Khamis, Mac 08, 2012

Raslan dan Potret Raslan

Raslan hanya nampak warna hitam.
Raslan dengar bunyi pintu dihempas.
Raslan buka ikatan mata.
Raslan di dalam sebuah bilik, dikelilingi dinding konkrit.
Raslan berjalan ke arah pintu kayu.
Raslan mahu buka, tetapi pintu kayu itu tiada tombol.
Raslan tolak pintu kayu itu, tetapi pintu kayu itu tidak berganjak.
Raslan lapar.
Raslan toleh dan nampak sebuah meja makan.
Raslan sentuh siling rata di atas kepala.
Raslan membayangkan siling itu runtuh, tetapi siling itu tidak runtuh.
Raslan ke meja makan.
Raslan duduk.
Di atas meja ada sebiji telur ayam
dan sebiji cawan kaca.
Raslan mahu kupas kulit telur, tetapi kulit telur itu
keras seperti konkrit.
Raslan ketuk telur ayam dengan sudu besi.
Sudu besi bengkok.
Raslan hentak telur ayam pada bibir cawan kaca.
Cawan kaca pecah.
Raslan hentak telur ayam pada bucu meja kayu.
Meja kayu patah.
Telur ayam terlepas dari tangan Raslan,
jatuh ke atas kaki,
'Adoi!'
Raslan sakit.
Dan marah.
Raslan ambil telur ayam di atas lantai, kemudian
lempar sekuat hati ke arah pintu kayu.
Raslan membayangkan pintu kayu itu roboh, tetapi pintu kayu itu tidak roboh.

Raslan ke pintu kayu.
Ada sebuah lubang kecil,
bersaiz sebiji telur ayam.
Raslan skodeng ke dalam lubang.
Ada seorang lelaki sedang skodeng.
Lelaki itu berpakaian seperti Raslan.
Raslan terkejut.
Raslan skodeng lagi.
Ada diri Raslan sedang skodeng pada pintu kayu.
Raslan toleh belakang.
Ada lukisan potret seorang pemuda pada dinding konkrit.
Pemuda itu berpakaian seperti Raslan.
Pemuda itu pandang Raslan.
Pemuda itu Raslan.
Raslan takut.
Raslan ambil kain alas meja, tutup potret tersebut.
Raslan kembali ke pintu kayu, skodeng lagi.
Kali ini Raslan tidak nampak apa-apa,
selain warna hitam.
Raslan hampir gembira.
Tetapi warna hitam menghilang.
Raslan nampak Raslan sedang skodeng pada pintu kayu.
Raslan toleh belakang.
Kain alas meja di atas lantai.
Potret Raslan senyum.
Raslan marah.
Raslan berlari ambil kain alas meja dan tutup potret Raslan.
Raslan berlari ke pintu kayu.
Raslan skodeng.
'Kah Kah Kah!'
Raslan pusing belakang.
Kain alas meja di atas lantai.
Potret Raslan ketawa.
Raslan marah.
Raslan ambil garfu di atas serpihan meja patah.
Raslan cucuk kedua biji mata Raslan di dalam potret.
Raslan cucuk banyak kali.
Garfu besi bengkok.
Pancuran air keluar mencurah-curah.
Raslan masih cucuk banyak kali.
Raslan tidak lapar.
Raslan amuk.

Bilik itu dibanjiri air mata potret.
Kerusi dan meja kayu terapung.
Paras air mata cecah dada.
Raslan tarik nafas.
Raslan sabar.
Raslan berenang ke pintu kayu.
Raslan skodeng ke dalam lubang bersaiz telur ayam.
Raslan hanya nampak warna hitam.
Raslan gembira.
Dan sedih.
Raslan sudah tidak ada kawan.

Raslan menangis.
Siling dan dinding konkrit sedih lihat Raslan sedih.
Siling dan dinding konkrit menangis.
Kerusi dan meja kayu sedih lihat siling dan dinding konkrit sedih.
Kerusi dan meja kayu menangis.
Sudu dan garfu besi sedih lihat kerusi dan meja kayu sedih.
Sudu dan garfu besi menangis.
Hanya pintu kayu tidak sedih.
Pintu kayu keras hati.

Paras air mata cecah hidung.
Raslan tahu bahaya untuk terus menangis, tetapi Raslan terus menangis.
Paras air mata cecah siling.
Raslan mati lemas.
Pintu kayu sedih lihat Raslan mati lemas.
Hati keras pintu kayu jadi cair.
Pintu kayu roboh.
Air mata mencurah-curah keluar meresap ke dalam pasir pantai.
Ombak mengusung tubuh Raslan,
bersemadi ke dalam lautan.

Telur ayam yang dilempar Raslan
ada di atas pasir pantai.
Kulit telur ayam yang keras seperti konkrit itu
menetas.
Raslan keluar daripada telur ayam itu.
Raslan bersyukur.
Dan berdoa.
Mujur Raslan tidak dimakan Raslan.


Ridhwan Saidi