Khamis, Mei 26, 2011

Pencetakan BinFilem


Sebelum KBFS atau ASCK yang dibuat sepanjang 3 tahun lepas, saya sudah lupa samada saya pernah menerbitkan apa-apa atau tidak. Yang saya ingat, Dewa sewaktu sekolahnya ada terbitkan zine. Saya tak baca, cuma yang saya baca reviu zine tersebut di dalam sebuah zine dari Brazil atau Amerika Syarikat entah saya dah tak ingat. Komen si bukan Malaysian itu kalau tak silap saya berbunyi: 'Tulisan yang baik tetapi kualiti produksinya boleh ditingkatkan lagi.'

Hal ini sama bunyinya lebih kurang dengan komen seorang Laqman yang mengatakan filpen-filpen saya perlu ditingkatkan lagi kualiti produksinya. Dengan pengalaman berbelas-belas filpen amatur spontan (hampir semua tanpa bajet dan produksi), kini saya ingin tolak kebolehan saya dalam menghasilkan sebuah filem ke takah seterusnya. Asalnya saya nak laksanakan projek zombie vegan saya, tapi beberapa hari lepas Fasyali ada menceritakan satu idea yang jauh lebih menawan. Pendek cerita saya mahu direct idea itu, cuma ia akan dilaksanakan lagi setahun dua – kasi idea itu ranum dulu bak kata hipster.

Kini saya serta beberapa orang rakan sedang menggerakkan novel masing-masing. Tak sanggup lagi menjahit dan gam satu-persatu, kini kami akan cetak pakai mesin kat kedai melalui seorang kabel LOL. Kami sedaya upaya akan menjaga kualiti dan status pencetakan mengatasi hal-hal keuntungan yang sementara. Pertama sekali kami akan guna selain kertas putih seperti kuning, kelabu, coklat, recycle paper atau apa-apa yang dirasakan lebih romantik semasa proses membaca. Dalam pencetakan bahasa Melayu, kertas selain putih ini merupakan sesuatu yang terlarang dalam konteks jualan. Bagi pembaca Melayu, kertas selain putih nampak lama dan kotor. Mereka rasa geli dengan kertas selain putih. Pernah satu ketika dulu sebuah publikasi tak jalan pasal kertas dia warna kuning. Bukan tak minat atau prejudis dengan kertas putih, cuma hawa kertas putih terlalu keras untuk penulisan kami. Nanti feel dia macam buku teks pula. Kami tak mahu itu. Biar tak bestseller asal kita yang sentimental dan bercitarasa tinggi ini puas hati ha ha ha.

Kalau ada keuntungan lebih daripada jualan ini, ia akan disalurkan kembali kepada pembikinan filem idea Fasyali itu. Dengan janaan duit yang serba ada, barulah mungkin dana-dana lain disedut masuk kalau ada rezeki. Dengan itu, saya akan dedikasikan sisa-sisa 2011 ini untuk menyiapkan novel 100,000 saya. CEKIK merupakan percubaan/eksperimentasi saya dalam mengenali 'novel' (yang telah saya tinggalkan waktu sekolah). Dengan pengalaman yang ciput itu, kini saya lebih selesa untuk mengeluarkan momen-momen best dalam hidup ha ha ha, kononnya.

Sewaktu menjual buku yang diusahakan mandiri ini, ramai yang tanya bagaimana ia dibuat. Saya selalunya tersentak tak tau nak jawab macam mana. Sebab waktu pertama kali nak buat, bukan nak mengaku punk ke, rock n' roll ke ape, tapi kita main belasah aja. Tapi sebelum tu kita belek-belek la buku-buku yang sedia ada. Basically bila kita dah tau structure, semua setel – balun aja pakai gam ke, stapler ke, benang ke, selotap ke, semua benda yang mengikat dan melekat kasi taruk. Agak-agak konfiden kita try jual test market. Dan lawaknya sewaktu batch pertama diedarkan, tiada siapa cakap kulit dia tertanggal. Semua senyap macam nak jaga hati. Saya secara peribadi rasa, kalau nak jaga hati pun berpada-pada la. Kita sedang menjaga kualiti, jadi kalau berlaku kegagalan, kita akan cuba lagi sampai jadi. Barulah satu macam punya kualiti pencetakan! ;-)


Ridhwan Saidi
P/s: Mungkin bila ada untung lebih atau ada permintaan, kami akan upah sesiapa menjadi penyunting kepada KBFS dan ASCK untuk dicetak cara kedai. Yang jahit tangan tu kira rare la, dalam 300 naskah gitu (dah habis stok) keh keh keh.