Di Malaysia ketika saya menulis entri ini, majoriti penggiat teater tidak suka post-performance discussion, di mana menurut mereka sesebuah play itu tidak patut dijelaskan dalam ‘sesi q&a’. Ada dua hal yang terpesong di sini.
Pertama: Penggunaan ‘sesi q&a’ yang ditempel ke sesi bernama ‘discussion’/perbincangan akan ubah hubungan kuasa (power relations) antara performer-audien. Ia memberi pemahaman yang berbeza. Di sini kerangka ‘question & answer’ diterapkan mereka. Mereka merasakan bahawa dalam situasi q&a ini, para performer dan pembikin mempunyai jawapan, manakala audien cuma tanya soalan secara pasif—(ini tidak benar dan sebentuk prejudis terhadap perbincangan yang sihat). Hubungan mengalir satu hala di mana setiap soalan dari audien akan dimatikan dengan jawapan objektif dari pihak performer. Audien disuap seperti sistem pendidikan di Malaysia (atau ceramah agama). Barangkali masyarakat kita secara bawah sedar telah dibentuk untuk berfikir secara automatik di dalam format q&a ini—submissive di posisi audien—bila perbincangan dilangsungkan.
Jadi di sini perlu jelas bahawa sesi post-performance discussion bukan aliran satu hala, tetapi pelbagai hala. Ia telah berkali-kali berlaku dalam pengalaman saya mengalaminya di mana audien berdialog dengan audien, ia bukan tentang siapa yang membikin dan siapa yang menonton, tetapi tentang kita semua yang kebetulan berada di ruang yang sama. Sebuah ruang perkongsian. Pembikin tiada jawapan objektif, tetapi setiap orang ada pandangan subjektif. Bila ia diluahkan dan ditemukan dalam satu ruang awam, ia jadi makin maju dan canggih. Kita sedar bahawa pendapat yang berbeza membolehkan kita memposisikan sudut pandang kita di tempat orang lain. Ia tentang empati. Jika kita boleh berempati dengan karakter di dalam ilusi play yang baru dipersembahkan, kenapa tidak kita berempati dengan pandangan dan sebab-musabab seorang pembikin atau pemerhati yang berkongsi realiti dengan kita?
Contohnya, pengarah buat macam ni, penulis rasa macam ni, pelakon ni rasa macam tu, pelakon tu rasa macam ni, dan seorang audien rasa macam ni pula, dan seorang lagi audien rasa macam tu pula, jadi pertembungan rasa-rasa ini bukankah memperkayakan perasaan? Bukankah perasaan ini tujuan berteater? Kenapa kita boleh akrab dengan watak dalam cerita tetapi tak boleh relate dengan orang asing yang duduk menonton sekali bersama kita?
Discussion atau perbincangan ialah sebuah ruang di mana semua orang berdiri sebagai sama, setiap individu sebagai agensi dan ego kepada diri masing-masing, yang berkemampuan untuk cakap saya/aku/I. Power relations dan power dynamics antara performer, pembikin, audien, atau sesiapa saja yang kebetulan berada di dalam ruang itu, berdiri sebagai sosok manusia yang seimbang, sama taraf, tidak kira raja atau hamba. Ini asas sebuah perbincangan sihat yang perlu difahami mereka yang terjerat dengan framework ‘q&a’ yang telah dijelaskan di atas.
Di sini perlu jelas bahawa bila saya mempertahankan post-performance discussion, bukan bermakna semua teater perlu berakhir dengan perbincangan. Jika sesebuah produksi itu tak suka situasi ini maka ia tak perlu buat. Ia malah normal untuk tak buat post-performance discussion. Post-performance discussion dalam teater sebentuk tindakan luar tabii, dan kelihatan abnormal menurut kaca mata mereka yang membenci. Tidakkah tindakan ini persis fundamentalis agama?
Malah tiada sesiapa mahu marah atau benci produksi teater yang tak buat post-performance discussion. Tetapi sebaliknya berlaku di mana sentiasa ada pembikin dan peminat teater yang marah dan benci post-performance discussion. Ia aneh di sini sebab, kenapa ia mahu marah dan membenci pilihan dan tindakan orang lain? Dan lebih aneh, mereka marah dan benci atas sebab yang terpesong tadi. Mereka membingkaikan sesi perbincangan ini sebagai sesi q&a menurut pemahaman mereka yang sempit. Malah di sini saya merasakan sesi q&a yang tak bersalah pun terpaksa diturunkan nilai pengajarannya. (Sesi q&a sentiasa okay bilamana orang yang lebih berilmu sedang tawarkan ilmunya kepada pelajar yang pasif dan persis span, untuk serap apa yang sedang ditawarkan pada momen itu. Ia macam mengaji. Kita tak tau apa, kita ikut dulu. Kita perlu serap banyak benda sebelum kita boleh mengalirkan beberapa benda. Ini walau bagaimanapun hubungan antara guru dengan pelajar (yang masih bertatih) dan bukan antara pembikin teater dengan audien. Kerana itu istilah ‘discussion/perbincangan’ dan malah ‘perbualan’ digunakan.)
Kita boleh pilih untuk tak adakan sesi perbincangan, jika kita mahu. Habis teater terus balik. Habis teater, tegur-tegur ayam sikit (kalau nak) dan lepas tu balik, mungkin singgah makan kejap, lepas tu tidur. Tapi kita perlu ingat konteks kita di Malaysia, iaitu sebuah negara yang meletakkan seni dan perbincangan kritikal sebagai sesuatu yang sia-sia dan tidak bermakna. Maka ia secara tidak langsung membuatkan ruang-ruang yang membuka potensi untuk berbincang dan berdialog ini penting. Lagi pula dalam semua cabang seni lain seperti sastera, filem dan seni halus, forum sentiasa ada hingga kita naik lemas dan malas nak berbincang sangat dan mahu tumpukan terhadap penghasilan karya tersebut. Ini boleh difahami, dan di sini anehnya teater di Malaysia: konsep forum dan perbincangan sesuatu yang jarang-jarang dan asing. Ia seperti penggiat teater Malaysia ini tidak mahu bertembung dan berselisih dengan kekasih lama mereka yang bernama Perbincangan Kritis.
II
Telah saya jelaskan salah faham dan beza antara sebuah ‘perbincangan’ dengan sebuah ‘q&a’ iaitu hal pertama yang terpesong. Ada dua hal yang terpesong bila seseorang itu menolak post-performance discussion. Yang kedua ialah, mereka merasakan play yang baru mereka persembahkan itu ‘dijelaskan’ (dalam kerangka q&a tadi), tetapi ini bila diteliti merupakan sebuah paradox.
Sesebuah play tak boleh dijelaskan, tetapi ia boleh dibincangkan. Sebab play itu karya seni (dalam erti kata sebenar), dalam erti kata seni itu intricate dan rumit, meski ia sewajarnya disampaikan secara halus dan ‘nampak mudah’, tapi pokoknya teater itu mesti kompleks, cukup rencam untuk tak boleh dijelaskan dalam bentuk penjelasan kata-kata, dan di sini ia jadi paradox.
Mereka yang menolak post-performance discussion merasakan sesebuah karya/play itu akan dijelaskan oleh pembikin, dan fikir mereka: Kenapa mesti play tadi dijelaskan balik? Audien patut pulang, fikir sendiri-sendiri dan buat jawapan masing-masing. Kita faham ini, tetapi masalahnya ini hanya betul jika play atau karya yang mereka bikin cukup nazak dan muflis untuk ia boleh dijelaskan secara objektif, dan karakter-karakter yang digarap dan dipegang umpama paper cut dua dimensi yang boleh disimpulkan dengan penjelasan mudah oleh pembikin.
Di sini penting untuk kita lari dari kerangka ‘q&a’ tadi, kerana yang kita nak dengar dari pembikin/performer bukan ‘jawapan’ tetapi sebuah perkongsian rasa. Dan perkongsian rasa ini tak hanya dimiliki oleh pembikin/performer tetapi juga audien yang melihat, merasa dan menikmati. Ruang berbincang terbentuk sebab kita tahu play yang kita tonton/bikin tadi merangkumi complexity kehidupan yang tak boleh dijelaskan dan diterangkan dalam satu sitting. Manusia yang berkongsi nafas dan udara di dalam ruang teater yang sama, kita bertegur sapa. Perkongsian rasa/nafas/udara ini bertemu dan bertembung dan bergasak, ia spark sesuatu di dalam kepala dan hati individu berbeza, dan hanya selepas itu bila kita pulang, pandangan (atau ‘jawapan’) di dalam kepala kita lebih teruji dan matang. Bandingkan ‘jawapan’ audien pertama tadi yang fikir sendiri-sendiri, dengan pandangan/‘jawapan’ audien yang sudah lalui sesi perbincangan umum (boleh jadi dia cuma mendengar). Kesimpulan audien kedua lebih bermanfaat kot.
Post-performance discussion bukan tempat untuk pembikin/performer mendakwahkan jawapan objektif mereka, ini prejudis yang perlu dikikis oleh penggiat dan peminat teater yang menolak dan membenci ruang-ruang perbincangan. Perlukah saya tamatkan entri ini dengan, bertaubatlah? Sukar... sebab saya di pihak yang mahu diminta bertaubat.
Ridhwan Saidi