Selasa, Mei 10, 2011

Satay Kuang Mahadi

Mat, Wak dan Minah duduk semeja. Di meja sebelah, satay aku tiba. Boy remaja berkacamata yang menghantar makanan mengucapkan, “Selamat makan bang!”

Aku pesan enam cucuk satay. Dua ayam, dua kambing, satu daging (lembu) dan satu perut (babat). Kuah kacangnya kelihatan cair. Aku cuba satay kambing memandang ia yang termahal (80 sen secucuk.) Sensasi dagingnya jelas berjus. Kuahnya walau tidak sepekat kuah kacang (dan sambal) satay Kajang (Samuri) tetapi masih ada rasa. Seterusnya satay ayam yang sedikit keras dan biasa, tiada apa yang istimewa (biasanya aku minat ayam.) Kemudian aku cuba perut/babat pula. Aku tiada idea apa rasanya, sengaja cuba. Teksturnya kenyal seperti mengunyah sotong, tetapi sensasinya hambar. Terakhir sekali daging (lembu) yang rasanya hampir menyerupai kambing. Ia berjus dan mengasyikkan jika kena pada yang lembut. Tapi kadang-kala ada bahagian yang liat – potong stim.

Kedai ini terletak di hadapan Lorong Manggis, bertentangan Lorong Kemuning. Rimbun Dahan terletak 2 minit dari sini. Atmosferanya tipikal tempat makan kampung di tepi jalan. Selain Melayu Jawa yang menduduki kawasan Kuang, terdapat juga keluarga India yang beli bungkus. Mereka tinggal di kawasan estet tidak jauh dari situ. Kelapa sawit merata-rata. Rumah estet mereka ini bukan calang-calang, ianya lapang dan lebih cantik daripada rumah-rumah semi-detached taman perumahan. Aku arkitek, aku tahu ini.

Selain keluarga Melayu dan India, belum nampak batang hidung yang lain. Terdapat sebuah perkampungan Orang Asli di pedalaman Kuang. Aku pernah mandi sungai di situ. Aku tidak pasti jika mereka juga akan makan satay di sini. Mungkin masih awal, jam menunjukkan pukul 6:30 PM. Selepas senja baru kedai ini hidup barangkali. Tidak jauh dari sini, terdapat sebuah lagi kedai satay yang lebih pop – Satay Sri Subang. Di situ mereka turut menjual nasi lemak bungkus daun pisang yang sedap dan comel serta jeli kelapa yang sejuk dan lazat. Walaupun rasa daging satay-nya kurang nyata berbanding di sini. Tetapi makanan sampingannya menarik.

Di meja sebelah, Minah membelanja Mat dan Wak makan. Wak saudara Minah dari Indonesia. Mereka sedang menunggu Wahyudi, anak sulung Minah. Seraya itu Boy menghidangkan mereka satay.

“Wahyudi kat bandar, sekarang ni yang menjadi kesayangan yang ni ha,” kata Minah.

Boy salam dan cium tangan Wak dan Mat. Mahadi bos kedai satay ini bersaudara dengan Minah. Aku tidak pasti apa hubungan mereka tetapi hampir semua yang keluar dari Lorong Manggis ditegur. Boleh jadi Lorong Manggis ini tanah pusaka milik generasi keluarga mereka. Kerana memang menjadi kebiasaan di lorong yang terdalam dibinakan rumah untuk mereka yang baru mendirikan rumahtangga.

Menurut Minah, hanya teman-teman sekolahnya sahaja yang tahu nama Wahyudi. Selepas ke bandar, dia dikenali dengan nama lain. Mat yang menemani Minah agar mereka tak dipandang serong diam hisap rokok. Mereka kemudian disertai seorang anak muda bernama Adik yang menaiki motosikal RX-Z. Minah menceritakan kepada Wak bahawa Adik juga nanti akan jadi seperti abangnya bekerja di bandar. Adik bangkit bermain dengan Boy.

Selesai makan dan minum segelas ais sejuk. Semuanya RM4.40. Azan Maghrib berkumandang terang. Langit gelap. Aku pulang. Mat, Wak dan Minah masih menunggu Wahyudi.


Ridhwan Saidi
P/s: Ditulis untuk Selangorlicious. Klik!
P/s/s: Terletak di daerah Gombak, bukan Selayang.