Sebagai pengarah (playlet Teater Modular iaitu Melihat Setan Bekerja, Neraka Blackout dan Hotel Berdarah) saya cuma letih ketika proses nak buat show. Lepas show saya dah tak penat.
Sebagai playwright pula saya tak letih mana, sebab saya tulis playlet ini dengan cepat, dan bila ia siap ia siap. Saya sebagai playwright dah boleh goyang kaki.
Tetapi saya sebagai produser ada kepenatan yang dibawa dari Teater Modular pertama, Bengkel Modular, Teater Modular kedua dan akan datang Teater Modular set ketiga dan terakhir, menjadikan kesemuanya 13 playlet. Ia hanya selepas itu baru saya sebagai produser boleh rehat kejap. Ia macam satu kerja panjang tanpa cuti. Fatigue ini menyedut energi saya. Perasaannya mendekati perasaan menulis novel. Ia penggunaan energi jarak jauh, macam marathon. Saya rasa saya tahu bagaimana untuk simpan tenaga hingga ia siap, bila ia siap.
Yang pasti dalam tempoh setahun ini, kita namakan saja ia ‘fasa 1’ Teater Modular, di mana kesemua 13 playlet dipentaskan sebagai satu keramaian. Saya sebagai produser boleh rehat sat. Sebab lepas tu nak gerakkan fasa 2 pula, dan ini akan dimulakan dengan garapan buku Teater Modular. Di sini posisi saya lebih sebagai seorang editor.
Saya masih belum tetapkan bagaimana skrip-skrip Teater Modular ini akan dijilidkan. Ia boleh semudah cuma skrip-skrip itu diterbitkan, macam buku skrip. Tapi minat saya lebih kepada nak menjadikan ia persis novel. Tapi bukan fiksyen, lebih kepada buku non-fiksyen. Buku yang selain skrip kita dapat rinci tentang pementasan, dan saya sebagai penulis boleh reflect sesuatu dari hasil pengalaman ini—penuh esei, komentari dan foto.
Selain itu sudah tentu, skrip-skrip playlet ini akan dipentaskan semula. Saya sendiri ingin mementaskan kembali skrip-skrip yang belum saya direct. Untuk fasa 2 ini, saya terfikir untuk gerakkan sebuah kolektif, agar beban produser dikongsi lebih dari seorang. Dan sudah tentu orang lain pun boleh direct skrip playlet-playlet ini. Ia macam lagi fun bila difikirkan.
Sementara itu saya sebagai playwright, ada siri Teater Normcore untuk difikir-fikirkan. Cuma sebab saya sudah biasa menulis, saya pandai jaga diri untuk tetapkan waktu bila untuk saya bekerja sebagai seorang penulis. Kebanyakan waktu saya bercuti.
Ridhwan Saidi