Ini respons saya mengenai karakter El Ghazal dari novela Stereo Genmai oleh Fadz:
“Saya agak terganggu dengan suatu percubaan Ridhwan dalam menghidupkan el-Ghazal (Imam Al-Ghazali), dengan pendirian yang menyerupai tetapi mungkin tidak sesadis Rushdie buat The Satanic Verses. Suatu perbincangan berlaku, yang saya sudah lupa, tetapi sedikit terasa Ridhwan "cuba" melakukan syarah intelektual idea Hujjatul Islam itu, tetapi tidak sampai, ini bukan mainannya (setakat ini).” – Fadz, KubuBuku
Yang saya percaya merujuk kepada reviu Ida di Goodreads:
“Nota tambahan; Aku rasa El-Ghazel itu adalah Imam al-Ghazali. Dan aku tak maafkan dia diperwatakkan dengan timbang kecil! Kerana itu aku buangkan honorifik sosial dan aku markahkan 2. Haha!” – Ida, Goodreads
Perhatikan yang Ida mulanya rasa El Ghazal = Al-Ghazali dan kemudian di dalam reviu Fadz, ia meyakini bahawa El Ghazal = Al-Ghazali. Sebagai penulis izinkan saya jelaskan dari mana saya dapat nama El Ghazal, ia adalah gabungan El Topo dan ghazal (Ghazal Untuk Rabiah).
Saya cuba memahami situasi ini sebab tak terlintas di dalam fikiran saya bahawa El Ghazal itu Al-Ghazali. Tapi saya faham bahawa bunyi El Ghazal ni dah dekat-dekat macam Al-Ghazali, cuma persoalannya jika saya bubuh nama karakter El Ghazal ini sebagai Ghazali sekali pun, cukupkah sekadar nama untuk ia merujuk kepada Imam Al-Ghazali? Jawapannya tidak. Lagi pula Ghazali adalah nama biasa yang boleh kita temui seharian dan pelbagai sifat baik dan jahat seorang Ghazali boleh kita temui di media, sekolah, laman sosial dan hidup. Agak semberono untuk kaitkan nama dengan nama. (Intepretasi semberono sebegini ironisnya ada dibincangkan di dalam The Incoherence of the Critics oleh KM Raslan.)
Satu-satunya cara untuk pastikan (jika benar) saya merujuk Al-Ghazali adalah dengan melihat teks Stereo Genmai itu sendiri dan konteks karakter El Ghazal. Dunia Stereo Genmai tak pergi sejauh sejarah Islam, ia cuma berlegar di sekitar Pavi, Bukit Bintang. Dan jika El Ghazal ini Al-Ghazali, bagaimana pula karakter-karakter lain? Siapa Ibnu Rusyd misalnya? Takkan Al-Ghazali ini muncul tiba-tiba? Lagi pula El-Ghazal ini berkawan dengan Saadah Laiho, geng Anak Argot, yang saya secara halus terapkan nuansa Children of Bodom kepada geng ini, dan saya yakin ia jelas dan boleh ditangkap oleh pembaca yang tahu, meski ia trivial dan tak mengurangkan pengalaman pembacaan. Tapi kalau sedar ia mungkin buat Anak Argot ini comel sikit.
Apa pun saya terbuka jika diberi dalil yang lebih kuat berkenaan apa pun. Moral dari intepretasi ini sekurang-kurangnya buat saya google dan lebih ingin mengenali Al-Ghazali.
Ridhwan Saidi