Isnin, April 11, 2011

Angkatan Pembikin Filem Baru!

APFB ini telah dijalankan semalam di Stor DBP. Terdapat dua buah filem pendek, dua drama Melayu dan sebuah drama Korea ditayangkan: Kopitiam Kurang Manis, Sesat, The Frame, Mata Boleh Melihat, dan Zahir Tak Terucap. Tayangan ini merupakan pelengkap kepada tiga buah acara yang telah saya pergi: WAMM, FA dan APFB. Dua yang pertama itu diraikan oleh orang Malaysia (yang cakap omputih) manakala APFB ini oleh orang Melayu. Ini jelas melalui sesi makan satay selepas tayangan dan diskusi. Walaupun saya rasa macam nak mengamuk, tetapi mengenangkan lapan cucuk satay yang telah saya telan. Saya tak jadi nak marah. Saya akan cuba — tulis setenang mungkin.

Daripada kelima-lima buah hasil yang dipersembahkan. The Frame oleh Mislina Mustaffa sangat menggetarkan. Ianya real, mengantoikan betapa pretentious-nya filem-filem lain (termasuk di acara-acara lain). Ia merupakan filem pendek terbaik Malaysia yang pernah saya tonton. Saya tidak pernah merasa sepuas ini. Apa yang membuatkan ianya menarik, filem pendek ini ada groove. Sesuatu yang pembikin kita tiada, hey pemuzik kita pun dua kali lima! Kita dapat lihat skyline imej flat dan langit ini membentuk rahim. Ia mengesahkan kritikan Mislina terhadap wanita yang tak habis-habis dengan masalah 'security'. Ia juga sensual dan dalam masa yang sama terselit unsur humor di dalam suntingannya. Mungkin ada yang beranggapan bahawa The Frame ini terlalu sukar difahami justeru menjauhi khalayak. Saya tak rasa ianya sesuatu yang juling. Jika kita perhatikan, 'filem pendek' sifatnya menjauhi khalayak. Filem panjang atau iklan yang patut mendekati khalayak. Jadi dalam filem pendek kegilaan harus diraikan. Ia boleh pilih untuk berjejak atau menyentuh langit atau kedua-duanya sekali. 

Berjejak di sini dalam ertikata ia perlu politikal – ia perlu bertindakbalas dengan status quo. Bak kata Isham, jika kita tidak pedulikan status quo, bermakna kita telah menyebelahi mereka. Mereka yang bikin filem tentang 'seorang lelaki bertemu seorang perempuan' adalah di antaranya. Atau para pembikin ini boleh pilih untuk sentuh langit, di mana ia bermain dengan keindahan mutlak. Kita abaikan makna sesebuah filem itu, sebaliknya larut di dalam sensualiti yang digerakkan. Jika sisi-sisi politikal itu kehidupan, sisi-sisi sensualiti itu seni. Dan lawaknya, kedua-dua satah dualiti ini terkatup di dalam filem pendek The Frame. Ini entah mengapa membuatkan saya secara peribadi merasakan Mislina lebih berbakat menghasilkan filem daripada berlakon.

Kopitiam Kurang Manis oleh Azri Abu Hassan pula adalah sebuah filem yang literal dan terus. Walaupun gaya kameranya tidak 'drama'. Ia tidak menawarkan apa-apa selain daripada itu. Saya sebagai penonton tidak puas dan tidak tahu mahu bertindak bagaimana. Dengan itu saya tidak tahu mahu tulis apa.

Sesat oleh Aliff Ihsan dan Mata Boleh Melihat oleh Ashroff pula lebih dekat dengan drama tv. Pengalamannya seperti... menonton drama tv—cuma ianya amat celaru dan keliru. Kedua-duanya ingin berdakwah melalui medium filem, tetapi penghayatannya ketara hambar. Malah ada seorang teman yang keluar ketika Mata Boleh Melihat ditayangkan. Katanya, "insulting!" Saya pula sekadar menoleh ke belakang melihat wajah audien dalam gelap. Saya pernah lihat filem yang pecah dan huru-hara tetapi disatukan oleh tauhid. Kedua-dua filem pendek ini walau bagaimanapun sebaliknya. Ianya dakwah literal yang tak berkesan dan membosankan.

Zahir Tak Terucap oleh Maz Irwan pula mengambil semangat drama Korea. Berbeza dengan drama Melayu, drama tipikal Korea ada momen-momen yang sweet. Dan ini digerakkan dengan baik. Masalah rumah tangga diselarikan dengan perlawanan bola sepak. Walaupun masih lagi biasa dan membosankan buat saya, filem ini paling accessible antara semua. Ia paling mendekati khalayak. Suatu ciri yang diperlukan oleh industri perfileman di negara ini.

Selepas kelima-lima tayangan selesai, ia diikuti dengan sesi diskusi – Wahab Hamzah sebagai moderator. Sesi ini sedikit hambar dengan pembikin yang kerap bercakap mengenai benda-benda common sense, walaupun diumpan dengan persoalan-persoalan yang kritikal oleh audien. Apa pun ia merupakan acara yang baik, sesi diskusinya berlangsung selama 1 jam. Tiada yang terhegeh-hegeh ingin cepat balik. Perut pun kenyang makan satay.


Ridhwan Saidi