Jumaat, Februari 08, 2019

Dua Cara Skrip Digarap

Mautopia dan Stereo Genmai dua skrip teater yang digarap dari novel manakala tiga skrip baru yang sedang saya usahakan, bermula dari kosong. Ia seperti menuju ke arah yang sama dari dua arah yang berlainan (sudah tentu ada banyak arah lain, tetapi dua arah ini yang saya alami). Ini kerana adaptasi dari novel ke skrip teater, kita banyak buang elemen-elemen yang tidak perlu dan lalu perlu pandai mencantumkan dari satu adegan ke satu adegan (yang tidak bercantum sebelum itu). Kita sedang buang banyak kata-kata yang tidak berkesan dan diperlukan dalam konteks baru iaitu teater. Meski sebenarnya boleh saja seluruh teks dari novel diteaterkan, tetapi saya tidak berminat untuk seksa audien saya.

Ini berbeza dengan perasaan menulis dari kosong. Perasaannya seperti menulis novel itu sendiri. Mungkin dalam konteks playlet ia lebih mudah, kerana sesebuah cerita itu propel ke depan tanpa kerumitan tahap dewa. Teater panjang rumit sebab ia melibatkan durasi yang lebih lama. Sejauh mana boleh kita pertahankan minat orang untuk terus tersihir dan melekat dengan cerita kita sebagai pretext?

Untuk menulis sebuah playlet, biasanya saya siapkan ia siap-siap di dalam kepala. Sebuah playlet boleh difikirkan secara penuh di dalam kepala. Kemudian bila saya tahu ia sudah siap, saya cuma turunkan ia ke dalam bentuk kata-kata dan ia biasanya berlaku dengan amat pantas dan siap dalam sekali draf. Mungkin ada sedikit pemurnian di sini dan sana, tetapi ia minimum.

Ini berbeza dengan cara pertama tadi iaitu adaptasi novel ke teater. Ia majoritinya adalah kerja-kerja pemurnian dan editorial. Ia seperti saya ada gunting, dan mengusahakan material yang sudah dilambakkan di hadapan saya, iaitu novel asalnya. Saya sedang menggarap cerita dengan memotong, menyunting dan menyusun kata-kata yang sudah ada di dalam novel. Perasaan ini mendekati proses menyunting video atau filem, di mana materialnya sudah ada, tetapi kini tinggal kerja-kerja penyuntingan dalam memberikan makna baru, atau cerita terhadap raw footages tersebut. Saya perlu tahu apa yang berguna dan apa yang tidak mahu digunakan. Keputusan perlu dibuat.

Untuk bermula dari kosong pula, seperti sudah dinyatakan tadi, perasaannya seperti menulis novel. Cuma ia tidak memerlukan flow dan rentak karangan, kecuali di bahagian-bahagian tertentu seperti isi surat atau monolog. Selain itu, saya cenderung menulis dialog yang tumpat, sarat dan ketat. Dan setiap baris-baris dialog ini perlu tahu cara ia dimainkan. Ia kebiasaannya berbalas-balas seperti ping pong, tetapi adakala juga saya jadikan dialog ini sebenarnya monolog tersembunyi di mana sekilas pandang seperti dua watak sedang berborak, tetapi sebenarnya ia fikiran dari dalam kepala mereka. 

Tidak seperti playlet, penulisan skrip teater dalam skala full length tidak boleh siap secara penuh dalam kepala. Ia perlu turun sedikit demi sedikit. Dan perlukan selang tidur dan jaga. Ia perlu sentiasa difikirkan, hari demi hari, apa perkaitan setiap perkataan atau elemen yang muncul. Kenapa ia muncul? Biasanya kita tiada jawapan, tetapi saya perlukan sedikit rasionalisasi dalam mententeramkan diri saya. Dan rasionalisasi ini bukan dalam konteks makna, tetapi lebih kepada rekaan, atau struktur, dalam konteks matematik dan muzik, iaini apa yang membuatkan ia suci dan ada clarity. Bentuknya ketara dan jernih. Geometrinya jelas. Misterinya tersembunyi.

Seperkara yang membezakan novel dengan teater ialah penggunaan kata-katanya. Dengan novel kata-kata ditulis dan dibaca secara diam, dan hanya berbunyi di dalam kepala pembaca. Dengan teater, kata-kata dilafazkan, jadi ia sebentuk kata-kata yang lain. Ada kata yang cantik dalam bentuk tulisan dan dibaca secara diam, dan ada kata yang cantik bila dibunyikan. Dinamik antara dua hal ini, menarik dan suka saya gunakan dalam play-play saya. Adakala sengaja saya guna ayat yang mustahil kedengaran dilafazkan oleh manusia yang berbahasa Melayu di atas muka bumi ini atas sebab nak dengar ia dilafazkan. Aktor mungkin sedikit tergeliat lidah tetapi demi seni, apa salahnya?


Ridhwan Saidi