Rabu, Ogos 26, 2015

Siri Novela Moka Mocha Ink, Call For Entry

Tahun ini kami telah dan akan terbitkan tiga buah novela iaitu REBEL oleh Saat Omar, POLAROID oleh Mohd Azmen dan 86 oleh Wan Nor Azriq. Untuk tahun 2016 kami ingin fokus kepada tradisi penerbitan novela ini maka kini kami membuka ruang bagi anda untuk menulis bersama kami.

Jika ditanya novela bagaimana kami mahu, saya pantas menjawab, “Lebih peribadi lebih bagus.” Peribadi di sini bukan bermaksud autobiografi tetapi emosinya bila kita membaca terasa dekat dan benar. Dan dari segi bahasa, ya kita berkongsi bahasa Melayu tetapi yang membuatkan seorang pengarang itu lebih baik dari pengarang lain adalah apabila bahasanya sudah menjadi bahasanya.


Selain itu secara teknikalnya ia berada lebih kurang di antara 100 muka surat ke 200 muka surat. Melalui REBEL dan POLAROID, kami anggap novela sebuah prosa yang lebih pendek dari novel (atau dalam kes POLAROID, prosa yang lebih panjang dari cerpen) tapi lebih padu dan minimal penyampaiannya (tapi tak bermakna emosinya turut minimal), tetapi kemudian melalui 86, kami dapati novela juga boleh memegang bentuk yang lebih experimental dan dalam masa sama menjejakkan sebelah kaki ke daerah puisi. Pendek kata novela adalah sebuah medium yang bebas dalam meluah fikirasa anda dengan konvensi yang lebih semasa. Ia tidak tertakluk kepada novel sahaja, dalam erti kata ia novel yang pendek. Novela boleh jadi remix esei, twit, tumblr, gambarajah, foto, lakaran, sajak konkrit dan seumpamanya. Ia adalah mixed media, ia adalah kolaj, ia adalah montaj. Novela juga boleh jadi bahasa yang terapung di atas bahasa.

César Aira pernah kata di dalam satu temubual bahawa dia prefer setiap werk-nya yang nipis dijilid sebagai buku. Bila dikompilasikan saya syak werk-werk ini jadi tidak peribadi (dan terlalu dikomoditikan atas sentimen lagi tebal lagi berbaloi untuk dibeli). Dan werk-werk nipis Aira ini akan diterbitkan oleh penerbit indie di Argentina sebab penerbit-penerbit besar mahukan werk Aira yang tebal. Jadi skala dan strategi Aira ini cocok buat kami selaku penerbit kecil-kecilan.

Jika anda berminat tapi tidak tahu apa yang ingin ditulis, saya syorkan anda beli tiket bas sehala ke Lenggong dan tatap lukisan-lukisan gua dan fikir kenapa manusia purbakala dahulu melukis di dinding gua? Adakah kerana wang dan kemasyhuran? Adakah kerana untuk menggerakkan masyarakat? Kita tak akan tahu, tapi paling kurang kita boleh suspek yang lukisan-lukisan pada dinding gua ini, seperti novela, adalah sebuah expresi.

Ridhwan Saidi
P/S: Emel sinopsis/idea/struktur novela anda ke mokamochaink at gmail dot com dan kita boleh diskas hal selanjutnya.

Selasa, Ogos 25, 2015

Telefilem Maria (1984) dan filem pendek Langad Di Odu (2012)

Saya sentiasa tertarik dengan filem yang tak cukup panjang, berdurasi bawah sejam lepas tonton SIMON OF THE DESERT (1965) arahan Luis Bunuel (durasinya 45 minit). MARIA (1984) arahan Shuhaimi Baba juga berdurasi 45 minit. Ia ditayangkan semasa sesi Nostalgia Gambar Melayu di PKAF Syawal lalu di bawah kelolaan Norman Yusoff dan saya difahamkan ia merupakan telefilem pertama TV3.

MARIA sangat intens dan padu. Kita menelusuri kehidupan seorang Maria lakonan Fatimah Abu Bakar dari waktu bercinta di kampus hingga ke permasalahan lahirnya anak pertama. Emosinya dekat dan benar (pasca tayangan saya terdengar Azmir ada mengatakan bahawa ia terasa seperti pengalaman hidupnya dalam mendepani kelahiran anak pertama). MARIA menyelamatkan jiwa saya dari kisah-kisah golongan middle-class Malaysia yang serba tak senonoh dewasa ini.

Dari kisah orang cukup makan kita ke daerah murba di Sabah dengan filpen LANGAD DI ODU (2012) arahan Bebbra Mailin. Semasa saya sunting filpen THE HARLOT... saya rujuk filpen ini untuk tau letak duduk emosi yang berjaya saya pegang dan awal-awal lagi saya terpaksa menyerah sebab LANGAD DI ODU amat berkuasa. Imej pembukaannya punya nuansa epik, kerinduan seorang nenek berlatarkan alam. Bukan saja emosinya besar, malah babak nenek melintas sungai terasa magikal, sesuatu yang amat didamba di dalam sinema.

Jika pembikinan MARIA lebih formal, LANGAD DI ODU berakar di dalam tradisi neorealis dan dokumentari, tetapi ia bersemangat kontemporari dan peribadi. Ia bukan berkisar tentang struggle masyarakat tetapi struggle perasaan.

Kedua-dua werk ini umpama selakan diari.

Ridhwan Saidi

Khamis, Ogos 20, 2015

Pembikinan filem pendek The Harlot, The Client, His Wife & Her Lover

Foto-foto belakang tabir (atas) oleh Ahmad Saufie Jaffar
Terima kasih buat semua yang terlibat di depan mahupun di belakang tabir! First cut filem pendek THE HARLOT, THE CLIENT, HIS WIFE & HER LOVER akan ditayangkan di Wayang@Budiman malam Jumaat ini (21 Ogos 2015, 8.30 pm), sekali dengan tayangan filem paling sensual/seksual P. Ramlee, GELORA (1970). Jemput!

Ridhwan Saidi

Rabu, Ogos 05, 2015

Salah Guna Experimental

Istilah ‘experimental’ biasa dilempar ke arah sesuatu yang kita tak faham, dan dalam masa sama kita rasa si pengkaryanya pun sama tak faham apa yang dilakukannya. Ini tak betul sebab sebuah karya yang experimental ada hala tuju dan visi (malah sama macam karya non-experimental).

Experimental jadi konvensi bila kita macam dah tahu rupa experimental ini macam mana, iaitu seolah ia main belasah. Tapi tak, karya eksperimental mesti tahu apa yang dicari. Salah satu yang dicari sudah tentu novelty. Dan experimental ini salah satu pendekatan ke arah itu. Harap mak long.

Ridhwan Saidi

Isnin, Ogos 03, 2015

Syok Sendiri Seorang Pengkarya

Syok sendiri ada konotasi onani, jadi problematik untuk mengiyakan ia sepenuhnya bagi pihak pengkarya. Ia seolah tiada kepedulian terhadap hal ehwal sekeliling. Bayangkan seorang aktivis masyarakat yang pada suatu hari onani, lalu merasa berdosa kerana telah mengabaikan realiti dunia: terjebak masuk ke kancah imaginasi.

Syok melibatkan nikmat. Dan nikmat ini bertingkat-tingkat. Ada orang nikmatnya dakwah. Ada orang nikmatnya subteks. Ada orang nikmatnya teknik. Ada orang nikmatnya... macam-macam.

Saya okay dengan syok sendiri dalam konteks: seorang pengkarya lebih baik syok sendiri dari ikut syok orang lain. Kita biasa dengan konsep seorang pengkarya yang berkarya sebab ikut produser atau sebab memenuhi tuntutan audien. Pengkarya itu mengorbankan syoknya demi apa yang dia rasa produser atau masyarakat akan syok. Di sini kesilapan paling besar berlaku bila pengkarya itu underestimate khalayak. Lebih mendukacitakan sesebuah karya yang memenuhi tuntutan produser dan citarasa audien itu gagal menarik audien itu sendiri. Kita telah menjadikan karya itu sebagai bahan dagang semata. Kalau success kita dapat duit, kalau gagal (dan kebanyakannya gagal) kita rugi duit. Takkan itu je?

Setiap pengkarya bermimpi. Setiap manusia bermimpi. Boleh jadi kita semua pernah mimpikan seekor ular. Imej ular yang kita nampak dalam mimpi berbeza (tapi tak mustahil sama). Maka seorang pengkarya perlu yakin dengan imej ular yang dimimpinya. Kenapa perlu pengkarya itu ikut imej ular dari mimpi orang lain? Setiap pengkarya punya terusan mimpi-mimpinya yang sendiri, meski hulu dan pangkalnya dari sumber yang sama.

Untuk mendapatkan imej dari mimpi adalah untuk mencari suara sendiri. Ia sukar dan datang secara berperingkat, malah ia datang ikut suka. Ia di luar kawalan kita. Jadi saya faham bila seorang pengkarya itu tiru werk orang lain. Poin filem pendek student adalah untuk cuba-cuba dan tiru-tiru filem lain, cuma ia proses awal dalam mengenal diri. Dalam meniru itu kita akan jumpa satu suara yang dekat dengan diri kita. Dan suara itu akan bimbing kita menemui suara kita. Kita jadi cahaya.

Ridhwan Saidi

Ahad, Ogos 02, 2015

Wanita-wanita Bintang Pujaan (1981)

Sharifah Aini, Nancie Foo dan Rubiah Suparman.

Melodrama berlaku apabila melodi (melo-) muzik digunakan untuk tingkatkan emosi drama. Dalam konteks filem Bintang Pujaan (1981) ia adalah skor muzik Ahmad Nawab. Tapi apa yang buat saya tertarik, selain suara Sharifah Aini yang sedap, adalah kebarangkalian dan potensi dialog-dialog brutal apabila wanita-wanita ini (Farah Mohsein, Nancy Chong dan Sarah Jaafar) berkonfrontasi. Kepada Fassbinder saya dikembalikan.

Ridhwan Saidi
P/S: Bila seorang pembikin hari ini diberi tugas untuk bikin filem melodrama, saya suspek mereka akan perah emosi lebih-lebih (selalunya kain kering yang diperah) dan sinikal terhadap konvensi melodrama sebagai genre. Fuck that, melodrama adalah kawalan.