Ahad, Januari 10, 2016

Anita: Dunia Ajaib (1981)


Reviu pendek:
Metafiksyen lucu advencer seorang suami/produser filem dalam melahirkan anak/filem pertamanya Anita.

Reviu panjang:
Filem ini buruk tetapi tidak menjengkelkan seperti Terbaik Dari Langit*, dan kelucuan yang terhasil bukan atas dasar sinikal atau untuk menggelakkan keburukan (teknikal) filem tersebut tetapi situasi-situasinya benar-benar lucu.

Filem ini juga dihukum kerana dijual sebagai sai-fai tetapi kita perlu faham bahawa ia cuma gimik marketing yang sepatutnya tiada kena-mengena dengan apa yang boleh filem ini sendiri beri.

Filem extraordinary** ini tentang aspirasi seorang pembikin filem lakonan Hail Amir dalam membikin sebuah filem berjudul Anita: Dunia Ajaib. Elemen metakfisyen filem ini amat sincere dalam ertikata pembikinnya barangkali tidak sedarkan hal ini atau boleh jadi pengarahnya genius. 

Salah satu situasi metafiksyen tulen adalah (spoiler!) bila Hail Amir lepas lulus pinjaman Bank Bumiputera (pemberi dana sebenar filem ini!) untuk bikin filem Anita: Dunia Ajaib, benda pertama yang dia beli ialah kereta Mercedes. Dan apabila Hail Amir ke kampung*** untuk bayar duit sewa tertunggak, tuan rumah lakonan Dollah Dagang itu puji Hail Amir atas kejayaannya (yang kini akan berpindah ke bandar) berkereta mewah. Hail Amir merendah diri lalu mengatakan bahawa kereta Mercedes itu bukan untuk menunjuk-nunjuk tapi sebab ia adalah untuk kegunaan filem yang akan diarahkan iaitu Anita: Dunia Ajaib, yang mana kita penonton sedang melihat kereta Mercedes itu di dalam filem sedang digunakan!

Filem-filem masakini cenderung trendy dengan elemen metafiksyen**** tapi ia boleh jadi mengada-ngada sebab terlalu dibelenggu elemen self-awareness (kerana itu selfie wujud era ini) tapi waktu awal 1980 dulu kita di ambang modeniti dan self-awareness-nya jenis lain kerana adanya campuran hal-hal lain, lebih-lebih lagi 1981 adalah tahun kehadiran Mahathir. 

Di dalam filem ini terdapat satu babak di pejabat, semasa Hail Amir memberi nasihat kepada pengarah-pengarah Melayu di bawah syarikat produksinya OHMS film (yang baru saya sedar merupakan akronim Omar Haji Mohd Said haha) yang masih tidak menyiapkan filem-filem mereka, salah seorang mereka didapati kerap ke disko dan berfoya-foya dengan artis wanita. Di dalam babak ini foto Tun Hussein Onn tergantung pada latar watak Hail Amir, dan pada satu waktu, bahagian kepala Hail Amir sendiri menutup dan berada di dalam bingkai potret Tun Hussein Onn dan berkhutbah tentang betapa penting untuk orang Melayu buat kerja betul-betul. Ini bikin saya terfikir, bagaimana jika filem Anita: Dunia Ajaib ini secara subsedar menangkap nuansa transisi pentadbiran negara kita daripada Tun Hussein Onn kepada Tun Mahathir. Seluruh aspirasi Hail Amir ingin bikin filem ini adalah semangat era Tun Hussein Onn manakala alam ajaib campuran sains dan tahyul ini pula adalah kedatangan era Tun Mahathir?

Spoiler: Filem ini berakhir dengan ayat terakhir di mana ASP itu menenangkan Hail Amir dan isterinya, selepas anak mereka Anita diculik oleh makhluk asing dengan kuasa laser hijau istimewa yang mampu mengeraskan polis, berbunyi lebih kurang, “Bersabarlah!” kerana tiada apa yang boleh kita lakukan dengan penguasa dengan kuasa sebegitu!

Struktur filem ini boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian. Pertama ia di-sandwich bahagian pembuka dan penutup sai-fai (meski label sai-fai ini sendiri problematik, tapi kita perlu faham bahawa ia sai-fai jenis Melayu di mana ia jenis sains pakai bedal tapi ada charm-nya yang tersendiri, sesuatu yang boleh kita jumpa secara street level dari penjual ubat kuat atau cikgu formula matematik di pasar malam dan pasar tani, mereka yang datang dari arketip seorang storyteller banding saintis tulen.) Kita dialkisahkan dengan prolog adanya kewujudan dunia ajaib bernama dimensi kelima, dan babak akhir yang hebat.

Intinya pula kita dapat dua cerita yang gel bersama iaitu 1. kisah usaha seorang bumiputera Hail Amir (saya yakini ia alter ego Omar Haji Mohd Said, ditambah watak isteri lakonan Asmah Hamid di dalam filem ini saya diberitahu merupakan isteri sebenar Omar Haji Mohd Said) daripada hidup susah dan dikahwinkan selepas salah faham lucu ditangkap ‘khalwat’ (dibetulkan ‘maksiat’ oleh penghulu). Hail Amir dan isterinya tiada isu dikahwinkan (atas dasar paksa) sepanjang filem ini berlangsung seakan ia antitesis kepada drama kahwin paksa klise lain waktu itu dan hari ini. Situasi komik ini konsisten sepanjang cerita.

Bila difikirkan, untuk ditangkap berbuat maksiat dan dikahwinkan adalah satu bentuk kahwin paksa yang lebih keras, kerana ia bukan atas pilihan keluarga dan darjat, tetapi atas ketentuan masyarakat dan agama, yang tiada kena-mengena dengan pilihan pasangan hidup seorang individu. 
Babak bercanda di antara Hail Amir dan isterinya sewaktu baru peroleh kejayaan material diraikan di Taman Tasik Titiwangsa dan kemudian mereka naik kereta untuk ke Lake Garden pula. Mereka mampu untuk bercanda dari satu taman ke satu taman dengan kereta!

Dan 2. kisah Anita itu sendiri. Dan Anita di dalam filem ini ada dua tetapi ia lambang entiti yang sama iaitu filem dan anak. Di pertengahan kisah, sewaktu balik kerja (untuk makan tengahari?) Hail Amir marah-marah mahu kahwin lain kerana isterinya masih tidak melahirkan anak selepas 4 tahun berkahwin. Fungsi isteri di dalam filem ini digarap secara konvesional di mana ia perlu lahirkan anak untuk dianggap success sepertimana seorang suami mengumpul harta kekayaan. Hail Amir telah berjaya mengubah hidup mereka, daripada isterinya hidup di kampung dan basuh baju di tepi sungai kepada kehidupan di rumah batu dengan pembantu rumah.

Titik temu antara kisah usaha Hail Amir ingin bikin filem Anita: Dunia Ajaib dengan filem Anita: Dunia Ajaib itu sendiri kabur. Saya syak ia imej pertama watak pembantu rumah lakonan Aznah Hamid muncul, bilamana ia terasa kekok dan pelik, tapi akhirnya kita tahu mengapa.

Pertembungan tahyul dan sains yang disebut prolog, ketara di dalam filem ini apabila (spoiler lagi) pawang Gua Hikmat itu sebenarnya makhluk asing, yang menggunakan hikmat dan kuasa ajaib mereka dalam mendapatkan zuriat via tubuh manusia. Mitologi ini tidak jauh dari konsep jin alam Melayu di mana kita tahu jin atau dalam konteks filem ini ‘makhluk asing dari dimensi kelima’ boleh buat perempuan bunting dan lahirkan anak. Dan anak ini biasanya tidak boleh dilihat kasat mata tapi ada juga yang boleh dilihat seperti bayi biasa, cuma pada suatu malam ia akan dibawa lari oleh ibu bapa sebenar mereka ke angkasaraya.


Ridhwan Saidi 

*: kedua-dua filem ini melibatkan hal pembikinan filem dan makhluk asing!
**: extarordinary ini disebut Hail Amir bila ditanya bagaimana rupa filem Anita yang dimahukannya.
***: kejayaan lebih terbukti apabila ia ditunjukkan kepada mereka yang telah menyaksikan kemiskinan kita.
****: telefilem metafiksyen masakini yang menarik saya tonton baru-baru ini Senandung Malam, sebuah homaj buat Bujang Lapok.