Jumaat, Januari 08, 2016

Merosakkan Bahasa

1. ‘Merosakkan bahasa’ hujah yang dipakai mereka yang rasa bahasa itu wajar dipertahan. Ia benar dalam konteks arsitektur di mana kita biasa dengan konsep preservation. Kita jaga, baikpulih dan pertahan bangunan-bangunan penting yang ada nilai sejarah. Tapi di Malaysia tempat-tempat sebegini akan diroboh selagi tiada label unesco ditampal. Negara kita cukup bebal dalam hal ini. Selain arsitektur, sinema kita juga tak dijaga. Dalam konteks ini, ia tak roboh tetapi hilang. Filem ISTANA BERDARAH contohnya. Kita faham sentimen preservation ini. Ya, pengarkiban teks sejarah kita juga bermasalah, ia lebih mudah hancur oleh faktor cuaca dan seumpamanya (kecuali ia atas batu, kayu atau material yang lebih kukuh dari kertas). Kadang-kala saya skeptik, kita ada rasa riak sebagai negara bangsa untuk ambil kembali khazanah sejarah bangsa dari simpanan luar, semangat berkobar waktu cakap ada, tapi andai ia sampai ke Malaysia pasti ia lupus lebih awal sepertimana lupusnya nilai kepimpinan ala Inggeris kita selepas merdeka.

2. ‘Merosakkan bahasa’ yang akan dibincangkan lebih kepada tohmah daripada mereka yang merasakan diri mereka preserver. Tetapi bukan nilai sejarah yang di-preserve tetapi apa yang dipercaya sebagai bahasa semasa yang benar. Merosakkan bahasa merupakan satu kesalahan di mata mereka. Ironinya mereka yang rasa di jalan benar ini di jalan yang salah. Perlu kita ingat, bahasa semasa yang benar ini kekorupannya selari dengan betapa korupnya sistem kepimpinan kita hari ini. Saya canggung bila bertemu dengan bahasa yang muluk-muluk itu dan tidak menemukan apa-apa baik dari segi rohani, intelek dan visual (malah pemilihan font dan layout pun gagal). Suara karya-karya ini cenderung meletakkan pembaca sebagai budak-budak bengap yang wajib ikut kata demi A+. Kadang-kala saya tertanya bagaimana mereka dengan kuasa ini tenang menyampaikan kebodohan, kehodohan seraya menutup pintu hati orang.

3. ‘Merosakkan bahasa’ adalah satu tindak resistance. Merosakkan bahasa adalah cemuh akur terhadap sistem dangkal yang membelenggu masa depan. Merosakkan bahasa salah di sisi undang-undang yang termaktub di dalam kitab langganan mereka. Merosakkan bahasa ingkar murni seorang revolusioner.


Ridhwan Saidi