Sesi bual santai selepas pementasan teater ini penting dan saya ambil dari Wayang Budiman di mana, apa yang buat Wayang Budiman menarik adalah sesi bual santai itu sendiri, sebab kalau sekadar tayang filem, semua tempat lain pun tayang filem. Tetapi diskusi tentang filem yang paling menarik di Malaysia masa kini berlaku di Wayang Budiman. Ia sebuah ruang bagi semua audien melontarkan pendapat. Wayang Budiman sudah berusia dekat 3 tahun jadi perbincangan kami sudah advance, dan masing-masing sudah tahu untuk cakap/goreng apa andai disuruh dan dipilih Dr. Norman.
Sedangkan bagi Teater Modular pula, ia berbeza. Tradisi q&a ini sudah lama ada tetapi ia persis sesi q&a hambar yang banyak terdapat di luar sana. Salah satu masalah Malaysia bagi saya adalah ketiadaan sosok moderator yang bagus. Dan bagus ini maksud saya, seorang moderator itu mesti menghiburkan dan berilmu. Seorang moderator mesti boleh rasa melalui gerak hati sama ada audien sudah bosan atau belum. Tugas moderator adalah untuk sustain semangat perbualan atau perbincangan yang sedang dijalankan.
Saya tidak suka istilah q&a sebab ia meletakkan seolah para pengkarya di hadapan punya otoriti untuk beri jawapan, kerana hakikatnya seorang pengkarya belum tentu ada jawapan. Dan tugas audien tidak patut terhad untuk tanya soalan, sebab audien juga sewajarnya boleh kongsikan apa perasaan dan tindakbalas mereka pasca pementasan.
Di Wayang Budiman, selepas tayangan akan ada rehat 5 minit untuk orang lepak dan hisap rokok sebelum perbincangan serius atau lucu berlangsung. Tetapi dengan pementasan teater kita tidak boleh lakukan ini sebab, audien akan balik terus jika mereka dibebaskan dari tempat duduk. Maka dengan itu seorang moderator perlu tahu bermain untuk sustain hubungan/dialog audien dan pengkarya ini.
Saya sentiasa percaya seorang pengkarya mesti pandai bercakap dan mendedahkan dirinya di hadapan audien. Dan proses untuk pandai bercakap ini adalah dengan pengkarya itu melalui siri sesi bual santai ini banyak kali secara berterusan. Saya masih ingat pertama kali saya perlu naik ke pentas dan disuruh baca petikan novel Cekik oleh Uthaya Sankar, dan saya pada ketika itu amat teruk di atas pentas. Ketika itu saya masih muda dan merasakan ia sesuatu yang manja untuk seorang novelis bacakan petikan novel kepada audien. Kenapa tidak, audien cari masa dan baca sendiri novel saya? fikir saya pada ketika itu. Mungkin hari ini saya lebih terbuka untuk baca petikan dari buku saya, tetapi lebih utama adalah, kini saya lebih terbuka untuk berdiskusi perihal proses atau bersembang apa-apa saja dengan sekumpulan orang. Keutamaan sesi bual santai ini adalah supaya audien tidak pulang dibelenggu ketidakfahaman. Untuk tidak faham sedikit sebanyak tidak mengapa sebab memang alami seni itu misteri, tetapi untuk tidak faham semuanya itu bahaya.
Ruang bual santai ini di mana saya cuba sedaya upaya untuk articulate poin kenapa karya saya sedemikian rupa, dan kenapa hasil dari pengarah-pengarah ini sedemikan rupa, dan kenapa aktor bertindak sedemikian rupa. Saya mahu audien tangkap niat para pengkarya dan di sini satu permasalahan dapat saya tangkap tempoh hari.
Saya dapati Mia dan Qiu ada kala mempersoal kembali apa yang audien dapat. Saya boleh faham niat jawapan yang kembali mempersoal audien ini, sebab ia ingin memberi idea bahawa seni itu subjektif, dan setiap audien boleh fikir sendiri apa yang mereka rasa. Tetapi saya tidak gemar dengan metod ini sebab poin kenapa pengkarya ada di hadapan adalah supaya pengkarya itu menjelaskan kenapa dia berbuat begitu, dan apa niatnya. Kerana sudah tentu setiap audien ada pendapat masing-masing, tetapi bagaimana boleh seorang pengkarya mampu untuk persuade dan meyakinkan audien dengan pemikirannya. Di sini perkongsian berlaku. Di sini dialog berlaku.
Walid dan Nana lebih matang menjawab barangkali atas faktor umur juga. Yang lebih penting di sini, gradien dan percampuran pendapat yang dilontarkan oleh kalangan pengkarya. Mungkin ada jawapan yang muda dan naif dan comel, dan di selingan itu ada kata-kata yang lebih terus dan membuka ruang pemikiran audien. Seorang pengkarya yang matang akan boleh articulate pemikirannya dengan jelas. Saya sendiri dalam proses menjadi tua dan berharap agar kata-kata saya sejernih yang boleh.
Selain daripada kata-kata pengkarya yang saya komenkan, sesi bual santai ini tidak lengkap tanpa rangsangan, pendapat, perasaan dan tindakbalas dari audien sendiri yang begitu bersemangat. Malah untuk Teater Modular yang baru selesai ini, saya merasakan audien yang datang boleh tahan matang dan jelas pendapat yang mereka lontarkan. Ada perasaan yang tak mampu dilontarkan via kata-kata dan saya dapat tangkap. Selain pujian dan dorongan, saya juga boleh tangkap kekecewaan dan keseriusan yang tak diucap oleh kata-kata tetapi boleh dibaca dari gerak badan dan mimik muka. Segala ini menjadikan dinamik hubungan di kalangan audien ini menarik dan rancak. Ada energi yang tarik menarik, sebab bagi seorang yang suka pasti ada seorang yang benci, dan begitulah sebaliknya. Ia buat Teater Modular dinafasi dan dihidupi.
Ridhwan Saidi