Rabu, April 13, 2011

Mencari Penulis Cerpen-2 Antiadat

Cerpen-2 Antiadat ialah projek yang terinspirasi daripada gerakan Dogme 95 oleh Lars von Trier dan rakan-rakan. Bukan bikin filem, Cerpen-2 Antiadat ialah projek himpunan cerpen bilingual (Melayu dan Inggeris) dengan beberapa syarat:

1) Penulis tidak akan dikredit. Macam kata Barthes, “pengarang dah mati.” Lagi pun kebiasaannya di negara ini, penjenamaan nama pengarang dan bukannya kualiti teks tersebut yang menjadi kayu ukur. Tiada nama akan dipaparkan termasuk penyunting, kecuali nama watak dalam cerpen. Maka dengan itu anda semua boleh turut serta – yang tua yang muda yang baru yang lama yang kiri yang kanan yang atas yang bawah. Malah tiada prakata, pascakata, pendekata, sinopsis belakang digunakan. Isi samizdat ini ibarat daging burger yang belum dibubuh sos. 100 peratus daging segar!

2) Teks-teks pro status quo tidak akan diterima. Oleh kerana sifat samizdat ini yang ‘jarang-jarang’ dan ‘kadang-kadang’, tulisan-tulisan bermoral atau dengan niat memberi mesej diharamkan. Dalam erti kata lain hanya penulisan jahat, songsang, gelap dan basah (dalam erti kata sebenar) dibenarkan. Fikir Pasolini, Jodorowski, Ryu Murakami, dan dan dan. Kami tak mahu Tarantino, Tarantino tak cukup ganas.

3) Jumlah perkataan minima 900 - maksima 1800 patah.


Cerpen-2 Antiadat akan diterbitkan pada tahun 2012. Jumlah muka surat akan dibahagikan sama rata 50/50 untuk teks bahasa Melayu dan Inggeris. Jika teks anda terpilih, anda mungkin akan disuruh untuk menghasilkan sebuah lagi teks dalam bahasa yang lagi satu (Melayu/Inggeris). Boleh jadi cerita yang sama atau berbeza. Tetapi awas, translasi terus diharamkan. Dan akhir sekali jika teks anda terpilih, anda tidak akan dapat apa-apa. Samizdat ini akan dihasilkan dengan keringat mandiri menggunakan kraf-kraf primitif seperti jahitan dan tampalan (rujuk Kitab Bin Filem: Sinema dan Antologi Surat Cinta Kita).

Jika anda telah bersedia untuk menghasilkan penulisan yang penuh babi salai, mojito atau lsd, sila emel teks anda ke: binfilem [at] gmail [dot] com

Tarikh akhir: 30 November 2011.

(Kali ini lebih tegas, hanya yang terbenar akan terpilih. Jika anda ada kenalan-kenalan yang berkebolehan menulis, ajak sekali.)


Ridhwan Saidi