Tahun 2011 adalah tahun di mana saya telah banyak menghabiskan masa menulis novel, atau secara segarnya menjadi seorang penulis novel, satu idea yang tak pernah terlintas di dalam kepala saya sewaktu saya ditanya untuk menjadi apa oleh guru sewaktu di sekolah rendah.
Ingat lagi saya genap setahun yang lalu, di hadapan laptop yang sama, di dalam bilik yang sama, dan di dalam tubuh yang sama, saya sedang terkial-kial menaip dan tersekat di muka surat pertama. Apa yang perlu saya buat? apa kebendanya benda alah novel ini? saya tiada idea, bukan idea untuk menulis apa, tapi apa betul ke tindakan saya itu? berbakatkah saya berkat tiga tahun berblog? ia mustahil, tetapi saya teruskan juga dengan harapan satu masa nanti saya tahu novel itu apa. Buat masa sekarang, bagi saya, novel itu suatu sesuatu dengan enam puluh ribu patah perkataan dan objektif utama saya hanya satu, cecah enam puluh ribu patah dan kemudian kumpulkan kelima-lima jenis bintang di Goodreads.
Kini di dalam tahun yang sama, novel ketiga saya hampir siap. Tak sangka pula saya seagresif itu. Dalam celah-celah masa saya menyibuk ke sana sini bersastra picisan dan berpulp tinggi, secara tak sengaja saya telah menghasilkan tiga buah filem pendek: Arked dan Kretek, Broga Rendezvous, dan Kasturi (tak termasuk Sunat the Musical dan Matari Miami). Saya yang cenderung untuk tidak suka hasil kerja sendiri, jadi syok sendiri lepas beberapa ketika khayal melayan prosa. Mungkin kerana terlalu jenuh merenung tulisan, serta-merta apa-apa visual yang melayang di depan mata, menjadi satu kekaguman (atau mungkin berkat saya pandai pilih filem apa yang mahu saya tonton; filem apa yang saya tonton, biarlah rahsia).
Ke depan ke depan ke depan, saya bermasalah dengan Kasturi bukan kerana ia tak mampu menampung visi saya meski pun berdana, melebihi itu, saya tidak senang kerana sangsi apakah tujuan utama filem pendek itu wujud, apa kebendanya eksperimen-separa yang cuba ia lakukan? berbulan-bulan saya tidak senang dari abjad pertama yang turun ke dalam skrip, dari garis pertama lakaran papan cerita, kepada saat saya hantar ia ke Finas. Saya menulis menulis dan menulis sehinggalah saya penat, dan pada ketika itu, apabila saya fikirkan kembali Kasturi saya yang tidak lengkap itu, apabila saya lihat kembali dari mula sampai akhir, saya dapati, saya dah dapat!
Kenapa teknik quasi-hologram itu diaplikasikan? apa yang cuba saya sampaikan? ianya tentang apa? semuanya terjawab tetapi bak pesan salah seorang guru saya, tak perlu beritahu dulu, tayang pun belum lagi ha ha ha.
Jadi ya saya sunting kembali Kasturi supaya kena dan padat berdiri sebagai sebuah filem pendek yang molek, sebuah filem pendek yang kenal erti kewujudannya, sesuatu yang membuatkan saya selaku seorang novelis-separa yang duk menyibuk bikin filem (atau sebaliknya) tenang. Dan momen ketenangan ini merupakan detik-detik pasca-kusut yang memberikan jutaan inspirasi, sesuatu yang kalau saya dapat genggam, sebuah novel boleh terhasil dalam sekelip mata, cewah!
Ridhwan Saidi
P/s: Entri asal telah dipadam, bermakna ini adalah entri gantian.