Sementara menunggu ibu kami menjalani pembedahan kecil (pada jari) di Subang Jaya Medical Centre. Aku dan adik menapak keluar cari makan tengahari (di dalam, kami tiada selera makan berhawakan bau ubat-ubatan.) Tidak jauh dari situ kelihatan sederet barisan rumah kedai. Kami berjalan di kaki lima sambil telan air liur. Jam menunjukkan pukul 2 pm. Ruang di kawasan ini bersih. Ini tentu ada hubungan terus dengan keberadaan SJMC. Malah kedai mamak di sini amat bersih, ruang interior-nya tak ubah seperti sebuah klinik; sungguh! Kami menggelarnya 'mamak klinik'. Ingin saja kami cuba Maggi goreng di situ, tetapi memandangkan kami masih banyak masa, kami terus mencari.
Hampir di hujung bangunan, terdapat sebuah kafe bernama Bawang Merah. Ianya tersepit di antara sebuah kedai pizza dan farmasi (yang semangatnya seperti kedai runcit). Terdapat satu daya yang menarik kami ke situ - tempat ini ada class. Kesemua meja diduduki, tidak kurang ramai berkongsi meja. Tanpa membuang masa kami masuk ke dalam.
Ruangnya terbahagi sama rata al fresco dan indoor. Walaupun belum cedok lauk, kami suka ruang itu - ada warmth. Kami minta nasi putih, asam pedas (ikan tenggiri) kuah lebih, bok choy, tahu kicap dan segelas air suam. Sementara menunggu air, adik ke rak kuih-muih. Adik ambil tiga biji buah Melaka.
Susunatur ruang di Bawang Merah ini cukup organik - manusia berinteraksi (ingin berkongsi meja, di laluan yang sempit, di pintu yang satu - paling kurang kami bertukar-tukar senyuman.) Terdapat pelbagai lapisan spektrum masyarakat di dalam kafe kecil ini. Bukan kuantiti dan bilangan kepelbagaian kaum, gender, umur atau warna kulit yang menjadi kayu ukur; lebih penting, kami rasa selesa.
Selesa, selesa juga. Perut yang lapar perlu diisi. Dimulai dengan isi ikan tenggiri, jus laut yang meresap ke dalam lidah dan tekak membuatkan aku tersenyum seorang diri. Adik turut serta. Kini sensasi asam pedas itu menjadi nikmat masing-masing. Mungkin agak cheesy untuk claim itulah asam pedas terbaik di Lembah Klang, tetapi bagi aku itulah asam pedas terbaik dunia.
Walaupun aku anak kelahiran Selangor, aku gemar makan asam pedas. Jika turun ke Selatan, aku pasti singgah di mana-mana (terutama di Bukit Katil, Melaka) untuk makan asam pedas. Ibuku orang Muar juga kadang-kala masak asam pedas (ikan pari), tetapi selalunya sensasi kepedasannya yang menyerlah - rasa lautnya kurang (keluarga kami lebih agragrian daripada maritim). Di Bawang Merah, ianya enak sekali. Kami tidaklah kekenyangan, tidak juga kelaparan. Proporsinya cukup-cukup.
Dengan buah Melaka sebagai penutup sajian, sensasi gula Melaka meletus di dalam mulut seperti Choclairs. Kulitnya lembut dan nipis, kelapanya lemak, isinya generous. Oleh kerana terlalu seronok, aku hampir terlupa bayar ketika hendak keluar. Mujur adik ingatkan. Semuanya RM13.
Ridhwan Saidi
Ridhwan Saidi
P/s: Ditulis untuk Selangorlicious: klik!