Sabtu, November 20, 2010

Prejudisinema

Saya bangun pagi, basuh muka, dan kemudian tiba-tiba saya terima jawapan kepada satu persoalan yang tak pernah saya fikirkan. Kenapa kadang-kadang wujud hamba Allah yang melabelkan 'filem seni', 'filem bijak', filem yang 'menggunakan bahasa filem' dan seumpamanya, lalu dengan kadar segera menyatakan dengan penuh kebencian bahawa ia sebenarnya sampah, jamban, syok sendiri, atas alasan tak cukup marhaen untuk difahami. 

Bila difikirkan kembali, kata kunci yang saya perolehi di sini adalah 'kelainan' – the other strange cinema. Ianya sebenarnya adalah satu bentuk ketidakselesaan – insecurities – manusia tersebut terhadap filem-filem yang 'asing' rupabentuknya. Ini secara bawah sedar kembali kepada perilaku natural sang pembuat kenyataan tersebut. 

Manusia ada bermacam-macam rupa dan bentuk, datang dalam pelbagai warna dengan seribu satu bau dan perisa. Ini serupa dengan filem. Bagi mereka yang mengalami masalah mental dengan merasakan hanya 'kelompok yang serupa dengan diri mereka' sahaja yang berkuasa, tidak mustahil mereka juga akan protective dengan territory bentuk filem yang biasa mereka tonton; iaitu secara kebetulan berbentuk 'drama' (atau lebih teruk, drama radio).

Maka dengan itu, sesebuah 'drama' itu seeloknya bersifat menghukum. Ini crucial agar tiada persoalan-persoalan kritikal seperti "So what's the moral of the story?" terlintas di kepala lutut penonton. Penamatnya juga memainkan peranan yang amat besar; dosa pahala sesuatu watak itu wajib dijustifikasi. Sebarang momen atau situasi yang punya kualiti 'sinematik giler' tanpa sebarang penjelasan yang jelas ditolak sama sekali. Takut audien tidak faham – tak boleh 'jual'.


Ridhwan Saidi