Rabu, Ogos 26, 2015

Siri Novela Moka Mocha Ink, Call For Entry

Tahun ini kami telah dan akan terbitkan tiga buah novela iaitu REBEL oleh Saat Omar, POLAROID oleh Mohd Azmen dan 86 oleh Wan Nor Azriq. Untuk tahun 2016 kami ingin fokus kepada tradisi penerbitan novela ini maka kini kami membuka ruang bagi anda untuk menulis bersama kami.

Jika ditanya novela bagaimana kami mahu, saya pantas menjawab, “Lebih peribadi lebih bagus.” Peribadi di sini bukan bermaksud autobiografi tetapi emosinya bila kita membaca terasa dekat dan benar. Dan dari segi bahasa, ya kita berkongsi bahasa Melayu tetapi yang membuatkan seorang pengarang itu lebih baik dari pengarang lain adalah apabila bahasanya sudah menjadi bahasanya.


Selain itu secara teknikalnya ia berada lebih kurang di antara 100 muka surat ke 200 muka surat. Melalui REBEL dan POLAROID, kami anggap novela sebuah prosa yang lebih pendek dari novel (atau dalam kes POLAROID, prosa yang lebih panjang dari cerpen) tapi lebih padu dan minimal penyampaiannya (tapi tak bermakna emosinya turut minimal), tetapi kemudian melalui 86, kami dapati novela juga boleh memegang bentuk yang lebih experimental dan dalam masa sama menjejakkan sebelah kaki ke daerah puisi. Pendek kata novela adalah sebuah medium yang bebas dalam meluah fikirasa anda dengan konvensi yang lebih semasa. Ia tidak tertakluk kepada novel sahaja, dalam erti kata ia novel yang pendek. Novela boleh jadi remix esei, twit, tumblr, gambarajah, foto, lakaran, sajak konkrit dan seumpamanya. Ia adalah mixed media, ia adalah kolaj, ia adalah montaj. Novela juga boleh jadi bahasa yang terapung di atas bahasa.

César Aira pernah kata di dalam satu temubual bahawa dia prefer setiap werk-nya yang nipis dijilid sebagai buku. Bila dikompilasikan saya syak werk-werk ini jadi tidak peribadi (dan terlalu dikomoditikan atas sentimen lagi tebal lagi berbaloi untuk dibeli). Dan werk-werk nipis Aira ini akan diterbitkan oleh penerbit indie di Argentina sebab penerbit-penerbit besar mahukan werk Aira yang tebal. Jadi skala dan strategi Aira ini cocok buat kami selaku penerbit kecil-kecilan.

Jika anda berminat tapi tidak tahu apa yang ingin ditulis, saya syorkan anda beli tiket bas sehala ke Lenggong dan tatap lukisan-lukisan gua dan fikir kenapa manusia purbakala dahulu melukis di dinding gua? Adakah kerana wang dan kemasyhuran? Adakah kerana untuk menggerakkan masyarakat? Kita tak akan tahu, tapi paling kurang kita boleh suspek yang lukisan-lukisan pada dinding gua ini, seperti novela, adalah sebuah expresi.

Ridhwan Saidi
P/S: Emel sinopsis/idea/struktur novela anda ke mokamochaink at gmail dot com dan kita boleh diskas hal selanjutnya.