Rabu, Mac 21, 2018

Proses Devised Bengkel Modular

Kebanyakan play di Malaysia hari ini akan bubuh perkataan ‘devised’ dalam poster untuk beri idea bahawa proses pembuatannya tak berasaskan satu skrip atau melalui seorang playwright—kewujudan seorang playwright dimansuhkan. Ia usaha kolaboratif mereka yang terlibat. Pemahaman orang tentang devised sebegini saya fikir, sudah membentuk konvensinya yang tersendiri, terutama tang nak skip proses playwriting itu. Ini walau bagaimanapun tak sepenuhnya betul, sebab seorang playwright juga boleh lakukan proses devised dan untuk jelaskan bagaimana ia berlaku, saya akan guna Bengkel Modular sebagai contoh (yang mana dalam poster tiada perkataan devised tertera).

Dengan Bengkel Modular saya tahu saya ada dua minggu untuk usahakan sesuatu. Ia bermula dengan satu draf idea di mana teks yang akan saya gerakkan melibatkan sebuah syurga yang putus letrik dan neraka yang putus air. Dari situasi ini saya tahu konflik/geseran akan berlaku cuma saya belum pasti ceritanya selagi saya belum tahu berapa ramai/siapa yang akan join bengkel ini.

Maka di sini, jumlah peserta akan efek playlet yang akan saya tulis. Ini kesan besar pertama daripada tiga. Poin kesan besar ini akan efek proses devising saya sebagai playwright. Saya perlu bertindakbalas dengan situasi depan mata. Ia persis constraint yang perlu dialami seorang arkitek di site, bila difikirkan.

Kesan kedua pula siapa yang join. Adakah mereka berpengalaman, atau tiada pengalaman? Karakter setiap peserta? Pandangan hidup? Bentuk tubuh? Umur? Semua aspek luaran dan dalaman ini akan beri efek yang berbeza. Tak seperti sesi casting di mana saya cari pelakon yang memenuhi apa yang skrip mahu, dalam konteks bengkel ini, pelakon/peserta datang dan saya terima dengan penuh keredhaan. Jika ada orang tua datang dan kanak-kanak join, maka dinamik antara pelakon berubah dan skrip juga perlu dibentuk untuk memenuhi tuntutan ini. Sebagai playwright, visi saya pembolehubah yang ditentukan faktor dan takdir luaran. Aktiviti yang baik buat penulis, supaya boleh berehat dari sentiasa mengeluarkan sesuatu yang dari dalam.

Jadi ketika Bengkel Modular dijalankan September tahun lepas, tiga peserta join iaitu Hannan Barakbah, Yunorosid dan Fida Aziz. Mereka semua muda! Di sini saya tahu dalam syurga dan neraka saya, akan ada tiga karakter hidup. Ini akan berbeza andai kata cuma seorang je join, maka ia barangkali akan jadi monodrama! Atau jika ia ada 6, 7 atau 8 orang join, ia akan ubah dinamik pementasan. Ia akan mendekati ensemble piece atau sesuatu, saya sendiri tak tahu apa akan saya buat kalau ia sebegitu rupa. Malah saya sentiasa bersedia, jika tiada orang join bengkel ini, saya akan tulis cerpen atau sesuatu, dan ketika showcase saya sebagai penulis akan buat reading session. Apa pun yang akan jadi saya nekad untuk gunakan ruang (makeshift blackbox dari shoplot kosong) yang telah diberikan Kakiseni dan Quill City Mall dalam tempoh dua minggu itu.

Dalam tempoh latihan, sesi monolog berlangsung bagi setiap peserta untuk dipersembahkan di hadapan audien, yang kemudian akan melakukan undian. Mula-mula sekali ketiga-tiga peserta duduk dalam bulatan dan tulis dosa atau pahala orang di kiri dan kanan. Jadi setiap peserta akan dapat dosa dan pahalanya berdasarkan tulisan orang lain. Dosa dan pahala ini jadi material bagi monolog mereka. Jadi selepas monolog ini dipersembahkan, audien akan undi siapa masuk neraka dan siapa masuk syurga. Ini merupakan kesan besar ketiga yang saya maksudkan.

Jadi di sini, selepas hasil undian saya dapat seorang warga syurga dan dua orang warga neraka. Saya perlu devised dari situasi baru ini. Andai kata hasil undian dapat dua warga syurga dan seorang warga neraka, maka lain jadinya. Dan begitu juga dengan kebarangkalian lain iaitu ketiga-tiga mereka masuk neraka misalnya, atau ketiga-tiga mereka masuk syurga pula. Semua ini akan efek teks yang sedang diusahakan. Walau bagaimanapun ia tak pernah ingkar atau mengkhianati draf idea asal.

Hanya apabila saya sudah tahu: 1. jumlah karakter, 2. siapa pelakonnya/dinamik antara pelakon dan 3. bilangan orang di syurga dan neraka, baru saya tahu bagaimana untuk konstruk cerita. Oleh kerana cuma ada satu karakter di syurga maka ia secara tak langsung jadi monolog atau senandika, dan oleh kerana di neraka ada dua orang, maka dialog secara tak langsung berlaku. Bentuk playlet yang diberi judul Neraka Blackout ini, secara perlahan-lahan terjadi, dan materialnya hanya muncul dari dalam sesi black box tersebut.

Ada durian dalam naskah akhir Neraka Blackout, dan durian ini muncul sebab bila ditanya apa yang ada dalam syurga, salah seorang (tak perlu saya nyatakan siapa di sini) menyatakan ada pokok durian. Jadi ia bukan durian yang saya bubuh, tapi posisi saya lebih berupa editor yang buat remix. Saya compose dan konstruk apa-apa yang boleh diekstrak dari sesi latihan bersama. Ia serupa sesi devised kebiasaan, cuma saya ada kata putus untuk tentukan bagaimana sesuatu unsur itu diolah dalam teks.

Sepertimana seorang aktor semakin mendalami dan menjadi karakternya, dalam konteks Bengkel Modular ini, skrip playlet ini juga melalui proses kemenjadian. Tetapi sudah tentu ia dibentuk oleh seorang playwright kerana saya memposisikan diri sebagai playwright. Ia terkait strategi juga sebab dua minggu itu super singkat. Satu visi tunggal biasanya lebih jelas dan berfokus. Teater devised yang memansuhkan kewujudan playwright biasanya kena embrace sinergi semua orang yang terlibat. Dan dalam konteks bengkel, ia sukar sebab saya tak tahu siapa yang akan join. Dalam membentuk sinergi pada saya paling asas perlu ada keintiman, atau paling kurang kita saling kenal.

Hannan akan direct salah satu Teater Modular, manakala Rashid a.k.a Yunorosid join berlakon playlet Hotel Berdarah dan Fida pula mungkin satu masa nanti kita akan bekerja sama? Pokoknya saya lihat teater sebagai tempat untuk kita terus bekerjasama untuk saling mengenali, dan sentiasa fluid dalam posisi pembikinan: audien ke, kru teknikal ke, pelakon ke, produser ke, playwright ke (ada ke orang nak ambil posisi ini?), pengarah ke, audien ke, semuanya orang/manusia dan sama je di mata saya. Yang berbeza sentiasa Teks.


Ridhwan Saidi