Semua orang punya harapan. Tanpa harapan, hidup tidak bermakna. Tanpa harapan, bunuh diri jawapannya.
Harapan bagi setiap individu berbeza. Perbezaan harapan ini bergantung kepada kepercayaan masing-masing. Syurga, Nirvana, Elysium, Valhalla semua ini adalah sebahagian daripada harapan umat manusia. Ianya adalah suatu kondisi indah yang berlaku di alam spiritual, luar dari dunia nyata.
Selain alam spiritual (bagi yang yakin), harapan manusia juga berupa perkara yang rasional, tampak dan (optimis) wujud di dunia nyata. Ini berbalik kepada pepatah: Great minds discuss ideas. Average minds discuss events. Small minds discuss people.
Harapan bagi minda yang luas kebiasaannya adalah idea-idea demi mencapai kesejahteraan sejagat. Bila dikecilkan konteksnya, ia berupa perjuangan feminisme, gaji minima, anti-fasisme, anti anti-immigrant, pedulikan pemanasan global, perubatan percuma, pendidikan percuma dan seumpama dengannya. Perjuangan yang sweet gitu.
Harapan bagi minda yang sederhana pula berbentuk situasi dan objek. Inginkan kehidupan yang selesa dan stabil, perkahwinan yang meriah, seks rambang yang meriah, kereta idaman, rumah banglo, pekerjaan dengan gaji lumayan, bercuti di _______ (isikan tempat kosong) dan seterusnya.
Harapan bagi minda yang sempit pula berkenaan individu lain. Berharap agar si dia hidup selesa, berharap agar si dia ditangkap khalwat, berharap si selebriti A couple dengan si selebriti B, berharap si polan berkahwin dengan si polan, berharap si dia clash dengan girlfriend dia, berharap si dia bekerja untuk bayar broadband dan dan dan. Secara amnya jaga tepi kain orang.
Ada manusia yang berjaya menyeimbangkan kedua-dua harapannya di dunia dan di akhirat (atau karma). Ada juga yang terlalu fokus akhirat/karma mengabaikan dunia nyata. Tidak kurang juga yang fokus kepada harapan di dunia ini saja.
Konflik ketara terbentuk apabila yang fokus akhirat/karma (mythos) bertembung dengan yang fokus duniawi (logos). Yang ini kata yang itu gila, yang itu kata yang ini gila. “Buat apa berzikir, bukannya dapat duit,” kata ahli duniawi. “Buat apa makan gaji, bukannya dapat pahala,” kata ahli akhirat/karma pula. Atau dua-dua sama gila?
Pokoknya kerana mereka percaya kepada kebenaran yang berbeza.
Pemikir falsafah mengkaji spirituality di bawah cabang meta-fizik. Dari perkataan ‘meta-fizik’ yang bermaksud “melangkaui (beyond) fizik”, menampakkan mereka masih lagi bertempel pada ciri-ciri fizikal. Saya rasa, sampai kiamat pun mereka takkan faham spirituality.
Kini, sains dan teknologi berkembang pesat sehinggakan manusia zaman sekarang tidak lagi bersifat spiritual, sebaliknya bertuhankan benda yang tampak seperti logo-logo korporat dan individu-individu tertentu berlandaskan wang dan harta. “Ada apa dengan Tuhan?” ucap mereka.
***
Berlawanan dengan kepercayaan popular, ‘don’t judge a book by its cover’ itu retorik eskapis bagi saya. Kerana form & content datang serentak. Ini boleh diperhatikan pada manusia itu sendiri.
Jantina manusia ketika dilahirkan terbahagi kepada tiga: 1. lelaki, 2. perempuan dan 3. khunsa. Ketiga-tiga ini jasadnya, tubuhnya, form-nya. Akan tetapi, roh tidak berjantina, iaitu content-nya. Semestinya saya tertarik kepada roh-roh yang menarik, punya citarasa berkualiti tanpa ambil peduli rupa, kelas, jantina, kepercayaan atau warna kulit dll. Walau bagaimanapun, dari segi persepsi seksual, saya cenderung ke arah jasad jantina yang berlawanan.
Saya cukup pantang jika teman istimewa saya pesan makanan yang serupa dengan saya (kononnya sehati sejiwa, yucks!). Sama juga dengan citarasa seksual, saya tak fancy ‘bersilat keris’ ataupun pesan daging yang serupa. Sebab itu bila saya mahu membeli sesebuah buku, rekaan kulit sangat crucial. Form, sama penting dengan content okay! Jasad, sama penting dengan roh.
Secara lembutnya, I melihat umat manusia sebagai roh. Jika mereka mahu raikan homoseksualiti, raikan. Selagi ia tanpa paksaan, suka sama suka, raikan. Apa yang penting bagi I bukan rupa, kelas, jantina, kepercayaan, atau warna kulit, tetapi citarasanya. Kerana I senantiasa berhati-hati dengan roh-roh (manusia) yang harapannya takde taste.
Ridhwan Saidi
p/s: Tak homofobik, cuma bebalfobik.
p/s: Tak homofobik, cuma bebalfobik.