Dengan Teater Modular posisi saya berat sebagai playwright, di mana saya tulis dan seronok lihat orang lain direct teks saya. Dengan Teater Normcore pula, saya dapati posisi utama saya lebih berat sebagai seorang pengarah, meski saya juga penulis skrip.
Normcore lebih kepada cara saya mengarah, ia melibatkan estetika, apa yang saya rasa bagus dalam medium teater. Ia satu pengalaman penuh. Februari lalu ia double bill dua teater sebabak iaitu Tiada Cinta Selama Muda dan Matinya Seorang Birokrat. Ia tidak pendek seperti playlet yang perlu digabungkan 4 playlet bagi satu pertunjukan penuh yang berdikari. Berdikari di sini dalam erti kata show yang dibikin sendiri dan terasing, tak seperti festival (misalnya) di mana akan saya direct satu playlet Modular tetapi ia akan berkesan kerana ada pertunjukan lain yang berlangsung. Pengalaman audien lebih meriah dan penuh.
Kenapa perasaan show penuh ini penting kerana, setakat teater yang telah kami bikin sebelum-sebelum ini, kita ada mereka yang road trip dari Pahang, naik kapal terbang dari Penang, naik bas dari Negeri Sembilan, singgah ambil adik di Melaka sebelum ke show kami. Dengan pengetahuan ini bahawa ada orang sanggup datang jauh-jauh, saya sebagai produser perlu beri suatu pengalaman yang memuaskan dari segi regangan masa itu. Ia perlu cukup panjang untuk beri kepuasan penuh. Di bawah satu jam tak cukup untuk saya. Kerana itu juga sentiasa saya kekalkan sesi bual santai selepas show, sebab saya tahu ada orang yang datang dari jauh. Supaya mereka boleh rilex kaki. Semoga jarak masa ini membuatkan perasaan mereka yang berkelana terisi.
Saya ada skrip baru adaptasi dari novel iaitu Stereo Genmai yang saya fikir selari dengan estetika Normcore ini. TEATER NORMCORE: STEREO GENMAI. Ia play dalam dua babak. Meski awalnya saya fikir Normcore ini siri teater sebabak, tapi saya fikir, selagi saya direct dan tulis, yang menghasilkan sesuatu yang full length 70 minit ke atas, ia automatis masuk dalam fasa Normcore saya.
Tak macam Modular yang lebih kepada sistem bagi siri 13 playlet yang saya tulis. Normcore ialah satu fasa di mana cara fikir saya dalam tempoh 5-10 tahun ni rasanya akan sama. Kalau saya pelukis, stroke saya di atas pentas ialah Normcore ini. Apa pun cara, teknik, skil dan framework pengarahan saya akan termaktub di dalam fasa yang dipanggil Normcore ini. Ia secara semulajadi akan terbentuk dan sekali gus proses pembelajaran saya dalam medium teater. Jika ada orang tanya saya belajar teater di mana? Saya akan jawab di Normcore, dan saya baru je enroll tahun ni.
Ridhwan Saidi