Selasa, Disember 20, 2011

Semua Itu

Suatu ketika sewaktu saya masih kecil saya menerima sebuah hadiah berbentuk lori simen mainan. Ia diperbuat daripada kayu kecuali gandar—roda—yang, seingat saya ialah batang besi panjang. Saya sembilan puluh peratus yakin ia hadiah hari Natal. Saya suka ia sepertimana seorang budak lelaki baya itu menyukai mainan lori angkat barang, ambulans, traktor-treler, dan apa sahaja. Ada budak lelaki suka keretapi dan ada budak lelaki suka kenderaan—saya jenis yang kemudian.

Ia adalah ('ia' bermaksud lori simen tersebut) sama besar dengan miniatur yang telah dibesarkan sepertimana kenderaan mainan lain—lebih kurang sebesar peti roti. Ia seberat tiga atau empat paun. Ia tidak lebih daripada sekadar mainan—tanpa bateri. Ia mempunyai tali berwarna, dengan pemegang berwarna kuning, dan kamu pegang pemegang itu dan berjalan menarik lori simen itu di belakang kamu—seperti wagon, meski pun saiz ia jauh mendekati saiz wagon sebenar. Untuk hari Natal, saya pasti saya ingat. Ia berlaku ketika usia saya apabila kamu boleh kata, mendengar ‘bisikan’ tanpa perlu risau bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri kamu. Saya dengar ‘bisikan’ setiap masa sewaktu kecil. Saya samada lima atau enam tahun, saya rasa. (Saya tidak begitu mahir dengan nombor.)

Saya suka lori simen itu dan bermain dengan ia lebih banyak daripada saya bermain dengan kenderaan mainan lain yang saya miliki. Sehingga satu tahap, beberapa minggu atau bulan selepas hari Natal, bagaimanapun, ibubapa kandung saya membuatkan saya percaya bahawa lori simen itu mempunyai kuasa magik dan/atau luar biasa. Kemungkinan ibu beritahu saya dalam keadaan kedewasaan yang bosan atau bermain-main, dan kemudian abah pulang dari kerja dan turut serta, juga dengan gaya main-main. Magik itu—yang ibu beritahu saya sewaktu dia sedang duduk di atas sofa ruang tamu, ketika sedang melihat saya menarik lori simen tersebut ke sekeliling bilik menggunakan tali, dengan santai bertanya saya jika saya sedar yang ia mempunyai elemen magik, tanpa sangsi menjadikan saya ibarat sukan dengan cara setengah-kejam dan bosan seorang dewasa kadang-kala lakukan terhadap budak kecil, bermain-main beritahu mereka perkara yang mereka turunkan kepada mereka sebagai 'kisah dongeng' atau 'berdayacipta kanak-kanak,' tanpa menyedari kesan yang bakal (sebab magik ialah realiti yang serius untuk kanak-kanak), meski pun, sebaliknya, jikalau ibubapa saya percaya yang magik lori simen itu benar, Saya tidak faham mengapa mereka tunggu berminggu-minggu atau berbulan-bulan sebelum beritahu saya tentang perkara tersebut. Ia sangat menyeronokkan tetapi lebih kerap menjadi tanda tanya kepada saya; saya tidak lagi tahu fikiran dan motif mereka lebih daripada sebatang pensil tahu ia digunakan sebagai apa. Sekarang saya di dalam kesangsian. 'Magik' tersebut iaitu, tanpa pengetahuan saya, ketika saya sedang gembira menarik lori simen itu di belakang, silinder atau dram pembancuh simen itu—benda alah itu, pada sebuah lori simen sebenar, membancuh simen; saya tidak tahu nama sebenar untuk ia—berputar, berpusing dan berpusing pada paksi horizontal, sepertimana dram pada lori simen sebenar lakukan. Ia lakukan ini, kata ibu, hanya apabila lori itu ditarik oleh saya dan hanya itu, dia menekankan, ketika saya tidak melihat. Dia mendesak pada bahagian ini, dan abah kemudian menyokong: magiknya bukan sahaja dram yang diperbuat daripada kayu pejal tanpa bateri itu berputar tetapi ia bergerak hanya apabila tidak dilihat, berhenti apabila dilihat. Jika, ketika ditarik, saya pusing dan lihat, ibubapa saya masih kekal serius, dram itu secara magikalnya akan menghentikan putaran. Bagaimanakah ini? Saya tidak pernah, malah sesaat, sangsi dengan apa yang mereka beritahu saya. Inilah sebab mengapa orang dewasa dan malah ibubapa boleh, tanpa deria humor, menjadi kejam: mereka tidak boleh membayangkan ketidakwujudan rasa sangsi. Mereka telah lupa.

Poinnya adalah bulan-bulan telah berlalu digunakan oleh saya cuba mencari jalan melihat dram berputar itu. Bukti muncul dari apa yang telah mereka beritahu saya: memusingkan kepala saya secara terang-terangan dan tanpa sorok sentiasa menghentikan putaran dram. Saya juga pernah cuba menoleh cepat-cepat. Saya pernah cuba orang lain menarik lori simen tersebut. Saya pernah cuba memusingkan kepala secara inkrimental semasa sedang menarik ('inkrimental' bermaksud memusingkan kepala perlahan-lahan pada kadar jarum minit jam dinding). Saya pernah cuba mengintai melalui lubang kunci tatkala orang lain sedang menarik lori simen tersebut. Malah memusingkan kepala perlahan-lahan pada kadar jarum jam jam dinding. Saya tidak pernah sangsi—ia tidak berlaku kepada saya. Magiknya bahawa dram bancuhan itu sentiasa maha mengetahui. Saya pernah cuba cermin—mula-mula lori simen itu ditarik terus mengadap cermin, kemudian melalui ruang bilik dengan cermin yang mana saya dapat nampak secara nyata, kemudian melalui cermin yang tersorok dengan peluang tipis bahawa lori simen itu akan 'tahu' bahawa terdapat cermin di dalam bilik itu. Saya sangat terlibat dengan strategi-strategi saya. Saya berada di tadika dan di rumah separuh hari. Keseriusan saya mencuba tentu telah menyebabkan ibubapa saya tiada nurani derita. Abah yang masih belum menerima perlantikan tetap; kami tidak begitu kelas menengah, dan hidup di dalam rumah sewa di mana permaidaninya usang dan nipis—lori simen itu berbunyi ketika saya tarik. Saya merayu kepada ibu supaya merakamkan foto-foto tatkala ketika saya sedang menarik lori simen, memandang dengan daya ketekunan tinggi ke hadapan. Saya lekatkan pita pelekat pada bahagian dram dan berfikir bahawa jika pita itu muncul di dalam foto dan berubah tempat di dalam foto lain ini bermakna ia menjadi bukti sahih bahawa dram itu sedang berputar. (Kamera video masih belum dicipta.)

Ketika Sesi Bercakap, sebelum tidur, abah kadang-kala menceritakan saya advencer masa kecilnya. Dia, seorang intelektual, telah, menurut ceritanya, jenis kanak-kanak yang membuat perangkap untuk Pari-Pari Gigi (susunan tin-tin berbentuk piramid di pintu dan tingkap-tingkap biliknya, diikat dengan benang dari jari ke giginya di bawah bantal supaya dia terjaga apabila Pari-Pari itu cuba mengambil gigi) dan lain-lain tokoh—bukan cerita atau lagu—dengan ibubapa ketika saya sedang berselimut di atas katil. Empat malam setiap minggu Sesi Bercakap dengan ibu dan tiga malam bersama abah. Mereka sangat terancang tentang hal itu.) Saya telah, pada usia itu, tidak biasa dengan Matthew 4:7, dan abah, seorang ateis tegar, tidak mungkin merujuk kepada Matthew 4:7 atau menggunakan kisah perangkap sia-sia kanak-kanaknya sebagai perumpamaan atau nasihat melawan percubaan saya cuba untuk 'menguji' atau 'menewaskan' magik lori simen tersebut. Di tinjau kembali, saya percaya abah terpesona dengan percubaan saya untuk 'memerangkap' dram bancuhan itu berputar kerana dia lihat mereka sebagai bukti bahawa saya adalah secubit blok seorang mania intelektual ad-hoc pada pengesahan empirikal. Malah, tiada apa yang lebih jauh daripada kebenaran. Sebagai seorang dewasa, saya sedar mengapa saya menghabiskan masa cuba 'menangkap' putaran dram tersebut adalah kerana saya ingin mengesahkan yang saya tidak mampu. Jika saya berjaya mengakali magik itu, saya tentu telah punah. Saya tahu ini sekarang. Kisah abah tentang jerat buat Arnab Easter atau tipu daya buat Pari-Pari Gigi kerap membuatkan saya sedih, dan bila saya menangis mengingatkan hal tersebut kadang-kala ibubapa saya secara bersalah percaya bahawa saya sedang menangis kerana kekecewaan saya tidak dapat melihat putaran dram lori simen. Saya yakin ini menyebabkan mereka kesal. Malah, saya sedang menangis penuh kesedihan, membayangkan bagaimana hancurnya perasaan abah sebagai kanak-kanak jika dia telah berjaya menangkap Pari-Pari Gigi. Saya tidak, pada ketika itu, sedar bahawa inilah mengapa kisah-kisah Sesi Bercakap membuatkan saya sedih. Apa yang saya ingat perasaan yang membuak-buak untuk bertanya kepada abah satu soalan ketika dia sedang asyik menerangkan kaedah perangkap-perangkap itu, dan dalam masa yang sama suatu ketakutan besar dan menelan diri tetapi berjelaga dan asing menghalang saya daripada bertanya. Konflik di antara godaan dan ketidakupayaan saya untuk bertanya soalan (berhutang dengan ketakutan untuk pernah melihat kesakitan pada wajah merah jambu, ceria, tenang abah) membuatkan saya menangis dengan kuat pasti menyebabkan ibubapa saya—yang melihat saya sebagai esentrik dan halus—tiada sebarang rasa bersalah di atas sifat 'kejam' mereka mereka-reka magik lori simen. Di bawah pelbagai dalih, mereka belikan saya bermacam-macam pilihan mainan dan permainan pada bulan-bulan berikutnya selepas hari Natal, cuba mengalih perhatian saya daripada apa yang mereka lihat sebagai obsesi traumatik terhadap mainan lori simen dan 'magiknya.'

Mainan lori simen itu adalah sumber kepada perasaan beragama yang telah meresap masuk ke dalam hidup dewasa saya. Soalan, yang saya (sedihnya) tidak berani tanya, adalah apa yang abah ingin buat dengan Pari-Pari Gigi andai kata dia berjaya menangkap makhluk tersebut. Kemungkinan, bagaimanapun, punca lain kepada kesedihan yang saya sedari, pada takah tertentu, bahawa ibubapa saya, ketika mereka melihat saya sedang cuba merancang skema untuk melihat putaran dram bancuhan, secara menyeluruh silap tentang apa yang mereka lihat—yang mana dunia yang mereka lihat dan berasa sengsara adalah berbeza dengan dunia kanak-kanak yang saya tinggal. Saya menangis untuk mereka melebihi apa yang kami bertiga tahu pada ketika itu.

Saya, sudah tentu, tidak pernah 'tangkap' dram lori simen itu sedang berputar. (Kerangka dan sisi lori simen itu dicat dengan warna jingga terang seperti kenderaan kerja-binaan sebenar; dram itu dicat berbelang dengan warna jingga dan hijau gelap, dan saya kerap membayangkan putaran hipnotik belang-belang itu tatkala dram itu sedang berputar tanpa saya sedari. Saya patut beritahu tentang ini lebih awal, baru saya sedar.) Saya tarik lori simen itu ke sekeliling begitu banyak membuatkan ibu, selepas berputus asa mencuba dengan perasaan bersalah untuk mengalihkan pandangan saya kepada mainan lain, menghantar saya ke ruang bawah tanah dengan lori simen itu supaya rodanya tidak akan menipiskan lagi permaidani ruang tamu kami. Saya tidak pernah menemui cara untuk melihat putaran dram tanpa menghentikan putaran tersebut. Tidak pernah sekali pun terlintas di fikiran bahawa ibubapa saya hanya bermain-main. Mahu pun ia mengganggu saya yang dram berbelang itu telah digam atau dipaku kepada kerangka jingga lori simen dan tidak boleh berputar (mahu pun bergerak) dengan tangan. Itulah kuasa perkataan bernama 'magik.' Kuasa yang sama menjamin kenapa ‘bisikan’ yang saya dengar ketika kecil tidak merisaukan saya atau menyebabkan saya takut bahawa sesuatu tidak betul dengan diri saya. Dan, malah, putaran bebas daripada sesusatu yang tidak berkuasa dan terlekat dengan kuat bukan 'magik' yang menarik perhatian saya. Magiknya ia tahu untuk berhenti saat saya cuba untuk melihat ia. Magiknya adalah bagaimana ia tidak boleh, tidak pernah sekali, ditangkap atau diakali. Meski pun obsesi saya dengan mainan lori simen itu tamat menjelang hari Natal tahun depan, saya tidak pernah melupakan ia, atau perasaan di dalam dada dan bahagian tengah tubuh bila-bila atau sekali lagi, malah penglibatan dan percubaan untuk menangkap mainan magik itu bertemu dengan kegagalan—satu campuran kekecewaan hancur dan kegembiraan suci. Ini adalah tahun, pada usia lima atau enam, saya pelajari makna 'suci.' yang, seperti saya fahami, adalah sikap alami yang diambil daripada magik, fenomena yang tidak dapat disahkan, sama seperti 'hormat' dan 'taat' menjelaskan sikap yang seseorang ambil terhadap fenomena fizikal yang boleh dilihat, seperti graviti atau duit.

Antara kualiti yang membuatkan ibubapa saya melihat saya sebagai esentrik dan misterius adalah agama, untuk, tanpa apa-apa dorongan atau malah pemahaman, saya adalah anak yang beragama—bermaksud saya berminat dengan agama dan terisi dengan perasaan dan kerisauan yang kita guna perkataan 'agama' untuk gambarkan. (Saya tidak meletakkan semua ini dengan baik. Saya bukan dan tidak akan menjadi seorang intelektual. Saya tidak persis, dan subjek yang saya ingin sampaikan dan bincang melangkaui kebolehan saya. Saya sedang mencuba, walau bagaimanapun, sebaik mungkin, dan akan kembali ke sini bila-bila saya boleh menjumpai jalan untuk menerangkan apa yang saya bincang secara lebih jelas atau lebih menarik tanpa mereka-reka.) Ibubapa saya adalah intelektual dan ateis tegar, tetapi mereka bertoleransi dan berjiwa besar, dan apabila saya mula bertanya tentang soalan-soalan 'agama' dan meluahkan minat terhadap tema-tema 'agama' mereka secara bebas membenarkan saya mencari manusia-manusia beragama dengan siapa saya boleh membincangkan tentang hal tersebut, dan malah menghadiri pagi Ahad di gereja dan Bersama dengan keluarga kanak-kanak lain dari sekolah dan kawasan kejiranan kami yang beragama. Jika kamu mempertimbangkan makna biasa 'ateisme,' yang mana, seperti saya fahami, adalah seperti agama yang anti-agama, yang memuja sebab, skeptikal, intelek, bukti empirikal, anatomi manusia, dan menentukan nasib sendiri, toleransi ibubapa saya terhadap minat agama saya dan kehadiran tetap pagi Ahad dengan keluarga jiran sebelah (pada ketika abah belum mendapat perlantikan tetap, dan kami punya rumah di kawasan kejiranan kelas-menengah dengan sekolah dengan keputusan cemerlang) adalah luar biasa—tanpa sebarang penilaian, penuh rasa hormat bahawa agama itu sendiri (seperti saya lihat) cuba untuk meramaikan umatnya.

Perkara ini tidak datang kepada saya pada ketika itu; mahu pun hubungan di antara perasaan saya kepada 'magik' mainan lori simen dan, kemudian, minat mendalam dan suci saya kepada 'magik' agama menjadi jelas kepada saya sehingga setahun kemudian, apabila saya berada di tahun kedua seminari, ketika saya mengalami krisis pendewasaan pertama tentang keyakinan. Kebanyakan hubungan yang kuat dan penting dalam hidup kita adalah (pada ketika itu) halimunan kepada kita tetapi kelihatan kepada saya satu bentuk hujah menarik terhadap kesucian agama dan bukannya empirisisme skeptikal sebagai tindak balas terhadap makna kehidupan. Adalah sukar untuk berada di atas 'landasan' perasaan mengenai perbincangan ini dalam tertib, yang logikal. Antara orang dewasa ibubapa saya benarkan untuk saya bertemu dengan soalan-soalan dan masalah-masalah agama termasuk guru, seorang profesor agama yang mana abah kenal dan hormat dari jawatankuasa antara jabatan universiti di mana mereka bekerja bersama, dan bapa dan ibu keluarga rumah sebelah, yang kedua-duanya paderi (sejenis elit yang diletakkan menteri) di gereja dua blok dari rumah kami. Saya akan melepaskan deskripsi tentang masalah, persoalan, dan tema yang ibubapa saya benarkan untuk berbincang dengan manusia dewasa beragama tadi; mereka sepenuhnya bukan luar biasa dan sejagat dan biasa, jenis soalan-soalan yang setiap orang akan akhirnya bertemu dalam masa yang tersendiri dan dengan cara yang tersendiri.

Sogokan minat beragama saya ada kaitan dengan kekerapan dan tempoh matang ‘bisikan’ yang saya kerap dengar sewaktu saya kecil (bermaksud hingga usia tiga belas tahun, seperti yang saya ingat). Sebab utama kenapa saya tidak pernah terkejut mendengar bisikan itu atau risau tentang apa 'mendengar bisikan' menunjukkan ia ada kena-mengena dengan kesihatan mental kerana ‘bisikan’ ketika saya kecil dahulu (terdapat dua bisikan berlainan, masing-masing dengan nada dan keperibadian berbeza) tidak pernah bercakap mengenai apa-apa yang tidak bagus, gembira dan meyakinkan. Saya hanya akan sebut tentang bisikan ini sekali lalu, kerana kedua-dua mereka tidak secara terus penting kepada hal ini dan juga amat sukar untuk menggambarkan atau menerangkan dengan jelas kepada orang lain. Saya harus tekankan bahawa, meski pun 'buat-buat' dan 'kawan halimunan' menjadi kebiasaan sebahagian hidup kanak-kanak, bisikan ini telah—atau kedengaran kepada saya sebagai—sesuatu yang benar dan fenomena berautonomi, tidak seperti bisikan 'benar' orang dewasa dalam pengalaman saya, dan dengan adab percakapan dan loghat yang tiada dalam pengalaman waktu kecil saya telah mendedahkan saya atau mempersediakan saya dalam apa cara sekali pun untuk 'buat-buat' atau gabung dan sumber-sumber luar. (Saya sedar sekejap tadi bahawa sebab lain kenapa saya tidak mahu berbincang tentang ‘bisikan’ panjang lebar adalah kerana saya cenderung gagal untuk berhujah yang bisikan itu 'benar,' bila mana ia adalah sikap acuh tidak acuh kepada saya samada mereka benar-benar 'benar' atau tidak atau samada orang lain boleh dipaksa untuk mengaku bahawa ia bukan 'halusinasi' atau 'fantasi.' Semestinya, topik kegemaran salah satu bisikan termasuk memastikan saya bahawa hal itu bukan sesuatu yang penting samada saya percaya mereka 'benar' atau sekadar sebahagian daripada diri sendiri, sejak—seperti salah satu bisikan suka tekankan—tiada perkara di dalam dunia yang 'benar' selain saya. Perlu saya akui kadang-kala saya beranggapan—atau 'mengharapkan'—bisikan itu seperti set ibubapa yang lagi satu (bermaksud, saya fikir, yang saya sayangkan mereka dan percayakan mereka dan masih hormat atau mereka ini 'suci': pendek kata, saya tidak sepadan dengan mereka), dan masih selaku kanak-kanak: bermaksud yang saya tiada rasa sangsi bahawa mereka dan saya tinggal di dalam dunia yang sama dan bahawa mereka 'memahami' saya dalam cara seperti orang dewasa kandung tidak dapat lakukan.) (Mungkin satu sebab kenapa saya gagal untuk 'berhujah dengan' bisikan 'realiti' adalah kerana ibubapa 'benar' saya, meski pun mereka sepenuhnya bertoleransi dengan kepercayaan saya terhadap bisikan, dengan nyata melihat mereka sama seperti fantasi berupa 'kawan halimunan' yang saya sebutkan di atas.)

Apa pun, analogi terbaik untuk pengalaman mendengar 'bisikan' kanak-kanak saya adalah ia seperti berjalan-jalan dengan tukang urut peribadi, yang menghabiskan masanya memberikan kamu urut—di belakang—dan bahu (yang mana ibu kandung saya kerap lakukan setiap kali saya sakit terlentang di atas katil, menggunakan minyak urut dan bedak bayi dan juga menukarkan sarung bantal, supaya ia bersih dan sejuk; pengalaman mendengar bisikan boleh dianalogikan dengan perasaan ketika bantal ditukarkan ke bahagian yang lebih sejuk). Kadang-kala pengalaman mendengar bisikan amat menggembirakan, kadang-kala begitu banyak ia hampir terlalu menakjubkan buat saya—seperti pertama kali kamu gigit sebiji buah epal atau aiskrim yang rasanya amat lazat dan menyebabkan jus meletus di dalam mulut sehingga tiba momen yang amat menyakitkan terasa di dalam mulut dan kelenjar—terutamanya di lewat petang musim bunga dan musim panas, bila cahaya matari di siang hari berada di mana-mana dan bertukar menjadi emas dan adalah dirinya (cahaya itu, seperti jika ia dimakan) sungguh lazat sehingga ia terlalu banyak tidak tertahan, dan saya akan berbaring di atas timbunan bantal-bantal besar di ruang tamu kami dan berguling ke depan dan ke belakang di dalam kesengsaraan nikmat dan saya beritahu ibu, yang sedang membaca di sofa, yang saya berasa sungguh seronok dan penuh dan amat gembira yang saya tidak mampu menanggung ia, dan saya masih ingat dia menguncikan bibirnya, menahan untuk gelak, dan berkata dengan suara yang paling hambar bahawa dia berasa sukar untuk berasa simpati atau risau terhadap masalah ini dan yakin bahawa saya mampu selamat dengan takah kegembiraan ini, dan saya tidak perlu digegaskan ke wad kecemasan, dan pada momen itu rasa kasih dan sayang kepada jenaka kering dan rasa sayang ibu menjadi, bertimbun menimpa kegembiraan asal tadi, menjadi hebat hingga saya terpaksa menahan jeritan kegembiraan tatkala saya berguling di antara bantal-bantal dan buku-buku di atas lantai. Saya tiada idea ibu—seorang luar biasa, wanita yang penyayang—diperbuat daripada apa mempunyai seorang anak yang kadang-kala sengsara kelebihan rasa gembira; dan saya tidak tahu samada dia juga merasa perasaan yang sama. Apa pun, pengalaman benar 'bisikan' tetapi tidak terlihat dan diterangkan dan perasaan kegembiraan ia kerap menyumbang kepada rasa hormat kepada magik dan kepercayaan saya bahawa magik tidak hanya berlaku di dunia setiap hari tetapi ia juga berlaku dengan cara yang nyaman dan altruistik dan mengucapkan saya selamat. Saya bukan jenis budak yang percaya kepada 'raksasa di bawah katil' atau pontianak, atau seseorang yang perlukan lampu di waktu malam ketika tidur; sebaliknya, abah (yang secara nyata 'suka' saya dan kelainan saya) pernah sekali ketawa memberitahu ibu bahawa dia merasakan saya mengalami sejenis psikosis tidak berbahaya yang dipanggil 'antiparanoia,' yang mana membuatkan saya percaya bahawa saya adalah objek utama sebuah konspirasi kompleks dunia untuk membuatkan saya gembira sehingga tidak tertahan.

Punca spesifik yang dikenal pasti sebagai punca minat saya terhadap agama selepas minat kepada lori simen berlalu (membuatkan ibubapa saya senang hati) melibatkan sebuah filem perang tahun sembilan belas lima puluhan yang abah dan saya tonton bersama di kaca tivi di satu petang Ahad dengan langsir tertutup menghalang cahaya matari daripada membuatkan tivi hitam-dan-putih kami sukar ditonton. Menonton tivi bersama adalah salah satu aktiviti kegemaran abah dan saya (ibu benci tivi), dan kebiasaannya berlaku di atas sofa, dengan abah, yang membaca ketika iklan, duduk di hujung dan saya sedang berbaring, dengan kepala saya berbantalkan lutut abah. (Salah satu memori ingatan saya yang paling kuat ketika kecil adalah perasaan ketika lutut abah bertemu kepala saya dan saat dia bergurau meletakkan bukunya ke atas kepala saya ketika iklan ke udara.) Subjek filem yang menjadi persoalan adalah tentang Perang Dunia Pertama dan ia dibintangi seorang pelakon yang kerap dipuji untuk watak-wataknya dalam filem perang. Pada ketika ini memori saya mencapah daripada abah, sebagai bukti dengan gangguan perbualan yang kami alami ketika tahun kedua di seminari. Abah tiba-tiba teringat watak wira filem tersebut, seorang leftenan yang disayangi, mati apabila dia mencampakkan tubuhnya ke bom tangan musuh yang telah dicampak ke dalam parit platunnya ('platun' bermaksud sekumpulan askar infantri menjadi rakan-rakan seperjuangan tetap bersenjata). Menurut abah, sebuah platun kebiasaannya diketuai oleh seorang leftenan. Sebaliknya yang saya ingat wira tersebut, yang dimainkan oleh seorang pelakon yang terkenal dengan paparan konflik dan trauma, sengsara dengan kesedihan peribadi mengenai persoalan moral mengenai pembunuhan di dalam perang dan seluruh konundrum agama 'cuma perang' dan 'kematian bersebab,' dan akhirnya melalui keruntuhan psikologi sepenuhnya apabila askar-askarnya berjaya mencampak masuk sebutir bom tangan ke dalam parit musuh dan menjerit meloncat keluar (wira itu lakukan, agak awal di permulaan filem) masuk ke dalam parit musuh dan jatuh ke atas bom tangan tadi dan mati cuba menyelamatkan platun musuh, dan ia berlangsung sepanjang filem (meski pun kerap diganggu iklan ketika saya tonton) tentang perjuangan platun wira tadi untuk memahami tindakan bekas leftenan kesayangan mereka, dengan kebanyakan mereka menganggap dia sebagai pengkhianat, banyak juga yang lain merasakan keletihan berperang dan surat traumatik dari 'Stateside' yang diterima awal di dalam filem menyebabkan tindak-tanduknya di ambang kegilaan sementara, dan hanya seorang pemalu, rekrut idealistik (dimainkan oleh seorang pelakon yang saya tidak pernah lihat dalam filem-filem lain era itu) secara rahsia percaya bahawa tindakan leftenan itu membunuh diri demi musuh sebenarnya bersifat keperwiraan dan layak untuk direkodkan dan didramakan bagi generasi akan datang (si pemalu, rekrut tidak bernama itu menjadi narator, dalam 'janaan-suara' pada permulaan dan akhir filem), dan saya tidak pernah lupa filem itu (yang mana tajuknya kedua abah dan saya terlepas kerana kami tidak buka tivi awal, yang tidak sama dengan 'terlupa' tajuk, yang abah secara berjenaka merasakan apa yang kami telah lakukan) atau impak tindakan leftenan, yang saya, juga (seperti si pemalu, narator idealistik), menganggap bukan sahaja bersifat 'keperwiraan' tetapi juga indah dalam cara yang mana ia terlalu hebat ditangani, terutamanya ketika saya sedang berbaring di atas lutut abah.


David Foster Wallace
All That
terjemahan Ridhwan Saidi