Khamis, Mei 05, 2011

(Th)eru Part Deux

"SERU memenuhi tuntutan sebuah filem slasher, so what?"
Saya tulis pasal SERU ni lagi, tanpa disedari mungkin akan membuatkan lagi ramai orang nak ke panggung. Tapi takpe, kena tulis juga pasal nak respon apa yang Fadz tulis.

Bila Fadz kata sistem bunyi panggung suck (tontonan kedua). Saya boleh relate dengan itu, sebab ya memang pengalaman menonton saya lebih kurang sama. Bunyinya 2 dimensi datang dari arah depan. Dan satu lagi hal yang membuatkan pengalaman menonton saya kurang kick, hampir semua penonton bersifat pesimis tak bertindakbalas. Malah mereka bersuara menyoal dan mengeluh, "Apa kebenda ni? Kenapa dia tak lari?" dan seumpamanya. Tapi saya tak ambil pot sangat apa reaksi orang ataupun kualiti sistem bunyi panggung yang kurang menyengat itu. Sebab sejujurnya ia boleh jadi best, kalau filem itu benar-benar best.

Fadz juga ada mengatakan bahawa filem ini menarik kerana menggunakan undang-undang filem seram – slasher yang betul. Memang betul kalau nak dibandingkan dengan filem-filem seram tempatan sebelum ini, memang bangang perlaksanaan dan kepatuhan ia pada nikmat seram itu sendiri. Filem SERU ini tentunya lebih baik dan ternyata merupakan antara filem seram terbaik tempatan. Tetapi kalau kita kembali kepada sense, cuba kita tanya diri kita kembali. Apalah sangat undang-undang filem slasher? Apa yang komplikatednya dengan subgenre slasher ini? Di tempat yang terasing, sekumpulan manusia cun dan jambu (rugi takde awek sweet bertudung,) gelabah – sorang mati, gelabah – sorang mati, gelabah – sorang mati dan seterusnya sampai tinggal sorang; akhir sekali ada twist sikit. Ianya bukan susah sampai perlu berfalsafah pun.

Maka dengan itu saya tak rasa kita patut jadikan filem-filem seram tempatan yang lemah sebagai kayu ukur. Kalau saya lihat begitu, sudah tentu saya akan puji filem ini lebih-lebih. Buat apa saya bandingkan filem ini dengan PENUNGGU ISTANA atau SENJAKALA atau DILARANG MASUK? Sewaktu saya tonton filem ini (dengan Fadz mengatakan ia true horror) heck, saya menjadikan CANNIBAL HOLOCAUST sebagai kayu ukur. Betapa malangnya nasib saya. Selepas menonton SERU semestinya saya perlu lupakan hal ini 'atas sebab-sebab tertentu.'

Saya juga turut bersetuju dengan TMBF di mana filem ini sedikit inovatif daripada kebanyakan filem tempatan. Tetapi inovasi itu saya lihat hanya pada permukaannya sahaja. (Di dunia serba konsumer kita ini, semestinya packaging-nya kena menarik, supaya orang tertarik lalu beli.) Ia menarik dengan teknik shaky-cam-nya. Tetapi serius di sebalik teknik shaky-cam ini, yang saya jumpa adalah elemen-elemen filem seram tipikal tempatan yang lain. Saya jumpa kebingitan dan kegelabahan I KNOW WHAT YOU DID LAST RAYA, atau sewaktu momen anak orang asli itu dibangkitkan, tak ubah macam babak filem-filem seram Ahmad Idham.

Tetapi yang lebih penting, ia bukan soal originality pun. Debaran takut-takut dan seram-seram dan bunuh-bunuh dan darah-darah dalam filem ini tak berkesan buat diri saya. Saya juga tak benci filem ini, ia lebih seperti menghirup sup yang tawar. Takde rasa. Nak kupas filem ini meraikan dan memenangkan semangat kesetanan pun takde mood. Atau orang asli sebagai semangat setempat yang jahat membunuh anak-anak muda glokal kita ini pun sama. Tiada daya yang merangsang untuk saya kerjakan filem ini cukup-cukup. Saya cuma larat menghuraikan kenapa saya rasa filem ini tak best buat saya atau filem ini sebenarnya 'biasa' secara jamaknya. Ianya filem yang bosan, membuatkan saya hampir tertidur.

40/100 adalah markah yang tepat bagi SERU. Saya hanya beri lima jenis markah bulat (walaupun per seratus; pasal malas nak bersemangat sangat dengan filem-filem ni) iaitu 10, 40, 60, 80 dan 90. Saya namakan ia sistem 5B.

10/100 untuk filem-filem Bangang.
40/100 untuk filem-filem Belia/Biasa.
60/100 untuk filem-filem Baik.
80/100 untuk filem-filem Bagus.
90/100 untuk filem-filem Binfilem.

Saya tak boleh beri 60/100 pasal GREAT DAY dan ANU DALAM BOTOL berada di situ. Kedua-dua filem ini berjaya menyentuh hati atau perasaan atau akal atau detak atau sanubari (tak kisah apa orang nak panggil) saya. Ia berjaya membuatkan saya sekurang-kurangnya ada usaha untuk berubah menjadi manusia yang lebih baik. Debaran-debaran SERU tidak nyata, jadi ya, ia tak beri kesan apa-apa. Saya pun dah lupa filem tu pasal apa, hanya beberapa 'imej' yang melekat dalam kepala dan untuk ini saya berterima kasih.

Fadz juga ada mengatakan di ruangan komen TMBF bahawa 'poin filem ini dibuat khusus untuk peminatnya' menarik. Saya pula selaku seorang yang tak mengaku blogger, merasakan perkara ini tak menarik. Bagi mereka yang menulis di arus perdana macam surat khabar atau laman web popular, mungkin ya si pengulasnya perlu memikirkan hal ini. Cuma saya di sini menulis di blog. Blog adalah sebahagian daripada budaya open-source. Ianya adalah kolektif suara-suara peribadi yang terpinggir. Saya tak perlu menulis on behalf of these fans. Saya menulis untuk diri saya. Saya ada pendapat saya, Fadz ada pendapat dia, TMBF pun ada pendapat dia. Pendapat-pendapat ini kita gunakan sebagai input awal, lepas tu kita pergi tonton SERU – lepas tu kita sendiri keluarkan pendapat sendiri. Itu pentingnya budaya pasca-moden yang kita sedang alami sekarang. Pembaca blog tak sepatutnya subscribe pada pendapat para blogger. Jika ini berlaku ia tak ubah seperti kita membaca surat khabar parti-parti politik yang bias. Seorang blogger perlu telus. Seorang pembaca blog juga perlu telus.

Mengenai filem SERU ini yang pening rasa macam nak muntah. Serius, pembikin dan produser perlu fikirkan hal ini. Ini bukan masalah shaky-cam, atau genre found-footage. Malah garapan filem ini pun sebenarnya ok, bukannya seratus peratus bergegar, ada juga momen-momen yang statik. Masalahnya saya rasa berpunca dari permainan depth of field lensa, atau bokeh, atau circle of confusion, atau kekaburan itu yang begitu ketara tahap lensa d-slr. Teknik ini hanya berkesan kalau imej itu tidak bergegar, sebab bila ia bergegar kita mula rasa loya gila. Saya tonton ENTER THE VOID yang berdurasi dekat 3 jam itu tak pula rasa loya (tapi pening-pening lalat tu ada.)

Untuk menutup entri ini, saya sertakan sebuah iklan a la verite yang saya lebih gemar (walaupun iklan!) Manusia-manusia di sini lebih cool dan tak terlalu berusaha untuk berlakon. Suntingan awalnya tak mengada-ngada, gerakan kameranya tak mengada-ngada, budak di awal pembukaan pun tak mengada-ngada. Malah mereka hanya gelabah apabila alien itu menjerit memberikan tanda bahaya. Walaupun ia dilaksanakan secara komedi, ianya berkesan, ingat tu, berkesan!



Ridhwan Saidi