Jumaat, Ogos 07, 2009

Petikan Kitab Tuhfat al-Nafas


Arakian di abad ke-15 Masehi dari nenek-moyang dikesahkan turun-tumurun akan sebuah istana hinggap yang tersangatlah indah sergamnya di atas bukit yang permai. Adapun di situlah tempatnya Sang Raja Inderaputrajaya, negeri di pesisiran tasik tiruan bersemayam. Maka berkilo-kilo simen dan pasir, bertan-tan batu bata, beribu-ribu genting diusahakanlah oleh para sahaya yang diupah dari seberang untuk membinanya. Diceritakan juga akan asal-usulnya ilham istana itu datangnya dari ‘ibu roti’ seperti yang diilhamkan oleh kalangan kerabat tuanku raja sendiri. Apakala didengari oleh tuanku raja, maka terbahak-bahaklah raja ketawa kegembiraan. Adapun istana yang tersangatlah besar ini juga diperlengkap sekali dengan menara-menara peninjau untuk memerhati takut-takut ada kiranya musuh yang datang menjelma tanpa diundang. Para hulubalang istana diberi persalinan lengkap bersenjata baju besi kursani, perisai, tombak dan busur panah beserta anaknya sekali yang disadur dengan tembaga. Datang musuh dari darat, hujankan saja dengan tombak dan panah, teka para hulubalang semua. Namun tak dapatlah jua dikesahkan nenek-moyang turun-temurun akan perihal ketidakmunculan hulubalang istana di dalam gambar kerana mereka semua tertidur kekenyangan setelah melantak sakan di tengah hari saat gambar ditangkap. Namun gembira sang raja tidaklah jua berpanjangan kiranya, apabila dikhabarkan ura-ura beberapa ekor garuda siap berubat bedil bakal menyerang istana raja umpama disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Bertambahlah runsing akibat tak dapat diteka apakah jenis garuda yang diura-urakan akan menyerang itu sama ada F/A-18 Hornet atau Sukhoi SU-47. Ura-ura menyayat hati ini tersebar ke seluruh pelusuk negeri. Mashgul tuanku raja hatta berjurailah air mata seluruh rakyat negeri Inderaputrajaya. Di kala seluruh negeri berduka-lara, muncul pula tak semena-mena entah dari mana usulnya seorang badut yang lagaknya persis ahli Sarkis Diraja London. Lalu seperti yang dikesahkan, si badut telah cuba menghilangkan risau-runsing tuanku raja dengan mendendangkan gurindam seloka bermadah pujangga...

Adabi melazatkan
Adabi menyelerakan

Mengandungi pelbagai rempah
Melazatkan kari dan kuah!

(Bagaikan istana di zaman silam)



Mohd Ikhwan Abu Bakar