Syok sendiri ada konotasi onani, jadi problematik untuk mengiyakan ia sepenuhnya bagi pihak pengkarya. Ia seolah tiada kepedulian terhadap hal ehwal sekeliling. Bayangkan seorang aktivis masyarakat yang pada suatu hari onani, lalu merasa berdosa kerana telah mengabaikan realiti dunia: terjebak masuk ke kancah imaginasi.
Syok melibatkan nikmat. Dan nikmat ini bertingkat-tingkat. Ada orang nikmatnya dakwah. Ada orang nikmatnya subteks. Ada orang nikmatnya teknik. Ada orang nikmatnya... macam-macam.
Saya okay dengan syok sendiri dalam konteks: seorang pengkarya lebih baik syok sendiri dari ikut syok orang lain. Kita biasa dengan konsep seorang pengkarya yang berkarya sebab ikut produser atau sebab memenuhi tuntutan audien. Pengkarya itu mengorbankan syoknya demi apa yang dia rasa produser atau masyarakat akan syok. Di sini kesilapan paling besar berlaku bila pengkarya itu underestimate khalayak. Lebih mendukacitakan sesebuah karya yang memenuhi tuntutan produser dan citarasa audien itu gagal menarik audien itu sendiri. Kita telah menjadikan karya itu sebagai bahan dagang semata. Kalau success kita dapat duit, kalau gagal (dan kebanyakannya gagal) kita rugi duit. Takkan itu je?
Setiap pengkarya bermimpi. Setiap manusia bermimpi. Boleh jadi kita semua pernah mimpikan seekor ular. Imej ular yang kita nampak dalam mimpi berbeza (tapi tak mustahil sama). Maka seorang pengkarya perlu yakin dengan imej ular yang dimimpinya. Kenapa perlu pengkarya itu ikut imej ular dari mimpi orang lain? Setiap pengkarya punya terusan mimpi-mimpinya yang sendiri, meski hulu dan pangkalnya dari sumber yang sama.
Untuk mendapatkan imej dari mimpi adalah untuk mencari suara sendiri. Ia sukar dan datang secara berperingkat, malah ia datang ikut suka. Ia di luar kawalan kita. Jadi saya faham bila seorang pengkarya itu tiru werk orang lain. Poin filem pendek student adalah untuk cuba-cuba dan tiru-tiru filem lain, cuma ia proses awal dalam mengenal diri. Dalam meniru itu kita akan jumpa satu suara yang dekat dengan diri kita. Dan suara itu akan bimbing kita menemui suara kita. Kita jadi cahaya.
Ridhwan Saidi