Sabtu, April 30, 2011

Filem-Filem Kordial Yang Dibancuh Cair

Filem, ada macam-macam rasa. Hampir 99% filem-filem tempatan yang dihidangkan, rasanya manis—kita panggil ia filem-filem manis. Saya okay dengan hal ini walaupun sebenarnya filem-filem yang masam, masin, pahit, kelat, pedas, payau, atau seumpamanya (lidah dan tekak sekali gus) lebih menarik. Benda manis-manis ini untuk budak-budak kan? Tapi saya okay – tiada masalah.

Jadi sekarang mari kita fokus kepada filem-filem yang manis. Macam minuman, ada macam-macam minuman yang manis. Bagi filem-filem tempatan, ia persis minuman kordial bukan? Kerana ada unsur pengilangan dan campur aduk bahan kimia (unsur kepura-puraan.) Saya tidak percaya jika filem-filem manis kita ini setara air tebu mahupun air sirap (yang dimasak sendiri) yang lebih telus. Air tebu yang diperah segar di pasar malam lain kualiti manisnya jika nak dibandingkan dengan kordial sarsaparilla dari kilang. Tetapi ini masih tidak mengapa, saya okay.

Jadi sekarang kita fokus pula kepada filem-filem kordial. Hampir semua filem-filem tempatan menghidangkan audien, filem kordial ini. Saya tiada masalah, anda juga pasti tiada masalah. Sekali-sekala minum kordial sarsaparilla apa salahnya bukan? Tetapi yang menjadi masalah adalah apabila ia dibancuh cair. Pembikin dan produser sekadar buat sambil lewah atau mungkin bersungguh-sungguh tanpa menyedari filem-filem yang dibuat itu cair-bair. Apa yang mereka sedang usahakan ini baru tahap air kordial, belum disuruh bancuh kopi ke, teh tarik ke, koko panas ke, sirap limau ke, sirap bandung ke, susu soya ke – yang jauh lebih sofistikated. Jadi kepada para pembikin dan produser, walau filem itu manis dan kordial sekali pun, tolong bancuh dengan proporsi yang betul. Biar ada rasa. Kalau tak lebih baik hidang air kosong.


Ridhwan Saidi