Saya sentiasa tertarik dengan filem yang tak cukup panjang, berdurasi bawah sejam lepas tonton SIMON OF THE DESERT (1965) arahan Luis Bunuel (durasinya 45 minit). MARIA (1984) arahan Shuhaimi Baba juga berdurasi 45 minit. Ia ditayangkan semasa sesi Nostalgia Gambar Melayu di PKAF Syawal lalu di bawah kelolaan Norman Yusoff dan saya difahamkan ia merupakan telefilem pertama TV3.
MARIA sangat intens dan padu. Kita menelusuri kehidupan seorang Maria lakonan Fatimah Abu Bakar dari waktu bercinta di kampus hingga ke permasalahan lahirnya anak pertama. Emosinya dekat dan benar (pasca tayangan saya terdengar Azmir ada mengatakan bahawa ia terasa seperti pengalaman hidupnya dalam mendepani kelahiran anak pertama). MARIA menyelamatkan jiwa saya dari kisah-kisah golongan middle-class Malaysia yang serba tak senonoh dewasa ini.
Dari kisah orang cukup makan kita ke daerah murba di Sabah dengan filpen LANGAD DI ODU (2012) arahan Bebbra Mailin. Semasa saya sunting filpen THE HARLOT... saya rujuk filpen ini untuk tau letak duduk emosi yang berjaya saya pegang dan awal-awal lagi saya terpaksa menyerah sebab LANGAD DI ODU amat berkuasa. Imej pembukaannya punya nuansa epik, kerinduan seorang nenek berlatarkan alam. Bukan saja emosinya besar, malah babak nenek melintas sungai terasa magikal, sesuatu yang amat didamba di dalam sinema.
Jika pembikinan MARIA lebih formal, LANGAD DI ODU berakar di dalam tradisi neorealis dan dokumentari, tetapi ia bersemangat kontemporari dan peribadi. Ia bukan berkisar tentang struggle masyarakat tetapi struggle perasaan.
Kedua-dua werk ini umpama selakan diari.
Kedua-dua werk ini umpama selakan diari.
Ridhwan Saidi