Jumaat, April 13, 2018

Nota Pasca Teater Modular [set 3]

1
13 playlet sudah siap, jadi selepas ini jika mana-mana playlet dibuat, dan kalau saya direct, ia lebih ingin bermain dan mencuba apa yang belum pementasan sebelum ini lakukan. Sebagai contoh jika saya direct Pengantin, Freestyle!, saya akan buat pengantin tu lelaki pula, sebab sebelum ini ia perempuan waktu arahan Qiu Qatina. Permainan dan visi berbeza boleh dicuba-cuba dalam fasa ini.

Walau bagaimanapun kerja-kerja serius juga perlu dibuat iaitu untuk menerbitkan buku yang menghimpunkan skrip kesemua 13 playlet Teater Modular. Selepas itu cita-cita terbesar sudah pasti untuk mengarahkan kesemua 13 playlet dalam satu pementasan. Ini walau bagaimanapun bukanlah sesuatu yang ingin saya buat secara terburu-buru.

2
Semua perenggan di atas ialah apa yang akan dan ingin saya buat dengan Teater Modular, manakala perenggan di bawah pula sejenis throwback apa yang telah dibuat sepanjang setahun ini.

3
Sejak dari Teater Modular set pertama (Mac 2017) dengan arahan Fahmi Harun, Sak Don, Walid Ali dan Qiu Qatina, kemudian ke set kedua (Oktober 2017) arahan Mia Sabrina Mahadir, Qiu Qatina, Nana dan Walid Ali, hinggalah ke set ketiga yang baru lepas ini arahan Hannan Barakbah, Amirul Syakir, Walid Ali dan saya sendiri (saya juga direct Bengkel Modular bagi playlet #13), poin utama yang saya sentiasa tekankan ialah agar playlet-playlet ini tak bertanding dan berlawan antara satu sama lain.

Naratif pertandingan dalam teater di Malaysia amat umum dan diraikan malah hingga ke tahap bawah sedar. Sifat reptilia ini bukan benda yang saya embrace sangat. Saya prefer agar semua empat playlet dalam satu set pementasan ini ada daya sinergi yang sokong-menyokong. Ia bukan benda senang apabila melibatkan ramai orang, tapi yang penting ia dicuba.

Pada salah satu malam terawal pementasan, playlet Erti Mati hilang pelakon maka posisinya yang kedua perlu saya ganti dengan Sesuap Kaseh yang sepatutnya yang terakhir. Kurator Dapur sedang berjalan (dan dikerumuni audien) dan ia tak boleh berpindah ke Hotel Berdarah kerana kedua playlet ini berkongsi projektor subtitle yang sama. Satu-satunya jalan adalah untuk pergi ke Sesuap Kaseh. Sesuap Kaseh jadi playlet kedua, tapi sebab ia keputusan tiba-tiba, mereka hilang rentak dan fokus. Sewaktu Sesuap Kaseh berjalan banyak dialog hilang dan ia mengganggu subtitle. Pelakon Erti Mati muncul kembali dan mereka beraksi di posisi terakhir dengan bagus.

Pementasan yang bagus ini seolah ingin menebus kesilapan mereka, tetapi ia tidak valid pada saya kerana, dalam mencapai kebagusan itu, ia telah mengorbankan playlet lain yang tak bersalah. Ia kembali kepada sifat kereptiliaan yang purba itu. Individualiti setiap playlet tidak pernah sepenting kewujudan seluruh pementasan Teater Modular. Bukan cawan tapi laut.

Kerana itu kita perlu sentiasa peka, jika ada 4 playlet dipentaskan dan hanya satu dua menyerlah*, ada benda yang tak kena dengan keseluruhan pementasan itu. Seluruh show itu sebagai ensembel tak werk.

Erti Mati dan Sesuap Kaseh macam yin dan yang. Erti Mati perlu ada dalam Teater Modular untuk mengisi ruang gudang itu dengan jeritan dan bunyian, lakonan dramatik, merasai kebesaran bayang-bayang dengan beban falsafah. Sesuap Kaseh pula penawar kepada situasi tadi iaitu ia meraikan kesunyian, bunyi ambien dari pintu gudang, dengan ayat-ayat ngorat, merasai ke-mundane-an piknik di tepi sungai. Hanya apabila dua playlet ini perform, kita dapat separuh pengalaman Teater Modular [set 3]. Kita ada Kurator Dapur dan Hotel Berdarah juga, yang punya hubungan tersendiri. Malah setiap playlet pasti ada cara untuk berhubung dengan playlet lain, baik secara tematik, mahu pun perasaan.

Erti Mati berlaku di luar domain realiti manusia, di alam batin boleh kita panggil, dan hanya melalui sungai Sesuap Kaseh, alam batin ini akan bertindih dengan realiti kita. Dan dari hubungan antara sepasang suami isteri orang, ia akan bawa kita kepada skandal dalam bilik hotel (ruang kerja/intim) dan ke hubungan suami isteri/kurator/artis di rumah. Aliran dari sesuatu yang spiritual untuk menyusup masuk ke ruang domestik sudah tertulis.

Sudah tentu aturan playlet ini tidak perlu secara literal episodik. Mana-mana pun dulu—setiap playlet ini—tentu ada cara untuk ia cari jalan untuk hidup. Cuma setiap susunan pasti memberi perasaan yang berbeza. Dan kami ada cuba beberapa kombinasi tempoh hari. Semua playlet merasa untuk jadi yang pertama, dan semua playlet merasa untuk jadi yang terakhir.


Ridhwan Saidi

* Menyerlah di sini bukan bermaksud paling bingit, bising dan egoistik. Dalam pada itu, penyerlahan ini juga perlu kita peka, adakah ia menyerlah sebab ia sememangnya bercahaya, atau ia sedang menggelapkan persekitarannya?