Sabtu, Jun 26, 2010

Pessimis al-Absurdis

Dalam dunia ini pasti ada orang yang tak percaya pada harapan dan sering bersikap pessimis. Konon. Kononnya hidup ni tak payahlah nak berharap sangat, sia-sia saja. Biasanya orang yang beranggapan begini, selain cubaan untuk kelihatan cool, adalah kerana kononnya telah letih dengan hidup. Kononnya semua benda dah diusahakan dan semuanya menjadi sia-sia. Jadi putus harapan, pessimis dengan hidup, dan ketawakan orang yang hidup dan masih setia bercumbu dengan harapan.

Saya rasa orang semacam ini orang yang berfikiran juling. Ini kerana orang seperti ini hanya melihat apa yang dinamakan harapan itu adalah segalanya yang besar-besar dan nampak jelas. Contohnya, harapan untuk mengubah sistem. Atau harapan untuk menang loteri, begitu juga harapan klik, klik, klik nak jati jutawan. Takpun, harapan untuk berbini empat. Harapan yang terang benderang ini juga termasuk sekali dengan harapan yang lebih abstrak seperti ingin mengecat langit biar jadi berwarna-warni. Sama juga harapan untuk masuk neraka. Semua bentuk harapan ini tak kira abstrak atau tidak, sangat jelas ada kemahuan untuk menakluk. Hakikatnya, manusia yang hidup tanpa harapan siap berusaha sekali untuk menolaknya sebenarnya adalah spesis pembohong.

Bila kita mula terjebak untuk bersikap pessimis dengan yang namanya ‘harapan’ maka tanpa disedari kita sedang memasang jerangkap samar untuk diri sendiri, bukannya musang. Biasanya manusia pessimis harapan ini akan bertindak menukarkan ‘harapan’ kepada siri ‘keluhan.’ Kalau dia menulis, tulisan adalah dalam bentuk keluhan demi keluhan sambil disadur sedikit perisa pessimisme. Ini juga terjadi kerana si pessimis ini terlampau meneran ketika memberakkan harapannya yang sebelum itu, harapan seperti ingin menemui ‘makna’ atau ‘kebenaran’ yang sebenar-benarnya dalam hidup. Tapi proses mencari makna itu tak dilakukan secara santai, penuh humor dan bersahaja, panjang kata memang dasar tak cool, dan tak dipasak dengan ilmu dan pengalaman yang mencukupi. Kesilapannya, dia menjadikan peranan harapan sebagai satu-satu peta yang akan membawanya ke destinasi impian yang dituju. Setelah gagal, malang sekali, dia didapati mengidap buasir putus harapan. Semua perkara yang bersendal harapan akan cuba dipangkahnya.

Sekarang katakan yang kehidupan itu seperti permainan bola sepak. Dan dunia pula bagaikan padang bola, maka kita pun bermainlah di dalamnya. Jadi, macam mana kita boleh bermain bola tanpa sebiji bola? Hanya orang sewel saja yang akan bersetuju, permainan bola sepak tak memerlukan bola, cukup sekadar berlari-lari seperti ayam putus kepala di tengah padang, sampai letih, sampai cukup 90 minit, lalu kita pun berhenti. Kalau main bola, bola pun takde kat padang, tapi lari bagai nak rak, memang sangat tak berbaloi dan bangang.

Jadi saya umpamakan harapan ini ialah sebiji bola yang cuba direbut, dirembat, dilambung oleh 22 manusia di atas padang. Sangat jelas, jika kita yang bermain bola itu, kita pasti akan cuba menewaskan penjaga gol. Itulah usaha Sisyphean kita sehari-hari, iaitu cuba merembat ke gawang gol, yakni cuba mendapatkan sesuatu. Dapat atau tidak, itu lain cerita. Tak kiralah sama ada diakhirnya kita menang atau kalah, selagi wisel penamat belum dibunyikan, selagi itulah kita perlu bermain—perlu hidup. Ini menunjukkan, sama ada harapan itu nyata atau maya, hidup tetap memerlukan peranan harapan. Lagipun saya tak fikir permainan bola sepak hanya soal menang kalah semata-mata. Oleh itu, bolehlah dikatakan, manusia tanpa harapan itu hanya bangkai bernyawa, dia telah mati walaupun jantungnya masih berdup dap dup dap. Lainlah kalau kamu dapat kad merah yang bererti kamu telah ‘dibunuh.’

Inilah jadinya jika kita lupa untuk memandang urusan-urusan mikro yang dilakukan sehari-hari. Siapa sangka, memasak, membasuh, pergi pasar, bekerja, memotong kuku, pokoknya sekecil-kecil perkara yang kita lakukan selalunya melibatkan harapan. OK, katakan di tengah malam kamu nak merokok, tapi rokok dah habis. Jadi kamu ambil keputusan ke kedai serbaneka 24 jam pasal nak beli rokok. Perasan atau tidak, tindakan kamu untuk membeli sekotak rokok itu juga melibatkan peranan harapan.

Tak nampak? Tengok sini. Saat kamu berjalan ke kedai itu, kamu membawa bersama harapan. Harapan apa? Harapan untuk mendapatkan sekotak rokok la. Cis, nak beli rokok pun perlukan harapan rupanya! Toksah tipu la kalau kata kamu tak mengharap apa-apa. Kalau tiada harapan, maka tak payahlah ke kedai, duduk saja tunggu rokok tu jatuh dari langit. Boleh? Kenyataannya kita tetap perlu merancang sesuatu dan bertindak. Dalam semua rancangan, pasti ada secebis harapan. Orang bangang saja yang merancang tapi tak mengharapkan apa-apa.

Bercakap pasal merancang juga satu hal. Kalau kamu nak tunjuk betapa rugged dan sempoinya kamu, kamu kata kita tak perlu merancang apa-apa, konon semua pakai bedal saja, itu juga sah menunjukkan kamu ini pembohong yang ada kelas. Mana boleh kata hidup ini tak perlu perancangan langsung? Gila punya tipu. Dalam hidup, kita sebenarnya tetap merancang walaupun tak semua, dan walaupun tak semuanya jadi kenyataan. Perancangan adalah serupa harapan, kita tetap lakukannya sama ada kita nak mengaku atau tidak. Ini hukum kehidupan yang tak boleh dinafikan sama sekali.

Namun rancangan dan harapan tetap dibatasi oleh takdir. Dari segi peranan, harapan kalau dibandingkan dengan takdir, skalanya jauh lebih kecil. Takdir mengawal banyak ketentuan dalam hidup dan kita tak akan mampu menewaskan takdir. Walau kita kononnya sangat mengagungkan ‘kehendak bebas’ sekalipun, konon boleh mengawal takdir. Tapi, ini juga bukan alasan untuk kita mengidap buasir putus harapan. Apa-apa hal pun, bila bermain bola sepak, apakah yang menyebabkan kita akan bermain in the first place kalau tiada sebiji bola? Dan kalau bola pun kamu dah buang, jangan jadi gila untuk bercakap soal kemenangan dan err, kekalahan.


Mohd Ikhwan Abu Bakar