Isnin, Disember 07, 2009

Generasi $ell-0ut

Ada sesuatu yang telah berlaku dalam filem pendek ‘Melayu di Jalan Melayu.’ Visualnya memaparkan latar suasana kesibukan di kawasan yang rata-rata dipenuhi manusia Melayu secara kasar menghantar cadangan tentang subjek filem ini, iaitu persoalan yang bersangkut-paut dengan masyarakat Melayu kontemporari. Untuk itu, maka Jalan Melayu di Kuala Lumpur yang berjiran dengan kawasan Jalan Masjid India yang sinonim dengan pelbagai aktiviti perdagangan kecil-kecilan di kalangan masyarakat Melayu; dari berjual-beli ubat kuat, ubat resdung, keris lama, batu cincin, VCD ceramah politik, kopiah, sejadah, kain tudung, kitab agama, tasbih, pisang goreng, keropok lekor, baju Melayu, baju kurung dan pelbagai barangan tiruan, dijadikan lokasi.

Filem ini bertapak di Jalan Melayu. Ini menandakan adanya unsur “confirmation” antara tajuk, tema, cerita dan lokasi – Jalan Melayu. Tak faham? Begini, filem ini cuba membicarakan tentang orang Melayu dan ianya berlangsung di Jalan Melayu dan jalan itu sendiri sememangnya benar Jalan Melayu. Jalan Melayu dalam filpen ini bukan fiksyen, bukan fantasi, bukan dibuat-buat dengan merakam di Jalan Kia Peng, misalnya. Secara tak langsung, wujudnya elemen ‘realisme’ di dalam filem pendek ini.

Sekarang, bayangkan apa akan jadi jika filem ini dirakam di Jalan Petaling? Bayangkan pula kalau yang melakonkan watak-watak filem di Jalan Melayu ini adalah orang Cina, atau India. Kedua-dua jawapan bagi persoalan ini bakal menuai hasil yang sama iaitu tema filem yang sama sekali berbeza. Sama juga kalau sebuah filem ‘Western’ tapi lokasi di Itali, pasti filem tersebut bukanlah filem Western yang sebenar kerana telah berlakunya ‘penipuan’ dalam aspek lokasi. Disebabkan itu kita dapat menonton filem Western seperti ‘Once Upon A Time In The West’ (1968) dengan lebih feel lantaran lokasinya itu sememangnya benar belaka, di bumi Amerika sedangkan pengarahnya, Sergio Leone, adalah orang Itali. Jikalau Sergio menfilemkan filem itu di Itali pastilah ia membuahkan hasil yang berlainan dan kita pun akan menonton ‘Once Upon…’ dengan mood yang berlainan juga walaupun ceritanya tetap sama.

Di sini kita dapat lihat kepentingan unsur ‘persetujuan’ (confirmation) antara naratif dan lokasi dalam membentuk filem yang baik. Namun ia datang dengan syarat unsur “confirmation” itu wujud atas tuntutan menyokong kekuatan naratif filem tersebut. Jadi bolehlah dikatakan perkahwinan antara naratif dan lokasi yang sebenar menghasilkan filem yang ‘sempurna.’

Patah balik ke ‘Melayu Di Jalan Melayu,’ ia tidaklah semudah-mudahnya menyerah diri pada kepentingan jalan itu (lokasi) di sebalik hubungan akrabnya dengan naratif. Hakikatnya filem pendek ini telah dikacau dek kehadiran tiupan saksofon Kenny G membuai-buai telinga penonton. Soalan yang terpacul, adakah muzik Kenny G ini hadir dengan riang-ria? Atau kata orang, ‘saja-saja’?

Saya memiliki pandangan sendiri. Pada saya, kehadiran muzik Barat Kenny G ini telah menyebabkan berlakunya “clash” antara elemen “confirm” tadi dengan satu elemen baru; “grotesque.” Muzik ini telah menyebabkan terjadinya ‘pertikaian’ antara dua unsur, selesa dan kacau. Unsur ‘selesa’ ini mewakili elemen “confirm” manakala ‘kacau’ pula “non-confirm.” Ironi sungguh, visual ‘selesa’ ini memaparkan latar suasana yang sibuk dengan orang lalu-lalang dan kenderaan berasak-asakan dan yang ‘kacau’ pula didatangkan dengan bunyi yang lebih membuai perasaan. Tak payah pergi jauh, di sini saja sudah berlakunya pertempuran antara dua dewa; Appolo dan Dionysius.

Jika pernah menonton drama-drama swasta di stesen TV tempatan, kamu pastinya pernah bertembung dengan adegan-adegan yang memaparkan perempuan sama ada gadis muda belia, wanita dewasa mahupun bertaraf ibu-ibu merayau-rayau di pusat membeli-belah berhawa dingin. Adegan ini pula secara stereotaip akan diiringi dengan muzik latar seperti muzik Kenny G. Adegan seperti ini biasanya menggambarkan perempuan-perempuan dari pelbagai lapisan usia tadi merayau di kompleks membeli-belah sebagai sedang melakukan aktiviti santai. Watak kebiasaannya digambarkan sebagai anak orang berada, perempuan yang bekerjaya, mahupun mak datin gersang. Perempuan-perempuan yang mengisi adegan-adegan ini biasanya datang dari kelas menengah yang lebih terdedah dengan proses permodenan. Jadi wataknya adalah tipikal ‘liberal’ atau memiliki pandangan politik yang ‘sederhana’ (moderate). Ini ditegaskan lagi melalui cara berpakaian mereka yang digambarkan seiring dengan fesyen semasa, membeli pula pakaian-pakaian berjenama atau aksesori solekan muka yang terkini di pasaran.

Tahukah kamu, Kenny G dalam Melayu di Jalan Melayu ini adalah lambang ‘kemodenan?’ Dan ia telah ‘dicuri’ dan diletakkan di lokasi yang berlainan seterusnya membunuh mitos moden drama-drama TV tipikal tadi. Dalam filem pendek ini, Kenny G itu wajar dilihat sebagai simbol kebaratan yang mewakili kemodenan. Amatlah sukar untuk menyangkal hakikat bahawa pemodenan di negara ini datangnya dari Barat. Apatah lagi, negara ini pernah dijajah penjajah Barat yang pastinya mereka membawa masuk pelbagai pengaruh dalam proses modenisasi. Contoh senang, seni bina. Dari mana datangnya seni bina moden di negara ini kalau tak dari dunia Eropah dan Amerika? Begitu juga dengan filem sebagai seni moden yang bermula di Peranchis.

Cuma yang tak syoknya di negara ini, kemodenan itu hadir tak lebih sekadar kulit. Ia cenderung bersifat kosmetik. Ia bukan moden yang mendasar pada idea, gagasan mahupun semangat (roh). Buktinya? Oh kalau nak dikarang bukti-buktinya silap hari bulan saya boleh menyiapkan satu tesis pula. Oleh itu, dalam filem ini bunyian saksofon Kenny G adalah simbol kosmetik orang Melayu masakini yang kononnya sudah menjalani kehidupan serba moden padahal sebenarnya masih terlalu konservatif.

Baiklah, contoh remeh berpatah balik kepada adegan drama televisyen tadi. Moden dalam adegan ini digambarkan melalui cara berpakaian dan lokasi di pusat membeli-belah. Pusat membeli-belah adalah inovasi idea pemodenan dalam dunia komoditi pasaran bebas. Tapi apabila perempuan-perempuan dalam adegan ini berkata-kata, mereka sekadar melontarkan perbualan-perbualan remeh sekitar hal tepi kain orang lain. Cara berpakaian mereka yang mengikut rentak semasa tak lebih sekadar kosmetik. Mereka tak digambarkan sebagai perempuan yang memiliki fikrah yang sofistikated melalui dialog-dialog yang bermutu. Sebaliknya, mereka sering menjadi mangsa gambaran wanita bingai yang bermulut becok yang hanya pandai melaram dan berceloteh tentang affair orang ini dan orang itu atau anak dah berapa orang, atau bila nak kahwin??? (Sila rujuk drama ‘Sembilu Kasih’ sebagai contoh, sebelum tuduh saya kaki auta.)

Ringkas kata, mereka adalah gambaran wanita yang “confirm.” (To be fair, ia tak terhad kepada wanita, malah lelaki pun 2 x 5, fukk chai!) Dalam drama swasta tempatan, peranan muzik Kenny G adalah untuk mewujudkan mood santai dan tenang. Ia adalah elemen “confirmation” yang sangat jelas tak payah bersuluh. Mitosnya, iringan muzik instrumental Kenny G tadi akan menyebabkan pengunjung gedung terbabit ber-shopping dalam keadaan selesa, tenang dan damai agar proses membeli-belah menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Apabila seronok sakan, harapannya supaya proses konsumerasi terutama dari kalangan kelas menengah tadi akan terus berlanjutan tanpa berpenghujung. Ia tanda pengukuhan budaya konsumer demi mengukuhkan kestabilan hukum komoditi.

Tapi jangan terburu-buru, kawan! Fikirkan kenyataan bahawa to be free, one must not confirm! Apa perkaitan antara idea kebebasan, moden dan tidak confirm? Lihat, untuk moden, seseorang itu perlu memiliki cara fikir yang lebih terbuka. Ini hanya dapat dilakukan dengan merobohkan tembok pemikiran konservatif. Untuk menjadi moden, sesebuah masyarakat itu perlu bersikap progresif, iaitu lawan bagi kata konsevatif.

Pemikiran konservatif lahir dari agama, adat resam dan juga nilai budaya. Ini bukan bermaksud untuk lebih berfikiran terbuka, kita perlu menolak mentah-mentah tiga perkara ini. Akan tetapi, bentuk pemikiran yang bertitik-tolak dari tiga perkara tadi perlu menjalani proses penselarian dengan tuntutan zaman. Sikap prejudis, tidak toleran, suka menghukum, jumud, taqlid/blind faith (percaya membuta tuli tanpa berfikir), mudah cair dengan cerita karut-marut seperti ‘sejadah berdiri,’ taksub kepada ‘pemimpin,’ dan budaya neo-feudalisme adalah tembok-tembok konservatisme yang menghadang idea-idea pembaharuan (the idea of progress).

... And he said to me boy / Ignore what your mama said / Unleash your life to the full / Not like some motherfucker / Live their life in fear / Blinded by faith and taboo -- Einchfriekel, Athotorgh.

Namun bagi yang berkuasa, nilai konsevatif inilah perisai kekuasaan yang terampuh. Ia nilai yang sering digunakan untuk menakut-nakutkan orang ramai dari berfikir lalu melakukan perubahan terhadap pelbagai ketempangan struktur politik, ekonomi dan seterusnya, sosial. Malangnya, warganegara ini hanya pandai bermuka-muka dalam bersikap moden. Buktinya, mereka membiarkan diri mereka diikat oleh unsur konsevatisme yang dikawal oleh ‘kerajaan.’ Paling menakutkan ialah terdapat kelompok muda-mudi di negara ini yang begitu mudah menyerah diri kepada instrumen kerajaan seperti Rakan Muda, Biro Tata Negara dan Belia 4B. Tanpa rasa segan silu mereka telah merelakan diri mereka menjadi Mat dan Minah Skema. Mereka tiada keupayaan fikrah untuk menyedari bahawa semua ini adalah usaha-usaha pemenjaraan minda oleh kerana pemikiran mereka yang masih lagi terkepung, walaupun cara pemakaian mereka cuba meniru gaya pemuda-pemudi negara maju seperti Korea Selatan dan Jepun. Ia sekadar gaya kulitan tanpa sebarang makna. Dan yang mengepung adalah unsur konservatisme itu tadi.

Saya tak terlalu berkira jika ia hanya bersifat “physical submission.” Apa yang saya tolak mentah-mentah ialah “mind submission.” Ini lebih merbahaya. Apa sebab? Orang yang terpenjara dalam sel tahanan secara fizikal kelihatan terkepung dan pergerakannya terhad. Namun andai dia bijak mengawal fikirannya dengan tak membiarkannya terpenjara secara psikologi, maka orang itu pada anggapan saya tetap saja ‘bebas.’ Kerana dia yang mengawal fikirannya, maka dia walau terpenjara tapi masih berupaya menerawang sebebasnya dalam alam fikirannya, malah masih dapat berimaginasi, maka dia akan mengecapi situasi kebebasan untuk dirinya sendiri. Bahkan terdapat banyak bukti manusia-manusia yang dipenjara tetapi dalam masa yang sama mereka mampu menghasilkan sesuatu seperti menulis buku, melukis dan bermuzik. Ini membuktikan bahawa pemikiran mereka tak terpenjara, yang terpenjara hanya tubuh fizikal. Mereka yang terpejara akal fikirannya seringkali tewas untuk membuahkan hasil yang lumayan sekiranya mereka melakukan sesuatu. Dan bukan memelikkan pula jika dunia di luar tembok penjara dihuni oleh ramai manusia yang secara fizikal bebas bergerak ke mana sahaja tapi fikirannya telah terpenjara tanpa disedari.

Jika projek empangan minda ini tak dipecahkan, maka satu dunia akan saksikan satu tragedi; negara ini bakal dihuni oleh para pemuda-pemudi ‘Generasi $ell-0ut.’ Kosong, lembik, longlai, ling-lung dan takde “soul.” Hidup mereka walau kelihatan ‘sempurna’ di mata kasar, namun saya lebih percaya bahawa mereka ini amat-amat membosankan. Sampaikan dah hidup selesa dan sempurna pun, mereka tak habis-habis dengan idea kemurungan hidup. Sikit-sikit depress, sikit-sikit depress. Macam dah takde kerja lain. Apa kedarok memanjang nak depress? Lembik! Yang ada tu, hidup dah cukup senang tapi tak reti bersyukurrr…cewah, macam Tok Lebai la pulak! Lepas tu, takde masalah, bantai “create” pula masalah remeh-temeh untuk mengalami situasi tekanan perasaan supaya datang kawan-kawan yang bersimpati. Bongok! Itu yang sampai tahap terfikir soal remeh-temeh seperti apa akan jadi pada orang yang disayangi kalau aku mati. Dah mati, mati lah. Apa yang susah sangat. Suka tak suka, yang hidup kena terus hidup dan pandai-pandai lah dia nak hidup. Alahai… kalau susah sangat, ajak je sekali masuk kubur.


Mohd Ikhwan Abu Bakar