Dalam menulis skrip filem kita tiada ruang untuk mengarut atau bertindak spontan berbanding semasa menulis novel. Karutan dan tindak spontan seorang pengarang akan larutkan pembaca buku tetapi dalam konteks penulisan skrip, hal ini molek dielak. Malah dialog yang tak membantu cerita akan muncul disebabkan ini. Karutan atau tindak spontan ini hanya berlaku selepas itu seperti waktu shooting atau editing (jika mahu). Poinnya adalah, semasa menulis skrip kita patut fokus dan sedar apa yang ingin dikatakan.
Proses kedua-duanya serupa. Dalam konteks skrip filem, ia bermula dengan draf-draf liar dalam mencari pembuka dan penutup kisah. Apabila imej dan poin tematiknya jelas, baru ia ditogelkan kembali menjadi logline dan treatment ringkas. Setiap baris treatment dipisahkan dengan ‘tapi’ atau ‘jadi’ contohnya: A bunuh B tapi B tak bersalah, A bunuh B jadi A lari ke Siam.
Dari treatment kita dapat olah struktur dan periksa di mana sempadan babak. ‘Babak’ merujuk kepada satu titik di mana karakter tiba di satu kebarangkalian, lalu buat pilihan, dan seluruh cerita seterusnya berlaku atas pilihan itu. Babak ini penting untuk escalate cerita, agar ia dinamik dan bergerak. Dan babak ini bukan titik plot atas kertas semata, tapi konsekuensinya menyeluruh. Untuk sedar ini perlu ada kepekaan. Dan untuk dapatkan kepekaan ini kita perlu banyak baca novel dan tonton filem, dan selebihnya banyakkan berdoa. Ia problematik bila kita rasa cerita kita ada 5 babak tapi sebenarnya ia cuma sebabak.
Struktur treatment boleh dimain-main. Jika logline adalah apa yang dicerita, treatment adalah bagaimana ia dicerita. Teknikal cerita berada di peringkat ini sebab cerita cuma cerita (yang masih sama sejak dulu). Bagaimana kita cerita itu yang penting. Pengetahuan penonton digarap menurut apa yang disusun. Susunan cerita ini nahunya persis prosa.
Pitch treatment ini kepada mereka yang kita percaya akan membuatkan kisah kita jadi lebih sihat.
Pitch treatment ini kepada mereka yang kita percaya akan membuatkan kisah kita jadi lebih sihat.
Apabila treatment sudah stabil, lukis storyboard berdasarkannya. Mimpi dan termenung demi imej yang jernih untuk dilukis. Setiap syot dan peralihan syot wajar mengandungi apa yang ingin dikatakan. Malah dengan storyboard anda boleh bercerita melalui gambar tanpa dialog. Ini sebab utama kenapa dari treatment kita terus ke storyboard. Jika kita kembangkan treatment ke skrip terus, kita tiada imej (lebih-lebih orang kita tiada imaginasi) lalu cerita digerakkan dengan teks dan dialog. Dialog paling bahaya* kerana tanpa kesedaran dan kebolehan, olahan dialog samada jadi klise, redundant atau hambar seperti yang biasa kita temui dalam filem-filem Malaysia hari ini.
Jika ada yang persoal metod ini bukan formula untuk suckcess, sentiasa ingat pesan Einstein: kita bukan nak buat filem success, kita nak buat filem yang bernilai.
Jika ada yang persoal metod ini bukan formula untuk suckcess, sentiasa ingat pesan Einstein: kita bukan nak buat filem success, kita nak buat filem yang bernilai.
Skrip filem suatu yang mekanikal tapi tak semestinya filem yang terhasil turut sama mekanikal. Pertama sekali yang membikin filem masih orang—bagaimana jika satu hari nanti yang bikin filem adalah komputer dan mesin?—jadi karutan dan tindak spontan yang disebut awal-awal tadi dapat melembutkan cerita semasa proses shooting dan editing. Persis projek arsitektur, blueprint bangunan tak sama dengan bangunan yang didirikan dengan tangan manusia. Ada isu-isu di tapak dan set penggambaran yang perlu ditangani secara manusiawi. Hanya dengan menjadi manusia, seorang sutradara dapat menjadi _____. (5 markah)
Filem adalah visi dan mimpi seorang sutradara yang diusahakan secara kolektif.
Ridhwan Saidi
*: Kita wajib rujuk dialog filem The Bitter Tears of Petra von Kant (1972) untuk dibandingkan dengan apa yang kita tulis, agar kita sedar balik dialog yang kita tulis itu benar-benar dimaksudkan karakter/kita, atau sebab ikut-ikutan/konvensi lapuk.