Selasa, Jun 15, 2010

Feminin Maskulin

Di dalam diri setiap kita semua, ada unsur feminin dan maskulin. Lelaki atau perempuan itu hanya sekadar bentuk jasad fizikal. Ada yang mengatakan bahawa otak kiri itu maskulin sifatnya. Kerana itu kini, kita hidup di dalam dunia yang serba patriaki. Kita hidup di dalam kongkongan sistem otak kiri yang teratur, formal, prosa, analitikal, dan saintifik.


Otak kiri ini ada hubungan terus dengan bahagian kanan tubuh. Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga kenapa tangan kanan merupakan tangan yang baik? Adakah kerana kita telah diprogram secara bawah sedar untuk menurut dan patuh dengan sistem otak kiri? Tidak menghairankan minoriti mereka yang kidal selalunya lebih puitis serta mempunyai kelebihan dalam cabang seni dan musik. Ini kerana mereka (selalunya) tidak tertakluk dengan dogma mahupun hukum logik otak kiri. Tidaklah bermakna saya mengatakan otak kanan – unsur feminin – ini lebih baik daripada otak kiri. Saya sentiasa percaya segalanya perlu berada di dalam kondisi keseimbangan.

“There lies a green field between the scholar and the poet; should the scholar cross it he becomes a wise man; should the poet cross it, he becomes a prophet.” – Khalil Gibran

Saya yang dibesarkan di dalam keluarga Melayu Muslim telah diasuh sejak kecil untuk menggunakan tangan kanan – tangan kiri hanya digunakan untuk perkara-perkara yang kotor. Sehinggalah saya akil baligh, saya mula memberikan tugas-tugas khas kepada tangan kiri. Sebagai contoh saya menggunakan tangan kiri untuk memegang cawan. Jika saya menggunakan tangan kanan untuk memegang cawan, saya akan minum di bahagian semua orang minum. Saya tidak selesa dengan idea ini, lantas minum di bahagian yang bertentangan dengan tangan kiri. Selalunya pelancapan – tidak kira lelaki mahupun perempuan – juga dilakukan menggunakan tangan kiri. Ini kerana tangan kiri berhubung terus dengan otak kanan yang merupakan jendela kepada imaginasi terlampau.

Unsur feminin dan maskulin ini juga terdapat pada sinema. Ini apa yang saya percaya tunjang utama kepada sesebuah filem, iaitu SINEMATOGRAFI dan SUNTINGAN. Sinematografi ini feminin sifatnya, ini kerana ia merupakan satu bentuk paradigma yang memerlukan otak kanan untuk dianjak (maknanya). Suntingan pula adalah satu bentuk matematika sistem susunan (sintaks), ini menjadikannya bersifat maskulin.

Semestinya ia bersifat esoterik dan tersirat dimana hanya segelintir manusia saja mampu memahami asas bahasa filem ini. Bak kata Nietzsche, “membaca bukan untuk semua orang, ia perlukan kesabaran dan ketelitian.” Hal-hal eksoterik dan tersurat seperti mutu lakonan, lontaran dialog dan lain-lain digunakan hanya untuk menarik mereka yang berada di lingkaran luar – mereka yang masih termaktub di bawah syariat filem semata-mata. Pendek kata, dengan mengamalkan tariqat seterusnya menyedari haqiqat, barulah seseorang itu mampu mencapai tahap maqrifat sinema.


Ridhwan Saidi