Semasa di Obscura, Penang, terdapat himpunan buku-buku foto oleh kurator-kurator dari negara-negara berbeza. Antaranya dari Filipina yang bawa hawa zine dan estetik punk, dari Jepun yang eksperimental dan mencabar naratif sebuah buku, dari Thailand dengan humor mereka dan dari Malaysia di satu sudut, hampir semua (kecuali satu? iaitu paperback tapi saya percaya dengan wawasan...) coffee table book, penuh senyuman dan unsur sentimental.
Senyuman di dalam foto adalah propaganda potret keluarga. Seseorang kata ni, tak ingat siapa. Martin Parr?
Dan sentimental pula terutama sentimental stail Malaysia cenderung tak best. Saya tak pasti mengapa. Ia seakan terlalu memaksa. Macam dakwah. Tidak kira foto atau tulisan. Tiap kali saya tekan punat kamera, dalam hati saya sentiasa zikir sebuah rendisi unsentimental.
Coffee table book adalah sebuah konvensi borjuis. Ia seperti buku A Doctor in the House yang diletak di atas meja telefon di sebelah telefon. Ada wajah Tun Dr. Mahathir sedang senyum. Suatu prestij dalam skala marhaen. Ibarat potret keluarga dengan bingkai, Dr. M adalah sebahagian daripada keluarga kita.
Dari meja telefon, kita beralih ke meja kopi. Untuk rumah-rumah orang kebanyakan, ia boleh jadi terletak di hadapan tivi atau di laman luar. Biasanya kita bubuh majalah atau surat khabar hari itu. Alami coffee table book untuk dibelek tetamu, dan beri idea citarasa si tuan rumah. Meski bila Hari Raya kita simpan majalah dan buku di bahagian bawah meja atau rak, dan balang-balang kuih ambil posisi utama di atas meja. Makan dulu, coffee table book kemudian.
Tetapi masih, jurufoto-jurufoto kita gemarkan coffee table book. Saya tak menolak konsep coffee table book. Malah suatu masa kelak saya berniat bikin coffee table book sebesar saiz meja kopi IKEA. Dengan kaki yang boleh dipasang, agar coffee table book itu boleh berfungsi sebagai coffee table.
Selain itu saya minat dengan rekaan photobook kerana saya dapat meneroka naratif-naratif baru yang tidak boleh saya dapat dari filpen atau novel. Dengan photobook saya dapat bermain dengan arsitektur dan literatur. Arsitektur dari segi struktur dan rekaan, literatur dari segi susunan dan bahasa. Bila sebut bahasa tentu anda fikir puisi atau prosa. Jika ambil filem sebagai contoh mungkin ramai tak dapat tangkap bagaimana filem berfungsi sebagai bahasa. Barangkali contoh purba ini boleh membantu: hieroglyph aka tulisan/lukisan zaman Firaun (not to be confused with Mahafiraun!) Sistem ejaan berasaskan gambar sepertimana foto-foto disusun di dalam photobook untuk menyampaikan sesuatu via bahasa.
Ridhwan Saidi