Jumaat, Mac 09, 2012

Keaghaiban Bunohan

Kupasan ini mengandungi super-spoiler. Jadi kepada mereka yang belum tonton dan tidak mahu dibelenggu sebarang preconceived idea, lebih comel tangguhkan bacaan.

BUNOHAN bermula dengan dua orang warga kampung yang dalam perjalanan menuju ke kedai kopi, menyatakan bahawa generasi muda (sedang bermain motosikal) tidak lagi melanggan arus kesedaran mistis lama, semakin jasmani, dan boleh kita katakan semakin memutuskan hubungan dengan alam ghaib. Dan kemudian kita akan tiba di sebuah kedai kopi, terdapat sebuah tivi, sedang menyiarkan berita atau 'the making of Bunohan' (kalau tak silap) dan lebih penting nama-nama sebenar mereka disebut: Pekin Ibrahim, Faizal Hussein, yang memberi idea bahawa realiti yang sedang kita nafasi ini sedang berada di dalam tivi, tetapi kemudian kita dapat lihat projeksi apa yang berada di dalam tivi, di layar pula. Siaran tivi (babak akhir filem ini) ditayangkan dan berakhir dengan imej layar koyak. Layar koyak itu kembali di dalam tivi kedai kopi dan kamera berputar 360 darjah, kelihatan siluet dua orang warga kampung tadi, dengan dua cahaya motosikal di belakang, membuatkan seolah-olah mereka ini bayang wayang kulit yang didalangi Dain Said. Mereka seakan-akan patung wayang kulit yang menjadi narator (selalunya dalam kisah-kisah lama ada seorang dua narator (macam Sudin dalam TIGA ABDUL haha) yang cerita tentang cerita, cerita dalam cerita), tetapi mereka tidak bercerita secara langung (mereka hanya 'sembang kedai kopi' tetapi temanya—kehilangan, kepupusan, kematian–terikat kuat) dan dari situ kisah (atau mitos) mengenai tiga beradik Ilham, Bakar dan Adil bermula.

Plot BUNOHAN ini kalau kita lihat the making of atau video-video yang berkaitan di internet, saya rasa sudah bocor. Malah saya terkejut apabila terlihat Tengku Azura dengan ekor buaya. Saya jadi tidak keruan dan rasa berat tulang nak ke panggung. Tetapi selepas mengalami sendiri BUNOHAN, saya rasa bagaimana cerita itu dipersembahkan yang lebih menarik. Antara ruang yang paling mistikal bagi saya ialah rumah keluarga mereka tiga beradik. Banyak momen-momen menarik berlaku di dalam rumah ini, antaranya bagaimana Bakar dan Jolok membuat persembahan wayang kulit di hadapan Pok Eng, dengan berpura-pura tidak kenal dan malah paling comel apabila Bakar yang mendalangi pelan jahat berpelakuan seperti seorang anak dara, dengan menghidangkan kuih-muih dan minuman dan lap meja. Dan bagaimana Adil dan Bakar tidak berselisih di dalam rumah tersebut, membuatkan saya percaya bahawa kisah/dilema yang sedang saya lihat ini sedang berlaku di alam ghaib, mimpi-mimpi arus ketidaksedaran mistik yang semakin mati.

Ada dua kali (yang saya perasan dan ingat) kata-kata yang menyerlahkan poin 'tema utama' filem ini disebut. Pertama dari Pok Wah kepada Pak Awang Sonar mengenai bagaimana Awang Sonar telah diracun lebih teruk daripada ikan-ikan belaannya (yang diracun oleh Jolok) dan kedua dari Adil kepada Bakar di mana tulang kalau patah boleh sembuh, tetapi apa yang dilakukan Bakar lebih teruk iaitu mematahkan semangat orang. Dua kata-kata ini menjurus kepada sesuatu yang bersifat dalaman dan tidak tampak, sepertimana saya syak keseluruhan filem ini berlaku di alam lain, dan dunia kita di dalam tivi mereka. (Ada dua kali tivi dinyalakan tanpa muncul dalam skrin tetapi bunyinya datang dari kanan belakang pawagam, seolah seperti dari luar layar. Malah pada mulanya saya sangka ada orang sedang bercakap dengan telefon di sebelah, semua orang di dalam panggung pandang ke kanan cari punca bunyi yang sebenarnya bunyi tivi). Sesuatu yang 'dalam' ini akan berbalik kepada syot terakhir filem ini dan mengapa judul filem ini BUNOHAN. Ia berlaku di kampung Bunohan, ini paling permukaan. Siapa yang dibunuh? Secara teknikalnya ramai, tetapi yang paling penting, secara tragisnya ketiga-tiga watak utama. Ilham berkorban demi adik kandungnya Adil, dan Adil yang diselamatkan turut terkorban (dengan cara yang tidak adil) melalui  racun pelir kambing, dan akhir sekali bapa mereka yang ditikam di sebalik kelir sewaktu sedang 'bekerja' (Kita hanya dapat lihat bayang-bayang Bakar melakukan aksi itu). Tetapi kita tidak dipaparkan nisan-nisan mereka. Nisan mereka semua adalah syot terakhir filem ini, iaitu papan tanda projek. Bunohan dibunuh.

Di dalam filem ini, usaha Ilham memindahkan kembali tanah-tanah perkuburan ke tempat asal, yang dipindahkan agar projek pembangunan dapat dijalankan, berakhir dengan dirinya, adiknya dan bapanya mati. Hanya Bakar hidup, dan jika kita menurut cerita, Bakar ini anak Mek Ani manakala Ilham dan Adil anak Mek Yah. Mek Ani isteri kedua Pok Eng ini boleh kita bayangkan yang Mek Ani ini bijak memanipulasi ('merampas' Pok Eng dari Mek Yah haha) seperti zuriatnya Bakar (maaf cara berfikir old-fashioned). Bagaimana Adil menyatakan dirinya dilayan seperti anak haram sewaktu kecil dan apabila mengetahui kejadian sebenar, ianya benar. Ada banyak momen menarik di dalam filem ini dan tidak kurang juga yang tidak. Secara keseluruhannya saya berjaya menikmati filem ini, ia sedikit laju, ya, saya merasakan beberapa kali, belum sempat nak hayati imej, ia sudah bertukar (misal kata kalau dalam BADLANDS saya dapat langit dan bumi dan Kit dan Holly dan jaket denim, untuk filem ini saya baru dapat awan atau kadang-kala paya, lepas tu dah tukar; tetapi ia bukan satu masalah besar, cuma saya rasa tak cukup puas, mungkin solusinya bila keluar dvd kelak saya boleh tekan butang jeda, dan hayati puas-puas hehe). Babak aksi pertarungan tomoi pula terasa perlahan dan sedikit kekok suntingannya (selain rasa tragis kematian Adil yang kurang berkesan pada saya). Dan hampir kesemua efek CGI di dalam filem ini kelihatan janggal pada saya. Janggal dalam ertikata ia mengganggu kemurnian filem itu dalam bercakap soal alam. 

Betulkan saya jika saya silap, ada refleksi kunang-kunang CGI pada air, dan kunang-kunang ini bawa cahaya di waktu malam, ia seakan bawa pengertian yang besar, dan juga babak Ilham bersama burung-burung (bangau? antaranya), yang saya rasakan cuba melambangkan roh tengkorak dan rangka mereka yang telah meninggal dunia, dan kemudian datang seekor burung yang saya tidak pasti jenis apa, mengibaskan sayap secara gerak perlahan, seolah seperti sedang mengibaskan hawa kematian kepada Ilham. Saya rasa CGI di dalam filem ini bawa feel kartun, dan saya hilang fokus pada kejadian yang berlaku, sebaliknya saya merasakan burung, kunang-kunang, dan darah itu seperti ditampal atau ditempel (kerana filem ini turut memuatkan tangkapan imej-imej alam yang cantik dan benar, dan tiba-tiba ada sesuatu yang artifisal, dan keartifisialannya agak terserlah, ia sedikit mengganggu tontonan saya).

Jadi daripada kisah tiga beradik itu, kita kembali ke kedai kopi pada permulaan cerita di mana dua orang warga kampung tadi bercerita mengenai kepupusan tradisi dan pemutusan antara dunia yang ini dengan dunia yang itu, malah kedua warga kampung ini juga menyatakan bahawa terdapat suara-suara watak (yang datang dari alam itu) ketika main wayang kulit semakin menghilang, Seri Rama, Hanuman, dll. Pok Wah tiba dan mengajak mereka untuk main peteri. Dari kedai kopi, mereka bertiga berjalan ghaib masuk ke dalam kegelitaan seperti mereka ini bersifat rohani, dan yang tinggal sekarang hanya papan tanda Bunohan samar-samar, lokasi di mana kisah tiga beradik berlaku. BUNOHAN berakhir dengan imej batu nisan.

Secara peribadi saya suka dengan kehadiran BUNOHAN. Ada yang beranggapan filem ini 'non-linear' tetapi saya rasa tidak. Ia bergerak terus. Secara strukturnya ia cerita dalam cerita, penuh refleksi (sepertimana refleksi air dan cermin yang wujud di dalam filem ini) dan disulami dengan elemen ajaib, sebab saya suspek filem ini berlaku di alam ghaib.

Saya suka BUNOHAN, tapi saya semacam tidak puas. Saya rasa ini ada kesan langsung dengan konfrontasi akhir Mek Yah dengan Pok Eng (dalam tubuh budak). Sebab secara visualnya ia berakhir dengan baik, imejnya kuat. Tetapi bila dialog itu berlaku (macam final battle KILL BILL VOL. II, bukan pertarungan jasmani, tetapi pertarungan rohani), kita tahu ada sesuatu yang belum setel perlu disetelkan di antara kedua orang suami dan isteri, lelaki dan perempuan, maskuliniti dan femininiti, dualiti alam itu. Kita dapat lihat budak itu berdiri dan bergerak-gerak di dalam rumah (seolah seperti sedang menjaga dan menguasai rumah tersebut) dan Mek Yah pula duduk bersimpuh di atas tanah (statik), dan sampai situ sahaja saya dapat, sebab saya rasa babak itu sangat penting, resolusi kepada filem ini, patut pukul habis. Persembahannya kita sedari menurun. Dan bukan kerana loghat Kelantan yang tersasar, (saya boleh abaikan hal ini berbanding CGI), tetapi kerana kita sudah dipersembahkan dengan sesuatu yang rabak dari mula, (kita ada Jolok, ada Bakar, ada Pok Eng, ada Pak Awang Sonar dll.) ia jadi kurang ummphh! Ia tak sampai, dan saya tak dapat, dengar dan faham apa yang mereka berdua sembangkan. Lidah siapa yang menguasai? Kalau babak ini meletup, saya rasa filem ini boleh pergi lebih lagi.

Saya ada terbaca Mamat Khalid ada mengatakan BUNOHAN sebagai sebuah filem yang lengkap. Saya pula secara peribadi rasa, kalau diukur dari segi kelengkapan, MAN LAKSA lebih lengkap berbanding dengan yang ini. Dan kalau mahu ditolak lebih lagi, KAKI BAKAR masih menjadi kegemaran peribadi, mengabaikan filem-filem Melayu klasik yang sudah berada di dalam kelas yang tersendiri. Tetapi ini pendapat peribadi saya sahaja, saya bukannya sinefelia atau kaki filem pun. Tetapi menariknya ketiga-tiga filem ini berdiri di dalam dekad yang berbeza. 1991-2000, 2001-2010, dan saya rasa BUNOHAN kini mendahului dekad 2011-2020, satu tanda aras yang baik sebelum negara kita mencapai taraf negara maju :-)

Apa pun BUNOHAN akan tetap tersemat di dalam hati saya, kerana ia merupakan filem pertama yang saya tonton di panggung dengan perfect eyesight. Mimpi tidak pernah sejelas ini. So sweet.


Ridhwan Saidi