kita di dalam gelap, melihat beberapa lampu bergantungan di lehernya yang sedang berusaha mencari jalan keluar dari timbunan perabot lama dan rak yang melekat di dinding. Ia amat simple dan di sini saya akui bahawa yang buat ia mengikat dan intens adalah energi gerakan tubuh, yang berlaku di dalam gelap—bikin misteri. Ia mengingatkan saya kepada Plato’s Cave atau sesuatu. Jika TubuhDang TubuhDut oleh Ayu Permata Sari menjadi pilihan saya tahun lepas dalam mendepani bahasa tubuh, tahun ini ia segmen Ren Xin yang satu ini.

Segmen kedua lebih scenic dan fotografik yang turut menampilkan Liew Chee Heai. Kita nampak imej-imej tubuh dan pohon dalam cahaya low-key. Ia kemudian akan menampilkan projeksi tangan gergasi pada dinding Kongsi, lalu bertindih dengan permainan bayang-bayang tangan Ren Xin. Perlu saya puji di sini, dalam persembahan ini rekaan bunyi live-nya amat mengisi ruang dan connect dengan apa yang berlaku. Jarang saya suka rekaan muzik dalam play/performans yang ditonton. Majoriti semua performans lain yang saya hadiri, rekaan bunyinya seakan ditampal atau tidak sebati dengan performans, tetapi yang ini tidak. Ia atmosferik sehingga tiba di penghujung, seluruh peformans ini akan mengepung kita secara tiga dimensi. Banyak performans kontemporari cuba tamatkan performans mereka dengan muzik berintensiti tinggi sebelum lalu ia tiba-tiba sunyi (Violent Event turut melakukan hal yang sama), tapi yang ini menjadi untuk saya, kerana perasaannya via muzik terbawa dari mula.

Performans ini meyakinkan saya bahawa sesuatu yang abstrak boleh menjadi, setelah rata-rata bertembung dengan sesuatu yang abstrak dan tidak menjadi. Bagi saya sesuatu yang abstrak pasti menjadi, apabila ia datang dari diri yang berisi. Jika diri kosong, abstraksi itu biasanya cuma jadi permukaan dan stail yang kosong dan tidak bermakna. Dalam kes ini Liew Chee Heai merupakan seorang fotografer dan peladang, dan bagaimana perasaan fotografi dan berladang terpancar sebagai live performance. Adakala kita terasa seperti di dalam galeri, adakala kita terasa seperti di dalam kamera.


Plunge, play reading (2019) tulisan Jean Tay, bikinan Irfanuddien Ghozali and team, IFI-LIP Yogyakarta Auditorium, Julai 2019
Reading ini berbekas buat saya kerana performans para aktor-nya. Ia rasa kemas dan berlagu. Ia ada rentak yang tepat, ada kala saya rasa kebanyakan pementasan penuh yang saya tonton, tidak temui rentak ini. Ini membuktikan bahawa meski ia cuma bermain dalam bentuk play reading, ia sudah cukup untuk memberikan kesan. Dari segi naskhah, apresiasi saya datang dalam cara berbeza dalam erti kata, oleh kerana reading ini salah satu dari program bacaan Asian Playwrights Meeting, saya lebih terdedah dalam menekuni semua play dari setiap negara, untuk tangkap cara bercerita dari setiap sampel yang ada. Sejauh mana naratif diteroka, dari negara ke negara. Untuk Plunge ini, ia menarik kerana skopnya merentas seluruh Asia Tenggara, berlatar krisis ekonomi yang melanda kita pada tahun 1997. Bagaimana sesuatu yang makro dari sudut pandang seorang ekonomis, menjadi mikro via cerita yang disampaikan oleh seorang pembaca berita.


Damage Joy (2019) oleh B-Floor Theatre, arahan Nana Dakin, Bangkok Art and Culture Centre, Oktober 2019 dan Violent Event (2019) konsep dan koreografi oleh Billinger & Shulz (Jerman), Host BKK, Oktober 2019
Foto: The Momentum
foto: Alex Brenner via Billinger & Schulz FB page
Damage Joy dan Violent Event dua pementasan berbeza yang saya tonton di BIPAM 2019. Meski setiap satunya menarik dengan cara tersendiri, tetapi dalam reviu ini saya gabungkan sebab entah kenapa perasaan saya menjadi penuh apabila kedua-dua play yang bermain dengan pain dan keganasan ini bertemu. Satu dari Thailand dan satu dari Jerman. Dua-dua bermain dengan unsur humor, atau dark humor tapi dengan sensibility yang berbeza. Satu amat Asia dan Timur, ini malah termasuk bentuk tubuh, manakala satu lagi lebih Eropah dan Barat. Kontras ini bikin dialog di dalam kepala saya, dalam menggarap violence ke dalam kerja teater. Humor sudah awal-awal di-establish dalam Damage Joy kerana keempat-empat watak-wataknya berupa badut, yang akan saling menyeksa antara satu sama lain demi nikmat (joy) audiens. Audiens secara konsensus boleh menghentikan penyeksaan ini, tetapi ia tak berlaku dalam sesi saya. Manakala humor dalam Violence Event menyelinap perlahan-lahan. Ia bermula serius persis kanak-kanak bermain, dengan satu tumbukan ke perut dan genggam wajah untuk dicampak ke lantai, sebelum kita sedar bahawa tindakan-tindakan ini makin lama makin mengarut (dalam erti kata violence dipaparkan, tapi dalam masa sama tindakan ini bukan untuk diraikan tetapi dikritik) sehingga ia menjadi koregrafi tarian dengan gesture-gesture yang barangkali amat subversif di hadapan penonton Barat.


In Ter’s View x New Cambodian Artists (2019) arahan Wichaya Artamat dengan kolaborasi New Cambodian Artists Dance Company, Saeng Arun Art and Culture Center, Oktober 2019
Format temubual dan diseling dengan performans serta dokumentasi video ruang latihan ketiga-tiga mereka di Siem Reap memberi lapisan makna terhadap gerakan-gerakan yang mereka lakukan—ada sentuhan autobiografi mereka secara kolektif, sebagai penari kontemporari. Ini penting sebab rata-rata performans yang menggunakan gerakan dan tarian yang saya saksikan setakat ini di Malaysia, membawa naratif yang simplistik. Misalnya penari ini kelihatan dibelenggu dan terikat, dan akhirnya ia berjaya bebaskan diri. Aksi gerakan yang gunakan naratif ‘ingin bebas’, terlalu mudah pada saya, ia tiada lapisan lebih mendalam. Selain itu, meski New Cambodian Artists ini di pihak yang ditanya, dan penggerak siri In Ter’s View dari Thailand (dan lelaki) yang akan sentiasa bertanya, ia tidak membuatkan mereka yang cuma di pihak yang menjawab ini dimangsai, sebaliknya mereka stabil dan kuat sebagai perempuan. Ini saya kagumi, kerana dalam konteks kebiasaan di Malaysia, jika orang yang ditanya itu tiada kesedaran bahawa mereka agency, soal jawab ini akan jadi satu hala. Cuma pihak bertanya yang berkuasa persis interogasi.

Maafkan saya sebab asyik membanding performans ini dengan situasi di Malaysia, tetapi satu lagi yang bikin saya terfikir ialah, betapa mereka ini kontemporari kerana dari kecil sudah dibentuk dengan seni tarian tradisional yang lebih rigid dan mencengkam. Ini naratif paling basic, untuk menjadi kontemporari, iaitu untuk membebaskan diri dari naungan disiplin tarian yang sudah ada acuan. Kita manusia diacu untuk masuk ke dalam acuan itu. Untuk menjadi kontemporari adalah untuk keluar dari acuan itu. Ia dikotomi tradisional-moden yang straightforward. Cuma di Malaysia saya dapati ada juga para penari lepasan universiti yang selalunya serba boleh. Mereka boleh gerakkan pelbagai teknik dan jenis (jika bukan semua!) tarian tradisional dan moden. Jadi ia bikin saya tertanya, jika mereka melakukan sesuatu yang kontemporari, ia terbit dari kegelisahan, belenggu atau masa silam yang bagaimana, atau ia sekadar saduran teknik?


The Optic Trilogy, play reading (2019) tulisan Alfian Sa’at, arahan Bhanbhassa Dhubtien, Alliance Française auditorium, Oktober 2019
Sewaktu di BIPAM telah saya tonton deretan performans tanpa/kurang kata-kata dan lebih berasaskan gerakan yang mempesonakan, dan ini telah menginspirasikan saya untuk tinggalkan kata-kata... sehinggalah saya tonton play reading The Optic Trilogy ini di hari terakhir. Ia mengembalikan keimanan dan kepercayaan saya terhadap kata-kata. Bahawa kata-kata merupakan teknologi tercanggih teater. Seluruh direction play reading ini menghampiri apa yang saya bikin dengan Teater Normcore. Gerakan minimal dan cuma lafazan kata-kata yang tepat. Meski pun ia cuma play reading, dengan dua aktor duduk di kerusi tinggi, dengan helaian kertas A4 (serta seorang lagi pembaca stage direction di kerusi rendah), ia sebati dengan naratif. Pembaca lelaki dari Thailand manakala pembaca perempuan dari Filipina, dan cara mereka sebut kata-kata dalam bahasa Inggeris agak kontras. Ia memberikan lapisan tentang cara mereka berdua berhubung—seorang sedikit pelat, manakala seorang lebih bulat sebutannya—siapa yang lebih memendam rahsia?

Play yang terbahagi kepada tiga bahagian ini mengenai rasa keterasingan, keseorangan dan kerinduan dan ia diakhiri dengan satu gesture sentuhan yang sewajarnya membuatkan kita rasa hangat, setelah luahan kata-kata dingin, kejam dan brutal dihamburkan. Dengan sihir dan magik kata-kata, perasaan saya benar-benar ditusuk dan terbuka, untuk masuk ke dalam dunia kedua karakter yang sedang di dalam kesakitan ini. Ada poin mengingatkan saya waktu baca skrip Harold Pinter atau tonton The Bitter Tears of Petra von Kant, Rainer Werner Fassbinder (ini rujukan peribadi, dua bacaan dan tontonan ini membekas dalam diri saya) yang mana perasaannya intens walaupun secara visual tiada apa-apa pergerakan berlaku. Ia sesuatu yang saya sendiri ingin capai dalam teater saya dan tak saya sangka dapat saya saksikan ia di depan mata saya melalui play ini. Di era di mana manusia mulai sinikal dan tidak lagi mempercayai kata-kata, ia memberi saya semangat untuk terus meyakini kata-kata, dan drama, dan gerakan, dan sastra, dan sentuhan, dan karakter, dan puisi.


Ridhwan Saidi

P/s: Ada dua play reading dalam senarai ini, dan saya mulai sedar bahawa saya kini cukup pasti bahawa meski pun play reading bukan produksi teater penuh, tapi jika fikiran dan perasaannya terisi, alangkah ia lebih bermakna daripada produksi teater penuh sans fikirasa.

Isnin, Disember 02, 2019

Frequent Collaborator Setakat Ini

Frequent collaborator dalam konteks lakonan/performans (teater). Dalam kes ni kita tak ambil kira reading session Teater Modular. Nombor cuma menampakkan contact hubungan via bilangan kolaborasi, tetapi ia tidak mewakili kebesaran hubungan sebab setiap play dari normcore ke modular ke pesta playlet, berbeza-beza skalanya. Lagi pun hubungan kita di dunia nyata lebih berselirat dan kompleks. Ada yang berlakon ikut direction orang lain via tulisan saya, ada yang direct playlet tulisan saya, dan ada yang saya bikin filpen dan ia di luar kerangka seni persembahan langsung, jadi ia tak masuk ke dalam senarai ini. Mereka yang terlibat ini pernah perform bersama saya selaku pembikin teater runcit-runcitan. Saya cuma fikir nombor-nombor ini menarik untuk diperhati sebagai pattern, selain capahan hyperlink projek-projek terdahulu yang boleh kita teroka melaluinya. +1 merujuk kepada tentatif kolaborasi Teater Normcore yang bakal berlaku di tahun 2020.





Mira Romanli (2) +1 // Hamlet Fansuri (2019), Stereo Genmai at Urbanscapes (2019)…


Lee Kylie (1) // Sesuap Kaseh, Teater Modular Redux (2019)



Shon Anwar (2) // Pengantin, Freestyle! at YSDAF (2018), Hamlet Fansuri (2019)



Lew Shu Ni (1) +1 // Hamlet Fansuri (2019)…




Sandee Chew (1) // Stereo Genmai (2018)

Irfan ‘Kecik’ Aziz (2) // Melihat Setan Bekerja (2017), Hotel Berdarah, Teater Modular [set 3] (2018)  

Azman Rashid (1) // Hotel Berdarah, Teater Modular [set 3] (2018)

Adena Sams (1) // Tiada Cinta Selama Muda (2018)

Fida Aziz (1) // Bengkel Modular: Neraka Blackout (2017)

Fahmi Harun (1) // Melihat Setan Bekerja (2017)


p/s: Klik pautan untuk info lanjut tentang persembahan yang dibuat.