Jumaat, Disember 11, 2009

Glokal: Pengembaraan Bermula

Filem Geng: Pengembaraan Bermula (2009) ini mengingatkan aku kepada Crash Bandicoot. Malah rendering-nya membangkitkan nostalgia aku terhadap si maskot PlayStation itu suatu ketika dulu (jika Sega dengan Sonic, Nintendo dengan Mario). Aku boleh berkompromi dengan filem ini, ianya mesra, tapi paling penting, ia di bawah sedar tidak membawa aku ke arah pemujaan semangat kediktatoran.

Di bawah sedar, dunia yang dikonstruk secara 3 dimensi ini meraikan kebebasan. Si Upin dan Ipin itu bebas merewang dan merayau bermain di serata pelusuk ruang & masa tanpa mata yang mengintai 24/7 (budak-budak zaman sekarang patut cemburu). Terdapat juga babak di mana Tok Dalang itu ingin ke surau, tapi cucunya dibiarkan di rumah. Dia tidak ajak atau mendesak cucunya untuk ikut beribadat. Wujud feel sekular di sini, kebebasan sosial.

Babak yang paling berkesan meraikan kebebasan ini semestinya ketika di hujung tebing. Samada mahu selamat dan stabil, atau bebas ambil risiko terjun menggelungsur. “Fikir masa depan!” pesan Rajoo. “Pergi mati sama masa depan, kita terjun” bisik Upin dan Ipin. Serius jika si Ipin itu ambil jalan selamat, pengembaraan yang mendebarkan ini tidak akan berlaku. Mereka terikat dengan persekitaran selesa kampung mereka, lalu bermain dengan isu-isu yang biasa dikupas pada siri televisyen.

Antara petanda awal yang aku perasan adalah semasa kedua budak dari bandar itu tumpang lori Singh. Mereka tak pakai tali pinggang macam PSA keselamatan jalanraya. Kita dapat gambaran awal yang mereka akan melalui pengembaraan yang berisiko.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa filem yang bagus tidak perlukan kehadiran CGI. Ini serius, ajaran sesat. CGI ini lahir dari animasi, salah satu cabang utama sinema. Yang menjadi perkiraan adalah sejauh mana keberkesanan, keperluan dan signifikasi sesuatu kesan khas CGI itu. Untuk filem ini, ia memenuhi tuntutannya sebagai sebuah kartun. (Cuma bagi golongan purist, ia tidak pure dilukis dengan tangan, takde warmth. Sama kesnya dengan oil paint dan acrylic). Memang ‘mengada-ada’, sebab ia melibatkan estetika.

Berkenaan watak Silly a.k.a. Salim sebagai penjenayah, jika kita perasan, dia berlawan dengan Ros diakhir cerita. Wanita bertarung dengan bapok. Ianya adalah satu kenyataan fundamentalism, wanita ‘asli’ menang, yang ‘olok-olok’ kalah. Ini sedikit sebanyak bercanggah dengan nilai-nilai kebebasan yang dibawa tadi. Ianya adalah satu usikan yang sangat nakal (watak Sally ini dipaparkan secara over the top yang menjengkelkan). Ini tidak baik.

Aku juga sedar watak kawan kepada Lim (yang memakai topi Visit Malaysia) itu seperti memakai jersi Portugal nombor 7. Jika betul, ia mengiyakan kebebasan ‘ekonomi’, dan sedikit sebanyak menidakkan nalar nasionalisme. Aku boleh terima ini, sebab ada iklan Belilah Barangan Buatan Malaysia di televisyen yang paradoks nak mampus. Bayangkan, semua barang-barang yang dipaparkan adalah barangan buatan Malaysia, tapi model di dalam iklan itu warga Indonesia. Iklan itu sendiri ‘beli’ barang luar negara, ia tidak memenuhi tuntutan makna iklan tersebut.

Sebagai ‘permulaan’, filem ini berkesan seadanya. Selepas ini produksi Les Copaque bermain dengan ruang angkasa pula dalam Upin Ipin Angkasa (2011). Dengan animasi 3D, segala situasi dihalalkan (malah nak melawat syurga dan neraka pun boleh). Tapi aku lebih berminat jika tenaga produksi ini bermain dengan struktur pengembaraan masa. Ianya pengembaraan yang boleh membuka imaginasi penonton (kanak-kanak terutamanya), mencabar intelektualiti pelakunya, dan melawat kembali sejarah dalam perspektif baru. Paling penting, bawa sekali unsur humor dua ekor toyol itu. Sejarah dan humor adalah kombinasi yang baik. Kebanyakan filem sejarah kita bosan pasal takde sense of humor.

Aku teringin melihat pelabuhan perkampungan Melaka dari udara. Ada bukit kawasan pentadbiran, ada sungai sumber kehidupan, di sekitarnya pasar yang sibuk dengan 17 bahasa pengantara, dan paling penting kapal yang sedang berlabuh. (Aku cukup menyampah pabila sesebuah filem yang berlatarkan dunia maritim Melaka, tapi tak nampak batang hidung KAPAL). Bayangkan syot pantai yang mengadap horizon lautan: dunia tanpa penghujung tapi berlaku di atas tanah bumi dipijak – Glokalisme!


Ridhwan Saidi