Selasa, April 26, 2011

A untuk ayam

'Stabil' dan 'Pada Sebuah Ketentuan' = dua himpunan catatan dan sajak Ayam. Walaupun saya tidak into sangat dunia puisi tempatan tetapi melalui beberapa percubaan, saya ada meminati beberapa buah sajak. Bagaimana saya tahu saya suka sesebuah sajak itu mudah – sama macam filem – saya cuma tahu. Saya bukan di kalangan mereka yang utamakan content melangkaui form. Bagi saya form dan content sama penting, atau di sebalik itu ada thought dan sense (fikirasa). Saya suka sajak Salleh ben Joned yang menggetarkan dan penuh humor, atau Usman Awang yang romantis, atau Agi Ghafar Ibrahim yang cukup exo-skeletal, sedikit T. Alias Taib dan dan dan. Saya suka catan Latiff Mohidin, tetapi sajaknya tak berkesan buat saya. Lebih kurang macam tulah. Dan Ayam mengatakan bahawa tulisan-tulisannya ada berkiblatkan Wijdi Thukul, Miguel Pinero, atau yang lebih lokal - Rahmat Haron. Sajak-sajak yang terus, tak bermadah, tak berkerawang, ketara politikal (tapi tak semestinya tak sensual) dan dan dan. Tapi entah mengapa, selepas membaca kedua-dua buku ini, saya teringatkan komik Ujang – Aku Budak Minang. Ada unsur-unsur nostalgia yang tak tahu saya nak terangkan bagaimana.

Stabil adalah buku pertama Ayam Fared manakala Pada Sebuah Ketentuan adalah buku kedua (terbaru.) Sepatutnya saya mengulas buku yang baru, tapi entah kenapa saya lebih tertarik dengan yang lama. Kualiti pembuatan buku baru ini jatuh mendadak. Terutama sekali dari segi rekaletak. Dalam sajak ia boleh disusun santak kiri, tengah, kanan atau rawak mengikut kesesuaian. Malah susunan catatan dan sajak yang terpisah membuatkan proses pembacaan saya sedikit terganggu. Terganggu di sini bukan bermakna saya mahu buku ini selesa dibaca di waktu petang sambil makan pisang goreng. Ianya gangguan dalam ertikata yang tak baik. Ianya tak seseronok Stabil jika mahu dibuat perbandingan. Entahlah, mungkin typeface dan kertas kuning Stabil lebih mesra mata.

Stabil dimulakan dengan sajak Stabil Untuk Siapa. Terus saya dapat relate dengan apa yang buku ini ingin suarakan. Ini sama sekali berbeza dengan Pada Sebuah Ketentuan yang dimulai dengan catatan I Kiss A Girl And I Like It. Tajuk serius tetapi isinya dimulakan dengan sesuatu yang bermain-main, malah buku baru ini juga lebih main-main sifatnya – ada gambar yang saya rasakan bukan-bukan. Stabil walaupun gambarnya tak banyak dan tak juga berwarna, tetapi lebih menyentuh. Saya dapat rasa membaca tulisan seorang individu bernama Ayam – ada warmth.

Saya suka sajak Balada Generasi Kedua dan Pulanglah Generasi Kedua. Ia ada sensibility Felda yang telus (sebelum ini saya hanya baca sajak melalui kacamata ketiga yang cenderung pretentious.) Dalam buku baru pula saya minat catatan Motivasi Pagi Ini. Penulisannya ada sense, dan yang saya perasan, Ayam berpotensi merayakan kesemulajadian ke dalam bentuk tulisan. Saya cenderung tertarik dengan tulisan yang ada pokok, buah-buahan, sayur-sayuran, kelapa sawit, berbanding siri keluhan, ketagihan, kemabukan, kecintaan dan dan dan. Dan bila saya kata sajak buah-buahan ini bukan bermakna ia sajak mempromosi buah-buahan tempatan. Yang saya nampak, walaupun pasal buah, yet ianya political.

Mengenai struggle atau kepayahan hidup pula, susah untuk saya berempati - tak lut. Pasal saya kebetulan ada kenal manusia yang lebih struggle (imigran kebanyakannya,) dan keluhan mereka ternyata lebih menusuk walaupun diceritakan sambil lewa. Juga dalam 'Pada Sebuah Ketentuan' lebih banyak 'p.s' dan juga 'keh keh', yang kadang-kala mematikan kekenyalan sesebuah penulisan itu. Semacam 'moral of the story'. Itu pasal saya terbayang majalah Ujang, dan bukannya protes seratus peratus Thukul, Pinero malah Haron sekalipun.


Ridhwan Saidi

P/s: Seronok juga ulas puisi.