Ahad, Mei 22, 2011

Pengalaman Membaca Masing-Masing

Tidak kira samada membaca novel atau pun menonton filem, pengalaman yang kita alami itu tidak lagi terikat dengan si pembuat atau pengarang atau pengarah tersebut. Ini kerana menurut Foucault, intepretasi sesebuah teks atau karya atau werk itu akan terkongkong dengan intelektualiti, rasa, berahi dan aksi fizikal si pembuat/pengarang/pengarah. Walhal kesemua itu adalah milik mutlak si pembaca. Ia adalah pengalaman peribadi dan intepretasi si pembaca. Macam kata Gibran, guru yang baik tak akan bawa muridnya masuk ke dalam dirinya. Guru yang baik akan bawa murid itu masuk ke dalam diri mereka sendiri. Dalam kes Foucault tadi dia sedang mengkritik author (bagi novel) dan auteur (bagi filem). Secara amnya dia menolak satu jalur kepengarangan mutlak. Hegemoni kepengarangan harus dirobohkan demi sebuah intepretasi yang jauh lebih bebas (atau lebih hip dipanggil demokratik). Lebih ekstrim, 'pengarang sudah mati' ucap Barthes. Sewaktu ditemubual dengan Bissme, serta sesi minum kopi dengan Nazim selepas itu, saya cuba menerapkan hal ehwal pasca-moden ini. Malah saya juga membincangkan hal ini dengan semua orang yang saya jumpa – Dewa, Fasyali dll. Hal ini sama kesnya dengan proses adaptasi. Teks/karya/werk yang diadaptasi bernaung di bawah diri si pengadaptasi. Tetapi selepas itu apabila filem itu ditayang kepada umum, ia menjadi milik si penonton pula. Ia menjadi pengalaman menonton masing-masing. Dan paling penting di dalam pengalaman yang kita alami ini baik menonton mahu pun membaca; adalah momen-momen yang telah berjaya 'sentuh' diri kita (Bayangkan bagaimana suatu momen dalam beberapa saat boleh membuatkan kita ingat seumur hidup). Kadang-kala ia berkesan buat A, tetapi tidak pada B, tetapi momen lain pula yang berkesan pada C. Jadi di dalam kehidupan mahu pun kesenian, kita sedang meraikan momen-momen yang telah berjaya menyentuh dan menggerakkan kita supaya berubah dan berhijrah menjadi insan yang lebih baik. Jika sesebuah filem atau novel itu telah membuatkan kita buang sampah ke dalam tong sampah, itu sudah boleh dikira bagus (bagi kita yang hidup di kota yang serba kotor ini). Sebagai contoh, rasa hormat saya pada guru memuncak selepas saya menonton RED BEARD oleh Kurosawa. Mungkin orang lain tak dapat relate, sentiasa ada filem atau novel yang akan membuatkan kamu lebih menghormati guru (sebagai contoh LASKAR PELANGI misalnya). Memandangkan saya selaku pseudo-afisionado sinema entah bagaimana boleh terjerumus ke dalam lembah penulisan novel. Dan novel saya telah diterbitkan oleh Fixi. Dengan respon yang pelbagai di Goodreads dan internet dan buah mulut. Saya tak kesah samada orang suka atau pun tidak kerana ia adalah pengalaman membaca masing-masing. Boleh jadi saya tidak suka dengan novel sendiri, tetapi jika ada orang suka, saya perlu hormat kerana ia adalah pengalaman membaca mereka. Mungkin ada momen yang sangkut, kita tidak akan tahu. Menjawab pertanyaan Bissme mengenai harapan, saya tidak meletakkan apa-apa harapan terhadap pembaca/pembeli kerana ia sesuatu yang sia-sia. Saya telah putuskan hubungan saya dengan novel itu dari hari pertama ia dilancarkan. Macam seorang bapa yang memiliki seorang anak, apabila anak itu sudah cukup umur – sudah cukup pandai untuk melintas jalan, tak perlulah kita pimpin lagi tangan mereka. Kita biarkan novel itu hidup berdikari di atas rak sambil buat anak baru ha ha ha.


Ridhwan Saidi