Ramai tak sedar bahawa Teater Modular ialah satu proses ciptaan dan proses pembelajaran. Pembelajaran dalam erti kata saya tidak tahu apa sangat fasal teater, dan untuk mengatakan saya baru setahun jagung pun tidak cukup, sebab baru 10 bulan saya berkecimpung dalam penghasilan teater, via playlet Melihat Setan Bekerja awal tahun ini sempena pelancaran buku.
Maka untuk meraikan saya yang tidak tahu apa-apa ini pada mulanya, saya membuka ruang bagi empat pengarah untuk mengarah empat playlet saya Mac lepas. Dan ini diikuti dengan sebuah Bengkel Modular di mana saya berpeluang berkongsi apa yang saya tahu dan sekali lagi melakukan proses ciptaan dan devising dengan para peserta/pelakon amatur. Kemudian bulan ini, empat lagi playlet diarahkan oleh empat orang pengarah. Pada ketika ini saya sudah ada 9 playlet dan sedang menulis empat playlet terakhir menjadikan kesemuannya 13.
Proses ciptaan yang saya tanam melalui Teater Modular ini tidak self-aware dalam erti kata cerita di dalam playlet-playlet saya ini berkisar tentang dunia teater dan proses yang berlingkar di sekitarnya—sebuah metafiksyen. Saya tidak mahu Teater Modular pergi ke arah itu, sebab ia masih terlalu awal untuk itu dan saya rasa banyak saja karya-karya lain yang sudah menyentuh hal ini seperti Teater Juta-Juta dan Langkau oleh Fasyali Fadzly misalnya.
Proses ciptaan yang ingin saya garap lebih mendekati efek Lego.
Tiga set Teater Modular ini dengan empat playlet dan empat pengarah setiap satu merupakan satu proses kemenjadian. Play penuh dengan 13 playlet akan dipentaskan kemudian dan akan saya kupas sebentar lagi. Pada takah ini, set-set playlet ini umpama lego yang diberi kepada kanak-kanak bermain. Kanak-kanak di sini merujuk kepada pengarah-pengarah playlet. Ia sebuah ruang untuk membina audien, untuk mencari potensi dan kesilapan playlet-playlet ini. Supaya play penuh dengan 13 playlet nanti, dengan seorang pengarah dan lima aktor, kami sudah tahu apa yang perlu dielak.
Untuk mengupas sedikit tentang pengarahan Mia, Qiu, Nana dan Walid, saya mengikuti sesi rehearsal mereka kerana ia antara syarat yang saya kenakan. Saya perlu pastikan pengarahan mereka tidak melilau. Ada halangan-halangan yang saya tetapkan agar ceritanya (biarpun ia berpotensi jadi cerita lain) tetap koheren. Antara concern awal saya adalah keberadaan pelakon sewaktu hari pementasan. Saya mahu pemilihan pelakon itu benar-benar dipercayai oleh pengarah agar tidak buat hal atau jatuh sakit sewaktu hari pementasan. Keutamaan saya sentiasa, biar ada terlebih dahulu, yang lain-lain boleh diskas.
Mengenai isu kesetiaan pengarah kepada teks pula, ia bukan sesuatu yang saya tekankan sangat sebab hanya saya seorang yang boleh setia kepada teks, dan saya sendiri boleh jadi tidak setia kepada teks. Poin saya adalah, saya sudah tahu esensi teks saya, tetapi yang menjadikan teater ini menarik adalah percampuran suara penulis, pengarah dan pelakon. Ada tiga benda sedang amalgamasi di sini, dan itu yang lebih ingin saya lihat (pada set ini, sewaktu play penuh nanti itu cerita lain). Selain itu, saya juga faham kenapa suara saya kurang didengari dan ini saya boleh jawab dengan mudah sebab ia antara arahan saya sebagai produser.
Sewaktu rehearsal awal, di takah reading, suara teks itu jelas dengan nada jenaka yang saya suka, tetapi durasinya menjadi terlalu pendek. Ini sebab rata-rata skrip yang saya tulis cuma empat muka surat. Jadi saya suruh mereka para pengarah ini untuk panjangkan ia jadi 15 ke 20 minit, untuk mereka ambil masa dan tidak perlu tergesa-gesa. Saya ikuti cara mereka gerakkan teks, dan saya secara tidak langsung turut ikuti sesi devising bersama mereka, sebab saya agak suka masuk campur hal pengarahan orang. Tetapi walau apa pun, saya sentiasa hormati sebarang perbincangan dan dialog, ada benda yang saya rasa tak werk, tapi saya benarkan untuk ia berlaku kerana pengarahnya sudah ada satu obsesi untuk membuatnya. Saya sudah boleh baca dari awal, ada kemahuan terpendam. Untuk menghalang obsesi antara benda yang saya cuba elak.
Tentang kritikan Marina Tan terhadap penamat playlet Mia, ya saya boleh mengerti kerunsingan ini, tetapi saya masih rasa ia berkesan sebagai sebuah playlet yang baik sebab ia mendedahkan sebahagian diri pengarah. Bagi Mia syurga perlu direbut, dan lapisan syurga dan neraka menjadi literal di dalam playlet tersebut, manakala bagi saya syurga boleh muncul di dalam neraka apabila kasih sayang wujud: dua karakter yang membahasakan diri adik dan abang itu mula merindui adik dan abang masing-masing lalu mereka berpelukan.
Kemunculan babak akhir playlet ini juga muncul sehari sebelum pementasan (kerana seminggu dua sebelum itu ia masih mendekati teks asal, di mana kedua karakter itu akan berpelukan jika mereka rasa mereka mahu). Di saat itu jika saya kata tidak boleh, saya risau ia akan diprotes oleh para pelakon dan pengarah dan menjadikan playlet itu lebih teruk. Jadi saya izinkan pintu syurga itu terbuka dan ingin lihat juga bagaimana reaksi audien. Paling teruk pun saya sentiasa ada ruang sewaktu sesi bual santai untuk menjustifikasikan kenapa saya tulis begini dan kenapa Mia arah begitu.
“Ending asal tak make sense,” kata Mia. Ia buat saya terkejut, dan seingat saya, saya tidak jawab apa-apa sangat ketika itu. Ia pada malamnya sebelum tidur saya mula berfikir deras bagaimana untuk respon terhadap kenyataan ini. Bagaimana untuk make sense-kan ending saya yang ternyata absurd. Sesi bual santai show berikutnya saya tunggu peluang untuk menyatakan susunan kata-kata yang dah saya susun dari semalam, dan ia buat saya seronok dan puas hati bila ada orang tanya tentang Berat Dosa Siapa Yang Tahu? Saya fikir hubungan sebegini buat seni jadi best, di mana apa yang saya buat dipersoal, dan saya tak semena-mena perlu berfikir kuat.
Ruang sesi bual santai ini juga menarik dalam erti kata, apabila saya bercakap, saya dapat bercakap secara tidak langsung kepada para pelakon juga. Ini kerana hubungan saya lebih akrab dengan para pengarah, dan para pengarah lebih mendekati para pelakon mereka. Ia agak berkasta tapi ia berkesan dalam erti kata kita sedang bawa semangat diy di mana mereka rata-rata tiada rehearsal space yang formal. Untuk datang dan lihat mereka berlatih di rumah, di tepi jalan, di studio latihan rumah kawan, amat memberi inspirasi, selain saya dapat explore ruang berbeza. Saya dapat rasa setiap kali show selepas sesi bual santai akan ada tindakbalas secara subtle yang direaksikan oleh para pelakon apabila mendengar saya bercakap. Ia mungkin tidak benar, tapi saya berperasaan sebegitu.
Mengenai playlet Qiu pula Pengantin, Freestyle! ia yang paling berubah setiap hari. Selain melibatkan dua aktor yang memainkan watak Bos, ada tiga show di tengah yang mana meja roboh. Show-show selain itu meja tidak roboh yang saya rasakan ia lebih baik dan terkawal. Secara overall saya boleh terima kerana ia bermula dengan show yang baik, lalu mereka ingin cuba dan improvisasi sesuatu dan ia tidak begitu berkesan, dan kembali kepada sesuatu yang berkesan.
Playlet Nana, Tas Tangan paling konsisten sepanjang pementasan. Perubahan yang berlaku cuma tiga empat pementasan awal saya menyuruhnya untuk beri handbag secara fizikal kepada watak Aiman, kerana bagi saya penting untuk audien lihat secara visual handbag itu diberi. Tetapi untuk tiga empat pementasan terakhir, saya beri ruang untuk Nana cuba Aiman sudah siap-siap memegang handbag tersebut. Ia naluri pertama Nana, yang saya sedari sudah ada dari mula-mula rehearsal, dan saya sudah lihat versi saya, jadi kita boleh cuba versi Nana pula.
Isyraqi Yahya menyukai playlet ini dan dia kata watak Aiman itu persis psychopath, macam orang gila. Saya nyatakan ini di dalam sesi bual santai berikutnya dan Nana mengatakan memang ada sekolah pemikiran feminis yang menganggap misoginis sebagai penyakit mental. Tetapi ada juga sekolah pemikiran yang mengatakan ia bukan, sebab jika ia sakit mental, lebih sukar untuk ia dipulih. Perbualan singkat sebegini menarik untuk difikir-fikirkan.
Meski setiap playlet ada naik turunnya tetapi secara berjemaah, saya dapat rasakan bahawa progress hubungan, gerakan dan energi dari playlet ke playlet menjadi semakin padu dan lengkap. Ini antara benda yang saya rasakan magik sebab tiada proses latihan yang menyatukan playlet-playlet ini—penyatuan berlaku in real-time dengan audien bertiket. Sebagai naratif, selaku produser yang berada di dalam gelap dan melihat ketujuh-tujuh pementasan ini, saya mahu ia menjadi sebegitu dan ia terjadi. Ia akan menjadi sedih, penuh duka dan nestapa andai setiap playlet ini buat hal masing-masing.
Bagi para intelek barangkali mereka akan tekuni isi setiap playlet, tetapi bagi mereka yang lebih deria-oriented, barangkali mereka dapat rasakan bagaimana energi dari satu playlet berpindah ke playlet yang lain sebelum ia disimpulkan dengan sesi bual santai.
Saya ada menceritakan tentang setiap playlet agar panjangkan durasi supaya tidak menjadi terlalu pendek. Dan kepanjangan ini paling terasa sewaktu playlet Walid, Korban Bulan Madu. Ada satu ketika mata saya berair melihat babak silent dalam playlet ini kerana merasakan ia terlalu real. Ia buat saya terfikir, adakah apabila teks saya ini yang bergerak dengan pace dan nada asal, ia absurd dan lucu, tetapi apabila ia diregangkan, kesemua absurditi dan kelucuan itu hilang lalu yang tinggal cuma kebenaran?
Sandee Chew ada menyatakan kepada saya, mengenai perasaannya apabila melihat Teater Modular, dia merasakan memandangkan ia pementasan pertama, ia wajar menjadi versi definitive. Saya boleh faham tanggapan ini, tetapi tanggapan ini saya percaya lebih sesuai diaplikasikan terhadap pementasan play penuh nanti. Meski pun begitu, Teater Modular sudah saya konstruk agar ia tiada definitive version. Ini kerana dengan 13 playlet ia boleh disusun menjadi berbillion kombinasi. Untuk menyusun secara kronologi bukan wajib. Menjadi kewajipan bagi para pengarah yang bakal mementaskan 13 playlet ini nanti untuk menerapkan visi mereka. Bagi Teater Modular, tugas pengarah bukan seperti kontraktor yang mendapat blueprint daripada playwright untuk diusahakan. Tugas pengarah seperti arkitek, atau dalam Lego Movie ia apa yang digelar Master Builder—setiap pengarah akan konstruk naratif mereka sendiri.
Ridhwan Saidi