Budak, Petaling Street dari siri Ranggi Metropolis
NOORZINE adalah sebuah siri buku yang menyamar sebagai majalah. Di dalamnya terdapat himpunan foto-foto hitam dan putih oleh sepuluh orang kontributor/jurufoto amatur berserta sesi Q&A. Amatur di sini dalam erti makna sebenarnya iaitu ‘lover of’. Salah seorang yang akan ada di dalam NOORZINE 002 ialah saya, maka tinggal lagi 9 ruang bagi anda atau sesiapa sahaja yang mencintai imej, bahasa dan seni cetak.
Saya dan Nurul Aizam akan bertindak sebagai editor. Jangan tanya gambar apa yang kami mahu. Soalan itu wajar ditanya kepada diri anda sendiri.
Jika NOORZINE 001 kami cetak offset, bagi NOORZINE 002 kami akan guna digital print, 100 cetakan pertama. Akan ditambahcetak bila ada permintaan. Setiap kontributor/jurufoto akan menerima 2 naskhah gratis.
Setiap jurufoto dapat lebih kurang 10 foto untuk dipamerkan, maka himpunan ini boleh jadi teaser kepada satu projek, atau suatu retrospektif yang secara tematik berkait. Kami terbuka dengan semua naratif yang ada di atas muka bumi.
Cara terbaik untuk masuk NOORZINE 002 adalah dengan berkawan dengan saya dan tunjukkan cetakan Harvey Norman 4R atau polaroid/instax anda, dan kami akan pilih dan susun bagi himpunan imej-imej itu mencapai potensi terbaik. Selain itu boleh hantar sampel atau contoh foto-foto anda ke mokamochaink at gmail dot com. Sebarang sangsi dan ragu boleh diajukan ke emel yang sama. Terima kasih!
Ridhwan Saidi