Apa yang saya gemar tentang pembikin filem dari Filipina, setelah menonton beberapa buah terutama dari tahun 80an, adalah kebolehannya untuk bermain dengan skala dari yang paling epik dan luas hingga ke yang lebih terhad dan domestik. Filem berlatar domestik boleh secara emosinya amat berkuasa dan epik (malah semua filem yang akan saya senaraikan di bawah ternyata secara emosinya epik), tapi dalam kes ini saya merujuk epik yang secara literal lanskap penggambarannya luas dan kaya, manakala yang domestik lebih mundane dan terhad ruang lingkupnya. Dan sudah tentu ia bukan secara rigid ‘epik vs domestik’, tapi lebih berbentuk gradien, sejauh mana ruang lingkup yang dicakup. Yang paling domestik di sini persis chamber drama, paling terhad ruang lingkup yang ditawarkan kamera.
Dengan Lino Brocka misalnya kita ada filem MANILA: IN THE CLAWS OF LIGHT (1975) yang epik, advencer seorang pemuda yang kehilangan kekasih, dari kampung ke bandar, dan kemudian kita ada INSIANG (1976) yang lebih domestik dan terhad ruang lingkupnya, tentang seorang anak gadis yang terpaksa tinggal dengan ibu dan kekasih muda ibunya di sebuah slum. Dengan Mike de Leon kita ada BATCH ’81 (1982) yang epik dalam skala proses menjadi fraterniti di universiti dan SISTER STELLA L. (1984) yang mengikuti perjalanan kesedaran politik seorang biarawati, dan kemudian kita ada ITIM (1976) dan KISAPMATA (1981) yang lebih domestik, satu tentang sejarah kehantuan di rumah kampung protagonis dan satu lagi tentang horror anak perempuan yang baru berkahwin yang dipaksa untuk tinggal serumah dengan ibubapanya. Dengan Ishmael Bernal kita ada HIMALA (1982) yang epik, tentang seorang gadis kampung yang menerima kuasa Tuhan untuk menyembuhkan mereka yang sakit, dan kemudian kita ada RELASYON (1982) dan BROKEN MARRIAGE (1983) yang saya belum tonton, tetapi dari sinopsisnya ketara ia domestik sifatnya. Dengan Peque Gallaga pula kita ada SCORPIO NIGHTS (1985) yang domestik, tentang berahi kejiranan yang berlaku di dalam sebuah rumah kongsi, dan kemudian kita ada ORO, PLATA, MATA (1982) yang lebih epik (yang belum ditonton).

Poinnya di sini, empat pengarah yang saya ambil contoh di atas, boleh menguasai filem dengan cakupan ruang yang luas, dan dalam masa sama boleh juga menguasai chamber drama dan sesuatu yang lebih klaustrafobik. Had ruang tidak menghadkan pergerakan cerita. Malah kebebasan dan keluasan rakaman juga tidak membuatkan filem-filem ini terawang-awang atau hilang pedoman. Ia suatu iktibar yang boleh kita ambil bagi pembikin filem Malaysia yang rata-rata tidak mampu mengawal direction apabila skalanya semakin membesar dan epik. Ia hanya selepas kebesaran dan keepikan ini digenggam, baru karya yang berlatar dalam ruang sesempit kubur boleh terasa seluas lautan.
Ridhwan Saidi
P/s: Ketika menulis ini saya belum tonton NUNAL SA TUBIK (1975) dan MANILA BY NIGHT (1980) oleh Ishmael Bernal, KAKABAKABA KA BA? (1980) oleh Mike de Leon, WEIGHED BUT FOUND WANTING (1974) dan ORAPRONOBIS (1989) oleh Lino Brocka, yang tunggu masa untuk didepani :-)