Isnin, Mac 26, 2012

Suara-suara mereka yang dah baca novel Mautopia

'Ringkas dan kadangkala berbunga-bunga dengan istilah-istilah yang aku pun pening, tapi banyak unsur-unsur lawak yang bersahaja.' —Adriana, jiwarasagelora.blogspot

'Lepas baca mautopia, aku berfikir 78 kali nak makan ikan pari asam pedas! Boleh inzal 13 kali baca buku ni.. Hmmm.. Serius kalau tiada kekuatan minda x boleh nak cerna..' —Bleach Khairul, FB

'haram jadah Mautopia ni buat aku terkelu dan keliru sama ada aku benar2 dikelilingi kerengga gergasi atau dak' —@aarchkaiser, Twitter 

'Pehhh Mautopia ni memang ____________ (kau isi sendiri).' —@AhmadSake, Twitter

'hahaha tontonyang. tapi serious mautopia ni sangat menarik. sangat sangat menarik.' —@natalianagib, Twitter

'Mautopia tidak ubah seperti bawang, punya banyak lapisan-lapisan yang kalau tidak kena gaya dikupas akan ‘memedihkan mata’ kerana ia sememangnya bukanlah suatu bahan bacaan realis.' —Syaihan Syafiq, ngomelsikit.blogspot

'Dari sudut idea sangat menarik. Pengembaraan remaja mencari kebenaran yang bukanlah kebenaran sangat dari perspektif ketiga pihak - utopia Amerika di Bukit Famosa dan utopia Amerika di Piramika - yang diolah dengan entah chemistry apa, tapi tetap buat aku nak baca sampai habis.' —Amaluddin Zhafir, FB

'Saya menggemarinya kerana ianya sebuah buku buat saya berfikir dan mecipta keberkaitan di antara perkara atau insiden dan menerawang di celah-celah atom kehidupan kita.' —Mohd Adib Mohd Aini, Goodreads

'Kalau kau boleh baca ini dengan mengenepikan sentimen-sentimen dari Hasan Ali atau Azhar Idrus, maka kau boleh menghadam novel ini dengan baik, tanpa masalah.' —Nami, tehtarikgelasbesar.blogspot

'Karya sarkastik halus, imaginasi yg liar, tidak sesuai dihadam oleh pemikiran di bawah pengaruh sedar.' —SeorangBen, Twitter

'...sekejap kau akan, oh! dan sekejap lagi eh! dan gelak sendirian walaupun ada beberapa ketika kau mahu gigit tengkuk orang sebab geram.' —Shafaza Zara, shafaza-zara.blogspot

'Semasa baca Mautopia, aku bayangkan diri berada di tempat Avatar difilemkan. Wait, Sharifah dalam novel #mautopia merupakan anak kepada Syed Warith dlm novel #cekik ekh? What a small world. *wink* haha' —@raymelala, Twitter

'Anda boleh lihat dari pelbagai sudut seperti agama, politik, kemanusian, mahupun kekerenggaan.' Pak Lang, Goodreads

'Orwell + Dahl + Dark City = Mautopia. Mautopia reminds me of Terry Gilliam's film - Brazil' —@nazrivovinski, Twitter

'Idea kewujudan Monarchia dicelah Anarkofasis dan Monarki adalah ibarat keberadaan sinagog di dasar piramid kaca, yang bagi aku, hillarious.' —Mahmud, Goodreads

'Pada aku isi keseluruhan novel ini adalah untuk mempersoalkan betapa kuatnya pegangan kita terhadap sesuatu perkara itu, dan sampai mana kita sanggup percaya pada sesuatu yang tidak nampak di depan mata.' —Wfx, http://katakatasesat

'I think lebih mirip Neil Gaiman dibandingkan Roald Dahl, actually. Kerana dark humour dicampur whimsical itulah, persis bau-bau Neil Gaiman IMHO. Saya tak memaksakan opini :D' —@NaNawrote, Twitter

'psycho sikit, mindfucking sikit. at the end of the day yang aku faham, kau tak tahu siapa yang kau boleh percaya sebenar-benarnya, atau even apa yang kau percaya itu betul. tapi untuk tak percaya langsung, kau akan terkapai-kapai tiada tempat bergantung.' —SinudaMN, Goodreads

'Banyak memikir ni.' —Faten Kiminggo, Goodreads

'sebenarnya, aku kira baca paksa juga mautopia ni. namun, sampai pertengahan aku rasa, aku mesti habiskan hari ni jugak. dan paling menjengkelkan bila kau tak tahu apa metafora yang ingin disampaikan ridhwan ni, . . .' —syahidabdullah, Goodreads

'#Mautopia tak boleh diulas di twitter. Tak sampai inzal nanti. Saya perlu blog.' —Raiha Bahaudin, Twitter

'dengan gaya penulisannya yang santai, membuatkan aku terpesona. betul, sangat terpesona sampai aku pon takut nak tulis review.' —Ku Faiz, budaknie.blogspot

'Mautopia mcm berat sikit wpun ayat dia mudah.' —Amal, Twitter

'#mautopia membuatkan aku berasa takut tentang kepercayaan, politik, ilusi, harapan, dan cinta. gila, betul2 menyenggama minda.' —wfxpop, Twitter

'jika gemar penulisan Roald Dahl, jemput baca #Mautopia, jika tidak gemar baca Roald Dahl sekalipun, baca juga, salut!' —Panlusi, Twitter

'tamat #Mautopia - teliti halus halus simbolisme-nya ya, yang masing masing bawa erti. dari rasisme rela hingga taklid membuta kepatuhan.' —Panlusi, Twitter


Ridhwan Saidi

P/s: Entri akan dikemaskini bila berkesempatan atau rajin :-)

Isnin, Mac 19, 2012

Novel Mautopia


Novel ketiga saya berjudul MAUTOPIA setebal 225 muka surat berharga RM23 kini boleh dipesan melalui pos melalui mokamochaink@gmail.com

No akaun Maybank akan diberikan di dalam emel berserta kadar pos bagi kawasan Sungai Buloh, Semenanjung Malaysia dan Sabah & Sarawak.

MAUTOPIA akan mula dipasarkan bermula 24 Mac 2012 sempena Art For Grabs di Annexe, Central Market KL. Kemudian ia akan memasuki pasaran indie dan toko buku popular, yang mana senarainya akan kami kemaskini di sini kelak. Terima kasih.


Ridhwan Saidi

Jumaat, Mac 09, 2012

Keaghaiban Bunohan

Kupasan ini mengandungi super-spoiler. Jadi kepada mereka yang belum tonton dan tidak mahu dibelenggu sebarang preconceived idea, lebih comel tangguhkan bacaan.

BUNOHAN bermula dengan dua orang warga kampung yang dalam perjalanan menuju ke kedai kopi, menyatakan bahawa generasi muda (sedang bermain motosikal) tidak lagi melanggan arus kesedaran mistis lama, semakin jasmani, dan boleh kita katakan semakin memutuskan hubungan dengan alam ghaib. Dan kemudian kita akan tiba di sebuah kedai kopi, terdapat sebuah tivi, sedang menyiarkan berita atau 'the making of Bunohan' (kalau tak silap) dan lebih penting nama-nama sebenar mereka disebut: Pekin Ibrahim, Faizal Hussein, yang memberi idea bahawa realiti yang sedang kita nafasi ini sedang berada di dalam tivi, tetapi kemudian kita dapat lihat projeksi apa yang berada di dalam tivi, di layar pula. Siaran tivi (babak akhir filem ini) ditayangkan dan berakhir dengan imej layar koyak. Layar koyak itu kembali di dalam tivi kedai kopi dan kamera berputar 360 darjah, kelihatan siluet dua orang warga kampung tadi, dengan dua cahaya motosikal di belakang, membuatkan seolah-olah mereka ini bayang wayang kulit yang didalangi Dain Said. Mereka seakan-akan patung wayang kulit yang menjadi narator (selalunya dalam kisah-kisah lama ada seorang dua narator (macam Sudin dalam TIGA ABDUL haha) yang cerita tentang cerita, cerita dalam cerita), tetapi mereka tidak bercerita secara langung (mereka hanya 'sembang kedai kopi' tetapi temanya—kehilangan, kepupusan, kematian–terikat kuat) dan dari situ kisah (atau mitos) mengenai tiga beradik Ilham, Bakar dan Adil bermula.

Plot BUNOHAN ini kalau kita lihat the making of atau video-video yang berkaitan di internet, saya rasa sudah bocor. Malah saya terkejut apabila terlihat Tengku Azura dengan ekor buaya. Saya jadi tidak keruan dan rasa berat tulang nak ke panggung. Tetapi selepas mengalami sendiri BUNOHAN, saya rasa bagaimana cerita itu dipersembahkan yang lebih menarik. Antara ruang yang paling mistikal bagi saya ialah rumah keluarga mereka tiga beradik. Banyak momen-momen menarik berlaku di dalam rumah ini, antaranya bagaimana Bakar dan Jolok membuat persembahan wayang kulit di hadapan Pok Eng, dengan berpura-pura tidak kenal dan malah paling comel apabila Bakar yang mendalangi pelan jahat berpelakuan seperti seorang anak dara, dengan menghidangkan kuih-muih dan minuman dan lap meja. Dan bagaimana Adil dan Bakar tidak berselisih di dalam rumah tersebut, membuatkan saya percaya bahawa kisah/dilema yang sedang saya lihat ini sedang berlaku di alam ghaib, mimpi-mimpi arus ketidaksedaran mistik yang semakin mati.

Ada dua kali (yang saya perasan dan ingat) kata-kata yang menyerlahkan poin 'tema utama' filem ini disebut. Pertama dari Pok Wah kepada Pak Awang Sonar mengenai bagaimana Awang Sonar telah diracun lebih teruk daripada ikan-ikan belaannya (yang diracun oleh Jolok) dan kedua dari Adil kepada Bakar di mana tulang kalau patah boleh sembuh, tetapi apa yang dilakukan Bakar lebih teruk iaitu mematahkan semangat orang. Dua kata-kata ini menjurus kepada sesuatu yang bersifat dalaman dan tidak tampak, sepertimana saya syak keseluruhan filem ini berlaku di alam lain, dan dunia kita di dalam tivi mereka. (Ada dua kali tivi dinyalakan tanpa muncul dalam skrin tetapi bunyinya datang dari kanan belakang pawagam, seolah seperti dari luar layar. Malah pada mulanya saya sangka ada orang sedang bercakap dengan telefon di sebelah, semua orang di dalam panggung pandang ke kanan cari punca bunyi yang sebenarnya bunyi tivi). Sesuatu yang 'dalam' ini akan berbalik kepada syot terakhir filem ini dan mengapa judul filem ini BUNOHAN. Ia berlaku di kampung Bunohan, ini paling permukaan. Siapa yang dibunuh? Secara teknikalnya ramai, tetapi yang paling penting, secara tragisnya ketiga-tiga watak utama. Ilham berkorban demi adik kandungnya Adil, dan Adil yang diselamatkan turut terkorban (dengan cara yang tidak adil) melalui  racun pelir kambing, dan akhir sekali bapa mereka yang ditikam di sebalik kelir sewaktu sedang 'bekerja' (Kita hanya dapat lihat bayang-bayang Bakar melakukan aksi itu). Tetapi kita tidak dipaparkan nisan-nisan mereka. Nisan mereka semua adalah syot terakhir filem ini, iaitu papan tanda projek. Bunohan dibunuh.

Di dalam filem ini, usaha Ilham memindahkan kembali tanah-tanah perkuburan ke tempat asal, yang dipindahkan agar projek pembangunan dapat dijalankan, berakhir dengan dirinya, adiknya dan bapanya mati. Hanya Bakar hidup, dan jika kita menurut cerita, Bakar ini anak Mek Ani manakala Ilham dan Adil anak Mek Yah. Mek Ani isteri kedua Pok Eng ini boleh kita bayangkan yang Mek Ani ini bijak memanipulasi ('merampas' Pok Eng dari Mek Yah haha) seperti zuriatnya Bakar (maaf cara berfikir old-fashioned). Bagaimana Adil menyatakan dirinya dilayan seperti anak haram sewaktu kecil dan apabila mengetahui kejadian sebenar, ianya benar. Ada banyak momen menarik di dalam filem ini dan tidak kurang juga yang tidak. Secara keseluruhannya saya berjaya menikmati filem ini, ia sedikit laju, ya, saya merasakan beberapa kali, belum sempat nak hayati imej, ia sudah bertukar (misal kata kalau dalam BADLANDS saya dapat langit dan bumi dan Kit dan Holly dan jaket denim, untuk filem ini saya baru dapat awan atau kadang-kala paya, lepas tu dah tukar; tetapi ia bukan satu masalah besar, cuma saya rasa tak cukup puas, mungkin solusinya bila keluar dvd kelak saya boleh tekan butang jeda, dan hayati puas-puas hehe). Babak aksi pertarungan tomoi pula terasa perlahan dan sedikit kekok suntingannya (selain rasa tragis kematian Adil yang kurang berkesan pada saya). Dan hampir kesemua efek CGI di dalam filem ini kelihatan janggal pada saya. Janggal dalam ertikata ia mengganggu kemurnian filem itu dalam bercakap soal alam. 

Betulkan saya jika saya silap, ada refleksi kunang-kunang CGI pada air, dan kunang-kunang ini bawa cahaya di waktu malam, ia seakan bawa pengertian yang besar, dan juga babak Ilham bersama burung-burung (bangau? antaranya), yang saya rasakan cuba melambangkan roh tengkorak dan rangka mereka yang telah meninggal dunia, dan kemudian datang seekor burung yang saya tidak pasti jenis apa, mengibaskan sayap secara gerak perlahan, seolah seperti sedang mengibaskan hawa kematian kepada Ilham. Saya rasa CGI di dalam filem ini bawa feel kartun, dan saya hilang fokus pada kejadian yang berlaku, sebaliknya saya merasakan burung, kunang-kunang, dan darah itu seperti ditampal atau ditempel (kerana filem ini turut memuatkan tangkapan imej-imej alam yang cantik dan benar, dan tiba-tiba ada sesuatu yang artifisal, dan keartifisialannya agak terserlah, ia sedikit mengganggu tontonan saya).

Jadi daripada kisah tiga beradik itu, kita kembali ke kedai kopi pada permulaan cerita di mana dua orang warga kampung tadi bercerita mengenai kepupusan tradisi dan pemutusan antara dunia yang ini dengan dunia yang itu, malah kedua warga kampung ini juga menyatakan bahawa terdapat suara-suara watak (yang datang dari alam itu) ketika main wayang kulit semakin menghilang, Seri Rama, Hanuman, dll. Pok Wah tiba dan mengajak mereka untuk main peteri. Dari kedai kopi, mereka bertiga berjalan ghaib masuk ke dalam kegelitaan seperti mereka ini bersifat rohani, dan yang tinggal sekarang hanya papan tanda Bunohan samar-samar, lokasi di mana kisah tiga beradik berlaku. BUNOHAN berakhir dengan imej batu nisan.

Secara peribadi saya suka dengan kehadiran BUNOHAN. Ada yang beranggapan filem ini 'non-linear' tetapi saya rasa tidak. Ia bergerak terus. Secara strukturnya ia cerita dalam cerita, penuh refleksi (sepertimana refleksi air dan cermin yang wujud di dalam filem ini) dan disulami dengan elemen ajaib, sebab saya suspek filem ini berlaku di alam ghaib.

Saya suka BUNOHAN, tapi saya semacam tidak puas. Saya rasa ini ada kesan langsung dengan konfrontasi akhir Mek Yah dengan Pok Eng (dalam tubuh budak). Sebab secara visualnya ia berakhir dengan baik, imejnya kuat. Tetapi bila dialog itu berlaku (macam final battle KILL BILL VOL. II, bukan pertarungan jasmani, tetapi pertarungan rohani), kita tahu ada sesuatu yang belum setel perlu disetelkan di antara kedua orang suami dan isteri, lelaki dan perempuan, maskuliniti dan femininiti, dualiti alam itu. Kita dapat lihat budak itu berdiri dan bergerak-gerak di dalam rumah (seolah seperti sedang menjaga dan menguasai rumah tersebut) dan Mek Yah pula duduk bersimpuh di atas tanah (statik), dan sampai situ sahaja saya dapat, sebab saya rasa babak itu sangat penting, resolusi kepada filem ini, patut pukul habis. Persembahannya kita sedari menurun. Dan bukan kerana loghat Kelantan yang tersasar, (saya boleh abaikan hal ini berbanding CGI), tetapi kerana kita sudah dipersembahkan dengan sesuatu yang rabak dari mula, (kita ada Jolok, ada Bakar, ada Pok Eng, ada Pak Awang Sonar dll.) ia jadi kurang ummphh! Ia tak sampai, dan saya tak dapat, dengar dan faham apa yang mereka berdua sembangkan. Lidah siapa yang menguasai? Kalau babak ini meletup, saya rasa filem ini boleh pergi lebih lagi.

Saya ada terbaca Mamat Khalid ada mengatakan BUNOHAN sebagai sebuah filem yang lengkap. Saya pula secara peribadi rasa, kalau diukur dari segi kelengkapan, MAN LAKSA lebih lengkap berbanding dengan yang ini. Dan kalau mahu ditolak lebih lagi, KAKI BAKAR masih menjadi kegemaran peribadi, mengabaikan filem-filem Melayu klasik yang sudah berada di dalam kelas yang tersendiri. Tetapi ini pendapat peribadi saya sahaja, saya bukannya sinefelia atau kaki filem pun. Tetapi menariknya ketiga-tiga filem ini berdiri di dalam dekad yang berbeza. 1991-2000, 2001-2010, dan saya rasa BUNOHAN kini mendahului dekad 2011-2020, satu tanda aras yang baik sebelum negara kita mencapai taraf negara maju :-)

Apa pun BUNOHAN akan tetap tersemat di dalam hati saya, kerana ia merupakan filem pertama yang saya tonton di panggung dengan perfect eyesight. Mimpi tidak pernah sejelas ini. So sweet.


Ridhwan Saidi

Khamis, Mac 08, 2012

Raslan dan Potret Raslan

Raslan hanya nampak warna hitam.
Raslan dengar bunyi pintu dihempas.
Raslan buka ikatan mata.
Raslan di dalam sebuah bilik, dikelilingi dinding konkrit.
Raslan berjalan ke arah pintu kayu.
Raslan mahu buka, tetapi pintu kayu itu tiada tombol.
Raslan tolak pintu kayu itu, tetapi pintu kayu itu tidak berganjak.
Raslan lapar.
Raslan toleh dan nampak sebuah meja makan.
Raslan sentuh siling rata di atas kepala.
Raslan membayangkan siling itu runtuh, tetapi siling itu tidak runtuh.
Raslan ke meja makan.
Raslan duduk.
Di atas meja ada sebiji telur ayam
dan sebiji cawan kaca.
Raslan mahu kupas kulit telur, tetapi kulit telur itu
keras seperti konkrit.
Raslan ketuk telur ayam dengan sudu besi.
Sudu besi bengkok.
Raslan hentak telur ayam pada bibir cawan kaca.
Cawan kaca pecah.
Raslan hentak telur ayam pada bucu meja kayu.
Meja kayu patah.
Telur ayam terlepas dari tangan Raslan,
jatuh ke atas kaki,
'Adoi!'
Raslan sakit.
Dan marah.
Raslan ambil telur ayam di atas lantai, kemudian
lempar sekuat hati ke arah pintu kayu.
Raslan membayangkan pintu kayu itu roboh, tetapi pintu kayu itu tidak roboh.

Raslan ke pintu kayu.
Ada sebuah lubang kecil,
bersaiz sebiji telur ayam.
Raslan skodeng ke dalam lubang.
Ada seorang lelaki sedang skodeng.
Lelaki itu berpakaian seperti Raslan.
Raslan terkejut.
Raslan skodeng lagi.
Ada diri Raslan sedang skodeng pada pintu kayu.
Raslan toleh belakang.
Ada lukisan potret seorang pemuda pada dinding konkrit.
Pemuda itu berpakaian seperti Raslan.
Pemuda itu pandang Raslan.
Pemuda itu Raslan.
Raslan takut.
Raslan ambil kain alas meja, tutup potret tersebut.
Raslan kembali ke pintu kayu, skodeng lagi.
Kali ini Raslan tidak nampak apa-apa,
selain warna hitam.
Raslan hampir gembira.
Tetapi warna hitam menghilang.
Raslan nampak Raslan sedang skodeng pada pintu kayu.
Raslan toleh belakang.
Kain alas meja di atas lantai.
Potret Raslan senyum.
Raslan marah.
Raslan berlari ambil kain alas meja dan tutup potret Raslan.
Raslan berlari ke pintu kayu.
Raslan skodeng.
'Kah Kah Kah!'
Raslan pusing belakang.
Kain alas meja di atas lantai.
Potret Raslan ketawa.
Raslan marah.
Raslan ambil garfu di atas serpihan meja patah.
Raslan cucuk kedua biji mata Raslan di dalam potret.
Raslan cucuk banyak kali.
Garfu besi bengkok.
Pancuran air keluar mencurah-curah.
Raslan masih cucuk banyak kali.
Raslan tidak lapar.
Raslan amuk.

Bilik itu dibanjiri air mata potret.
Kerusi dan meja kayu terapung.
Paras air mata cecah dada.
Raslan tarik nafas.
Raslan sabar.
Raslan berenang ke pintu kayu.
Raslan skodeng ke dalam lubang bersaiz telur ayam.
Raslan hanya nampak warna hitam.
Raslan gembira.
Dan sedih.
Raslan sudah tidak ada kawan.

Raslan menangis.
Siling dan dinding konkrit sedih lihat Raslan sedih.
Siling dan dinding konkrit menangis.
Kerusi dan meja kayu sedih lihat siling dan dinding konkrit sedih.
Kerusi dan meja kayu menangis.
Sudu dan garfu besi sedih lihat kerusi dan meja kayu sedih.
Sudu dan garfu besi menangis.
Hanya pintu kayu tidak sedih.
Pintu kayu keras hati.

Paras air mata cecah hidung.
Raslan tahu bahaya untuk terus menangis, tetapi Raslan terus menangis.
Paras air mata cecah siling.
Raslan mati lemas.
Pintu kayu sedih lihat Raslan mati lemas.
Hati keras pintu kayu jadi cair.
Pintu kayu roboh.
Air mata mencurah-curah keluar meresap ke dalam pasir pantai.
Ombak mengusung tubuh Raslan,
bersemadi ke dalam lautan.

Telur ayam yang dilempar Raslan
ada di atas pasir pantai.
Kulit telur ayam yang keras seperti konkrit itu
menetas.
Raslan keluar daripada telur ayam itu.
Raslan bersyukur.
Dan berdoa.
Mujur Raslan tidak dimakan Raslan.


Ridhwan Saidi

Rabu, Mac 07, 2012

Cara-cara beli novel MAUTOPIA

'Tiada yang betul selain kebetulan'  
Sharifah jatuh cinta dan putus cinta ketika berusia sepuluh tahun. Kekasihnya seorang pelakon teater cilik telah terpilih untuk bermastautin di Amerika. Enam tahun kemudian Sharifah ditangkap khalwat berdua-duaan. Sharifah dan pasangan bukan mahramnya telah dihukum di hadapan perhimpunan. Sharifah kesal dan mula berubah, di kala kekasih pertamanya pulang dari Amerika dengan satu rahsia.

Ismail berusia seratus tiga puluh dua tahun tinggal seorang diri di dalam sebuah rumah api. Di usia remaja, Ismail dan dua rakan pengakapnya Jason dan Prakash telah beradvencer ke puncak bukit Famosa. Mereka menemui sebuah perkampungan nelayan Yawa-Kotti di sebalik bukit, kawasan larangan Guru Besar.

MAUTOPIA adalah sebuah advencer distopik mengenai cinta terlarang, tanggapan dan manipulasi yang berlegar-legar di sekitar pohon oak ditumbuhi orkid, piramid kaca dan keluli, renjatan taser, bot berkuasa solar, kek cawan, rumah modular, ikan pari masak asam pedas dan sut manusoid.


MAUTOPIA akan sampai 7 hari lagi (dari tarikh entri ini ditulis). Sila emel mokamochaink@gmail.com untuk pra pesanan. Pra pesanan (termasuk bayaran) hanya diterima sebelum jam 6 petang, 14 Mac 2012 (Rabu). Penghantaran melalui pos akan dibuat keesokan harinya. Anda yang telah membuat pra-pesanan secara ekslusif akan menjadi pembaca terawal. MAUTOPIA akan mula dipasarkan di Arts For Grab, Annexe Central Market, 24 Mac 2012 sebelum memasuki arus pasaran pinggiran dan popular.

Senarai toko-toko yang memasarkan novel AMERIKA (dan MAUTOPIA kelak):
Kedai Fixi (fixi.com.my)
Distrobuku, Frinjan dan acara-acara 'indie'
Gerak Budaya
Kinokuniya, KLCC
Silverfish Bookstore, Bangsar
Gobok Buku, Johor Bahru
UYA Distro, Subang Jaya
Rabak Distro, Ipoh
Pekan Buku, UM
Atau lawati facebook.com/MokaMochaInk untuk maklumat lanjut


Ridhwan Saidi