Ahad, Februari 07, 2016

Penyamun Babylon

Di atas lanskap hijau Rio
     Tumbuh kotoran ngeri:
Fakir miskin datang ke Rio
     Dan tidak boleh pulang.

Di atas bukit jutaan orang,
     Sejuta gagak, bersarang,
Persis migrasi keliru
     Yang ingin cahaya dan rehat,

Membina sarang, atau rumah
     Dari tiada apa, atau udara
Kau fikir senafas menamatkan mereka,
     Mereka bertenggek tenang di sana.

Tapi mereka berpaut dan merebak seperti lumut,
     Dan orang datang dan datang,
Ada satu bukit dipanggil Ayam,
     Dan ada satu dipanggil Katakom;

Ada bukit Kerosin,
     Dan ada bukit Skeleton,
Bukit Kehairanan,
     Dan bukit Babylon.

Micucu seorang penyamun dan pembunuh,
     Musuh masyarakat.
Dia telah lari tiga kali
     Dari pusat tahanan paling teruk.

Mereka tidak tahu berapa ramai dia dah bunuh
     (Meski mereka kata dia tak pernah merogol),
Dan dia telah mencederakan dua orang polis
     Kali terakhirnya dia lari.

Mereka kata, ‘Dia akan menemui makciknya,
     Yang membesarkannya seperti anak kandung.
Dia ada kedai minuman keras
     Di bukit Babylon.’

Dia terus menemui makciknya,
     Dan dia minum bir terakhir.
Dia beritahunya, ‘Askar-askar dah tiba
     Dan aku perlu hilangkan diri.

‘Sembilan puluh tahun mereka beriku.
     Siapa mahu hidup selama itu?
Aku selesa dengan sembilan puluh jam,
     Di bukit Babylon.

‘Jangan beritahu sesiapa kau jumpa aku.
     Aku akan lari selagi boleh.
Kau baik padaku, dan aku sayangkan kau,
     Tapi nasibku celaka.’

Semasa keluar, dia berselisih gadis mulata
     Bawa air di atas kepala.
‘Kalau kau cakap kau nampak aku, anak,
     Kau sudah pun mati.’

Ada gua di puncak, dan tempat sembunyi,
     Dan kubu tua, kian meruntuh.
Dulu mereka guna untuk teropong orang Perancis
     Dari bukit Babylon.

Di bawahnya lautan,
     Ia mencapai langit,
Rata macam dinding, dan padanya
     Kapal kontena melintas,

Atau panjat dinding, dan panjat
     Hingga setiap satu kelihatan seperti lalat,
Dan kemudian jatuh lalu hilang;
     Dan dia tahu dia akan mati.

Dia dengar bebiri mem-baa-baa,
     Dia dengar bayi-bayi menangis;
Layang-layang terbang ke atas;
     Dan dia tahu dia akan mati.

Helang mengelepak begitu dekat
     Dia mampu nampak lehernya.
Dia lambaikan tangan dan jerit,
     ‘Belum lagi, anakku, belum lagi!’

Helikopter tentera
     Datang keliling dan kemari.
Dia boleh nampak dua orang di dalam,
     Tapi mereka tidak mengesannya.

Askar-askar berada di mana-mana,
     Di setiap sisi bukit,
Dan berlatarkan langit
     Sebaris mereka, kecil dan kaku.

Kanak-kanak mengintai tingkap,
     Dan lelaki-lelaki di bar bersumpah,
Dan meludah sedikit cachaca
     Ke retak kecil di lantai.

Tetapi askar-askar gelisah, malah
     Dengan senapang di tangan,
Dan salah seorang dari mereka, panik,
     Menembak pegawai berkuasa.

Dia tembaknya kena tiga tempat;
     Tembakan lain meliar.
Askar itu histeria
     Dan menangis seperti anak kecil.

Lelaki nazak itu kata, ‘Selesaikan
     Tugas yang telah dipertanggungjawab.’
Dia menyerahkan jiwanya kepada Tuhan
     Dan anaknya kepada Kerajaan.

Mereka lari dan dapatkan paderi,
     Dan dia mati mengharapkan Syurga
—Lelaki dari Pernambuca
     Anak bongsu dari sebelas beradik.

Mereka mahu hentikan carian,
     Tetapi Tentera kata, ‘Tak, teruskan,’
Maka askar-askar menggerumuni kembali
     Ke puncak bukit Babylon.

Orang kaya di apartmen
     Menonton dengan binokular
Selagi cahaya pagi berlanjutan
     Dan sepanjang malam, di bawah cahaya bintang.

Micucu sembunyi di dalam rumput
     Atau duduk di dalam pohon kecil,
Mendengar bunyian, dan merenung
     Ke arah rumah api di laut.

Dan rumah api itu renung kembali ke arahnya,
     Hingga akhirnya fajar merekah
Dia bermandi embun, dan lapar,
     Di bukit Babylon.

Matahari kuning itu hodoh
     Seperti telur mentah di atas pinggan—
Tumpah pada lautan. Dia menyumpah
     Kerana dia tahu takdirnya termaktub.

Dia lihat pantai putih dan panjang
     Dan manusia pergi berenang,
Dengan tuala dan payung pantai,
     Tetapi askar-askar mencarinya.

Jauh di bawah, orang-orang
     Jadi tompokan halus berwarna,
Dan kepala mereka yang berenang
     Adalah kelapa-kelapa terapung.

Dia dengar penjual kacang
     Tiup peep-peep dengan wisel,
Dan penjual payung
     Mengayun detaran pengawal.

Wanita-wanita dengan bakul pasar
     Berdiri di bucu dan bercakap,
Kemudian meneruskan perjalanan ke pasar,
     Melihat ke atas semasa berjalan.

Orang-orang kaya dengan binokular
     Kembali semula, dan ramai
Berdiri di aras bumbung,
     Di celah-celah antena tivi.

Ia awal, lapan atau lapan-setengah.
     Dia nampak seorang askar memanjat,
Melihat dirinya. Dia tembak,
     Dan tersasar buat kali terakhir.

Dia dapat dengar askar itu mencungap,
     Meski dia tidak dekat.
Micucu lari demi perlindungan.
     Tetapi dia kena, di belakang telinga.

Dia dengar bayi-bayi menangis
     Jauh, jauh di dalam kepala,
Dan anjing-anjing kacukan menyalak dan menyalak.
     Lalu Micucu mati.

Dia miliki pistol Taurus,
     Dan pakaian yang dipakai,
Dengan dua conto di dalam poket,
     Di bukit Babylon.

Polis dan orang ramai
     Menghembus nafas lega,
Tetapi di belakang kaunter, makciknya
     Kesat mata kehibaan.

‘Kami sentiasa dihormati.
     Kedaiku jujur dan bersih.
Aku sayang dia, tapi sejak bayi
     Micucu sentiasa garang.

‘Kami sentiasa dihormati.
     Adik perempuannya ada kerja.
Kedua kami berinya duit.
     Kenapa mesti dia menyamun?

‘Aku besarkannya untuk jadi jujur
     Malah di sini, di Babylon kotor.’
Pengunjung-pengunjung minum lagi,
     Kelihatan serius dan muram.

Tetapi salah seorang berkata kepada yang lain,
     Bila dia keluar pintu,
‘Dia bukan penyamun sangat,
     Dia ditangkap enam kali—atau lebih.’

Pagi ini askar-askar kecil
     Di bukit Babylon lagi;
senjata dan helmet mereka
     Berkilau di dalam renyai hujan

Micucu sudah ditanam.
     Mereka mencari lagi dua,
Tetapi mereka kata mereka tidak sebahaya
     seperti Micucu kasihan.

Di atas bukit hijau Rio
     Tumbuh kotoran ngeri:
Fakir miskin datang ke Rio
     Dan tidak boleh pulang.

Ada bukit Kerosin,
     Dan ada bukit Skeleton,
Bukit Kehairanan,
     Dan bukit Babylon.



Elizabeth Bishop
terjemahan sajak The Burglar of Babylon
oleh Ridhwan Saidi