Paling kurang di Malaysia akan ada dua jenis manusia. Yang pertama akan tiba ke lokasi jam 7.30 malam, manakala yang kedua akan tiba jam 8.30 malam.
30 minit lewat ini menjadi jarak selamat bagi rata-rata orang. Ia masih okay untuk terlewat 30 minit. Alasan boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti kelewatan komuter, kesesakan lalu lintas dan seumpamanya. Tetapi ini semua halangan permukaan. Yang lebih dalam adalah bahawa terdapat kesedaran jamak bahawa untuk lewat 30 minit itu okay. Masyarakat memahaminya. Ia malah okay untuk pihak penganjur. Penganjur memahami ini.
Ada frasa ‘janji Melayu’ dan saya tidak pasti sejauh mana frasa ini beri kesan atau terkesan dengan jarak selamat 30 minit tadi. Saya kenal seorang kawan yang jika show start jam 8 malam, jam 8.30 malam dia baru nak pakai seluar. Barangkali ini janji Melayu dalam erti kata sebenar? Saya tidak tahu, tetapi semestinya perlakuan ini tidak valid jika terjadi sekali. Ia mesti secara konsiten berlaku dan malah tidak dibuat-buat. Ia satu bentuk gaya hidup.
Tentang kelewatan masa ini mengingatkan saya kepada dua negara yang telah saya lawati iaitu Brazil dan Singapura. Sewaktu di Brazil, apabila sampai awal kita perlu beratur untuk masuk ke pintu. Andai show start jam 8 malam, pintu itu akan dibuka jam 9 malam. Bukan lagi 30 minit jarak selamat, di Brazil ia satu jam. Dan tidak hanya menunggu, orang Brazil suka beratur. Malah sewaktu sebelum masuk sinepleks pun mereka beratur panjang. Sesuatu yang tak pernah saya buat di Malaysia.
Di Singapura pula, sewaktu menjalankan kelas playwriting, ada dua peserta lewat sikit. Mereka lewat dalam 5-10 minit macam tu. Mereka telah tertinggal latihan pertama dan saya perlu tumpu untuk setelkan mereka, kerana latihan menulis yang kami jalankan berupa ensembel. Sewaktu ini berlaku, saya dapat rasa ada tekanan dan udara berat dari peserta-peserta lain yang tidak enak dengan kelewatan ini. Ia telah mengganggu flow dan naratif latihan. Oleh kerana saya orang Melayu Malaysia, saya depani hal ini sesantai yang boleh.
Kembali di Malaysia, untuk buat show yang start jam 8 malam. Ada dua pilihan yang boleh kita lakukan. Pertama adalah untuk tepati masa dan mulakan show jam 8 malam. Tetapi dengan melakukan ini, pintu keluar masuk akan diganggu oleh mereka yang akan tiba lewat. Untuk menghalang penonton yang lewat dari masuk pula terlalu kejam, di kala kita mahu mencambah pertumbuhan audien. Selain itu, untuk masuk dan terlepas babak awal akan mengganggu keseluruhan pengalaman menonton itu sendiri. Sepertimana dengan waktu, tak semua orang boleh hargai bahawa sesebuah karya mesti dirasai dan dialami dari mula.
Maka dengan itu pilihan kedua lebih baik iaitu show dimulakan jam 8.30 malam. Tetapi dengan melakukan ini, secara tidak langsung kita tahu ada mereka yang datang lebih awal dan terpaksa menunggu lebih lama. Tetapi ia masih bearable kerana ia masih dalam tempoh satu jam (seperti di Brazil). Dan pengalaman menonton mereka dan para aktor juga tidak akan terganggu dengan gerakan keluar masuk audien yang lewat. Cuma audien yang akan datang lewat ini tidak boleh tahu, bahawa show akan dimulakan jam 8.30 malam, apabila ia diiklankan sebagai 8 malam, sebab nanti mereka akan datang jam 9 malam.
ridhwan saidi