Bila sebut tentang falsafah Barat sudah tentu kita terus bertemu filsuf Yunani, iaitu Aristotle yang lebih junior dari Plato yang lebih junior dari Socrates. Di sini ingin saya tautkan ia dengan teater. Tahukah anda Socrates penulis bersama skrip teater Euripides? Tiada sesiapa tahu, tetapi ia dinyatakan oleh Telecleides salah seorang penulis teater komedi sezamannya di dalam salah satu naskahnya. Euripides terdedah dengan falsafah Socrates, dan lagi pula Socrates ini filsuf dan Euripides ini playwright, pasti ada sesuatu berlaku (seperti pertukaran Hegelian, polemik dan seumpamanya) di sebalik hubungan ini.
Jadi Euripides ini salah seorang dari tiga penulis teater tragedi Yunani yang terkenal meski sebenarnya ada ramai lagi, yang mana skrip mereka telah terbakar sewaktu zaman Cleopatra di perpustakaan Alexandria (menurut Tom Stoppard dalam Arcadia) atau sesuatu yang ternyata tragik. Juga dipercayai ada skrip dari kalangan tiga penulis ini yang mungkin telah disalah kredit, seperti Prometheus Bound misalnya yang dikredit ke Aeschylus, tetapi boleh jadi bukan. Apa pun salinan demi salinan tangan akhirnya teks-teks ini diterjemah ke bahasa Latin dan menemui industri cetak di Itali selepas plus minus dua ribu tahun, sebelum sampai ke saya plus minus 500 tahun dalam bahasa Inggeris.
Tiga tragedian Yunani: kita ada Euripides yang lebih junior dari Sophocles yang lebih junior dari Aeschylus. Progress teater bergerak jelas dalam karya mereka bertiga ini. Kita mula dengan Aeschylus dulu.
Asalnya teater bermula dengan korus dan seorang aktor, tetapi Aeschylus telah memasukkan aktor kedua, maka dua aktor boleh bercakap (pada satu-satu masa) di antara satu sama lain, manakala sebelum itu, dengan keberadaan seorang aktor, ia lebih berupa acara baca puisi, sebentuk deklamasi. Teater pada ketika ini sebuah deklamasi puisi di mana mereka cuma berdiri dan menggayakan percakapan mereka. Hasil deklamasi aktor ini akan bertindih, berlawan dan berkawan dengan aspek korus. Ini apa yang Nietzsche panggil pertemuan antara unsur Apollonian aktor/dialog dengan Dionysian korus/muzik (antaranya) dan lalu pertembungan ini unsur yang mewujudkan ‘drama’. Nietzsche menghargai watak Prometheus dan dalam Prometheus Bound ketika itu, elemen pintu belum ada, pentasnya terbuka. Kalau ada aktor nak datang, dia akan datang dari jauh, dan audien boleh nampak aktor itu datang berjalan dari jauh. Tidak ada konsep backstage.
“The magnificent ‘capability’ of the great genius, for whom eternal suffering itself is too cheap a price, the stern pride of the artist — that is the content and soul of Aeschylean poetry…” – The Birth of Tragedy (1872)
Ia hanya kemudian dengan trilogi Oresteia (satu-satunya trilogi yang selamat) Aeschylus memasukkan pintu, dan di sebalik pintu ini imaginasi dan aksi seperti pembunuhan berlaku. Selebihnya yang berlaku di hadapan pentas adalah apa yang telah atau belum berlaku. Hanya ucapan kata-kata via aktor dan muzikaliti korus.
Pada era Aeschylus konsep trilogi sebuah konvensi, maka setiap play lebih berupa teater sebabak, ia akan bersambung dengan dua babak seterusnya. Di sini giliran Sophocles pula buat pembaharuan iaitu dengan menggabungkan seluruh naratif trilogi ke dalam satu play, maka ceritanya lebih padat dan bergerak laju iaitu teater dalam tiga babak. Meski Sophocles juga ada tiga play iaitu Oedipus Rex, Antigone dan Oedipus at Colonus, ia bukan trilogi sebenar dalam erti kata cerita ini telah diniatkan untuk bersambung-sambung, tetapi ia kebetulan ada kesatuan sebab watak utamanya sama iaitu Oedipus. Bercakap tentang Oedipus, Oedipus Rex merupakan play kegemaran Aristotle dalam Poetics. Ia adalah tragedi paling sempurna menurutnya. Selain itu, Sophocles juga mula memasukkan tiga aktor serentak pada satu-satu masa.
Tragedi berakhir dengan Aeschylus dan Sophocles menurut Nietzsche sebab Euripides ini katanya terlalu bawa budaya Socratic, yang meletakkan ilmu lagi tinggi dari muzik. Manakala tragedi dapat bentuk dengan Aeschylus, sempurna dengan Sophocles dan hilang kualiti dengan Euripides menurut Aristotle.
Euripides memang lain macam dan dipercayai tragedinya akan membuka lembaran baru bagi New Comedy oleh penulis-penulis masa depan. Aristhophanes yang hidup sezaman pula masih dengan Old Comedy pada ketika itu. Old Comedy boleh kita samakan dengan satira politik dengan tokoh-tokoh popular untuk dibadutkan manakala New Comedy pula komedi yang berlaku dalam ruang lingkup kehidupan domestik dengan watak-watak orang biasa. Salah satu ciri ketara yang hilang ketika ini ialah unsur korus.
Kepupusan unsur korus ini bermula dengan Euripides. Dialog realistik semakin mendapat tempat. Kata-kata semakin prosaik persis ucap debat (yang membuatkan ia rasa moden). Deus ex machina juga dipopularkan Euripides. Watak-watak lebih domestik dan biasa-biasa. Jika kita tarik dari sini ke Homer kita akan temui gradien heroik yang semakin ke langit dan keinderaan. Karya-karya Euripides lebih membumi (meski Medea terbang ke langit dengan chariot naga).
Walaupun Euripides generasi termuda tetapi Sophocles hidup paling lama di antara ketiga-tiga mereka. Dan salah satu play kegemaran saya sepanjang masa ialah Oedipus at Colonus, iaitu tragedi terakhir Yunani. Siapa sangka tragedi boleh jadi begitu tender, fragile dan penuh cahaya.
“…whereas, Sophocles in his Oedipus sounds out the prelude to the victory song of the holy man.” – The Birth of Tragedy (1872)
Ridhwan Saidi