Jumaat, Jun 03, 2011

Cinta Akhir – Kita Tanya, Kita Jawab


Di status FB, ramai yang bertanya ke mana Lisa (Liyana Jasmay) menghilang. Jawapan dia amat mudah, dia masuk hospital oleh sebab kanser paru-paru (atau kanser tekak jika kumuh asap, atau apa-apa yang biasa kamu lihat pada kotak rokok kamu itu – imej-imej yang mengerikan), boleh jadi juga dia meninggal dunia. (Ada yang mengkritik gaya Liyana hisap rokok kerana tidak sedut masuk ke dalam paru-paru, dia sekadar berkumuh. Tetapi kumuh asap ini juga satu proses hisap rokok. Bahaya dia macam yang saya kata tadi, kalau sedut dalam kanser paru-paru, kalau kumuh kanser tekak. Ia berbalik kepada nikmat, kalau hisap sedut dalam menyeksakan, buat apa buat semata-mata nak ikut orang lain. Tidak dinafikan sedut dalam ini status quo perokok, tetapi teknik kumuh yang lebih frinjan tak patut disisihkan atau dikatakan tidak normal). Poin cerita ini, kalau kamu selalu hisap rokok, kamu akan sakit, menderita, menyusahkan orang yang tersayang, lepas tu mati. Jadi janganlah hisap rokok. Ianya sebuah iklan. Tetapi menjadi norma penonton/pembaca kebanyakan menjadi terlalu taksub dengan plot. Mereka mahukan penamat yang best, yang ada twist, yang syok, yang menarik. Itu semua bukannya penting sangat. Yang lebih penting, bagaimana kita mampu bertahan atau sustain momen-momen yang cuba digarap – perjalanannya, journey-nya. Dalam kes CINTA AKHIR ini, secara literal ia ada kena mengena dengan cinta, ia adalah sebuah 'tragedi romantik' (ya ampun) bertitik tolak daripada pertemuan-pertemuan kecil yang digerakkan oleh dialog (yang memegang bentuk filem ini, yang paling utama – dialognya). Dan di dalam dialog filem pendek ini, mahu pun lirik-lirik muzik tempatan yang berleluasa di luar sana, ianya teruk. Dialog-dialognya muncul secara tiba-tiba tanpa hujung pangkal, tapi kita sedar ia sedang meraikan gaya hidup hipster. Semangat hipster-nya tinggi. Dan hipster ini sentiasa terlebih emphasize terhadap hal-hal permukaan, gaya, fizikaliti, gadget savvy, gadget junkie, saya tak peduli dan okay dengan ini, cuma di negara ini ia pergi ke tahap yang menjengkelkan. Percubaan untuk menunjuk-nunjuk itu terlampau. Dalam banyak-banyak perkara dan benda, iPhone menjadi alat pertemuan di antara kedua anak muda tersebut OMG. Apa masalah dia jual iPhone pun membuatkan kita runsing. Dia takde duit ke apa? (tapi ada motor besar). Kemudian hujah Pierre suruh Liyana beli, "sebab phone tu lame, tak sesuai." Hmmm... Kemudian kita ke babak seterusnya, mereka berbicara mengenai muzik. "Tengok gig ke?" tanya Liyana. Pierre kata tak minat, kemudian memberikan headphone memainkan sesuatu. "Cool!" diikuti "You ada band?" tanya Liyana. Rupanya Pierre ini berbakat dalam diam, oh begitu. Di atas bukit tepi jalan pula, "Kau memang pandai, kau memang gempak, aku boleh nampak KLCC" tambah Liyana. Bila ditanya cita-cita, Pierre mahu jadi usahawan jutawan yang menjual handphone – "Kau ni bodoh la," balas Liyana. Supaya tidak kelihatan bodoh, Bob lakonan Pierre menyatakan bahawa dia sedang buat tesis. Tesis apa kita tak tau. Yang penting kedengaran intelektual. Mujur filem pendek ini tak bawa unsur Islamik, silap-silap Bob akan kata dia baru pulang dari Al-Azhar. "Kau ni memang talented kan? Semua benda boleh buat," puji Liyana. Pierre mengatakan ada satu benda yang dia tak boleh buat, iaitu berenang – yang macam biasa takde kena-mengena dengan konteks filem itu. Telah beberapa kali, Liyana hisap rokok menggunakan lighter Pierre. Secara simboliknya boleh la kira cincai kita katakan yang Pierre ini adalah cahaya kepada hidup Liyana (dengan latar malam yang gelap meski pun tak semua), nyawa kepada rokok Liyana – meski pun tak relevan dan pedoman filem ini goyah. Kemudian satu malam, Liyana ghaib, Pierre tercari-cari. Kemudian kita sedari inilah rupanya tugas penyanyi tersebut – memberikan warkah terakhir Liyana kepada Pierre. Bob lakonan Pierre buat muka sedih + terkejut, lantas kita faham sesuatu yang buruk berlaku. Benda-benda cheesy tahap corny ni dah berlaku banyak kali dalam kancah pembikinan filem tempatan, dan akan ada beberapa lagi filem indie berhawa hipster akan menyusul selepas ini. Selagi hipster-hipster ini tidak melakukan penghijrahan, selagi dialog filem-filem itu kosong macam lirik lagu muzik-muzik indie tempatan, dipenuhi 'lame', 'cool', 'gig', 'deep', 'band', 'gempak', 'talented', gadget exhibitionist, benda-benda terawang-awang ini—kaput. 


Ridhwan Saidi