Khamis, Julai 30, 2009

Limas Yang Kadangkala Melemaskan

Negara ini menerima hujan sepanjang tahun. Jadi bila kita mendirikan tempat berteduh, antara perkara penting yang wajib difikirkan ialah bagaimana air hujan itu mesti dialirkan dengan sempurna. Antara kaedah yang paling sesuai ialah dengan membina bumbung curam seperti bumbung limas. Tapi, jangan salah anggap bahawa bumbung limas itulah satu-satunya kaedah untuk mengalirkan air hujan. Bagi saya, gunalah cara apapun, janji tiada air hujan yang bertakung di atas bumbung, dah kira okay.

Justeru, bila timbul dongeng moden yang mengatakan kita di sini perlu menggunakan bumbung limas sahaja, ia boleh dipersoal. Apa lagi kalau bumbung limas diguna konon untuk menonjolkan sense of identity. Sebab, jika kita berkira sebegitu, nyata kita akan melahirkan satu identiti yang terlalu pretentious. Bukan semata-mata menolak limas, cuma kita tak sepatutnya menjerat kreativiti dengan hukum-hakam konvensional membuta tuli sampaikan ada yang mempersoal tentang bumbung lengkung yang dikatakan tidak sesuai digunakan di negara ini. Apapun, bagi saya sendiri, bumbung limas tetap relevan dan sesuai digunakan untuk bangunan skala kecil/sederhana seperti rumah kediaman, rumah kedai dan pondok durian.

Sebab, kenyataannya, nenek moyang kita melahirkan bumbung limas bukan suka-suka, atau konon nak membina identiti. Tapi berdasarkan alasan yang praktikal. Bumbung limas itu dibina dari kayu yang diperoleh dari pokok balak. Struktur batang pokok ini pula lurus belaka. Begitu juga ranting dan dahannya, lurus. Kalau ada bengkang bengkok pun, ia mesti diluruskan jika nak menghasilkan rasuk atau alang bumbung. Pernah ke jumpa pokok yang batangnya melengkung? Jangan la beritahu saya pokok itu adalah pokok serai! Memang nak kena terajang! Jadi dengan teknologi yang terhad, apa yang terbaik dan efisien dapat dicipta ialah bumbung curam yang lurus seperti bumbung limas. Gila apa zaman dulu nak buat curve pakai kayu?

Pada mulanya mereka menghasilkan bumbung atap nipah. Dari aspek ekologi, ia memang mesra alam. Untuk pengudaraan juga, ternyata bagus. Menghasilkan atap nipah bukannya mudah, kena orang yang betul-betul pandai menganyam daun nipah. Tapi untuk membina bumbung, memang cukup senang, tindihkan saja atas rasuk yang dibuat dari kayu yang lurus tadi. Ini asal usul penciptaan konsep bumbung limas.

Namun bila kemajuan tiba, bumbung ini juga perlu berevolusi. Antaranya, hasil perkembangan Revolusi Industri, kita menerima keluli dan besi sebagai teknologi baru untuk mengurangkan kebergantungan pada kayu. Bayangkan, kalau teknologi ini tak sampai atau ditolak oleh kita, habis botak gondol hutan di negara ini. Terima kasih kepada keluli dan besi, ruang kreativiti juga terbuka luas. Lebih-lebih lagi bila kehendak bangunan moden yang tak tertakluk kepada rumah semata-mata, memerlukan saiz dan skala bangunan yang relatif lebih besar.

Bangunaan moden menjawab kehendak bangunan awam, yang melibatkan jumlah pelawat/penghuni yang ramai. Sebab, orang zaman dulu guna kayu dalam pembinaan semata-mata mahu mendirikan rumah, takpun masjid yang saiznya kalau hari ini mungkin hanya dianggap sebagai surau. Tiada sebab mereka perlukan bangunan yang besar-besar. Atau saja-saja suka pakai kayu. Istana Melayu pun, sebenarnya tidak la besar mana, hanya sebesar rumah banglo zaman sekarang. Replika istana sultan Melaka di bandar Melaka tu tak boleh dipercaya sangat. Betul ke besar macam tu?

Katakan kita ingin membina kilang. Kilang melibatkan partisipasi pekerja yang ramai. Jadi bangunan yang besar diperlukan. Untuk memudahkan urusan kilang, seperti tempat pekerja dan meletak mesin-mesin, juga untuk tujuan pemantauan pekerja yang efisien, ia memerlukan ruang lapang yang luas. Lalu, kita gunakan teknik long span structure, yang hanya dapat dihasilkan dari teknologi keluli. Begitu juga untuk membina bangunan yang memerlukan penggunaan ruang terbuka luas yang lain seperti stadium tertutup.

Sama juga kalau kita menggunakan bumbung rata yang dibina dari konkrit. Asalkan ianya menyediakan cara untuk menyahkan air hujan, itu sudah cukup. Alasannya, bangunan yang berskala besar pasti akan melibatkan permainan estetika yang berbeza dari bangunan skala kecil. Macam dulu, kita guna bumbung limas sebagai bumbung rumah memang sesuai dari segi skala. Tapi bumbung jenis ini tak berapa sesuai digunakan untuk bangunan awam yang berskala besar. Tak percaya, tengoklah Hospital Selayang, horrible! Dah la pakai warna merah, lepas tu kerana saiznya yang besar, maka bumbung limas ini meninggalkan banyak ruang kosong antara siling dengan bumbung. Sangat membazir. Kalau nak dijadikan sarang penagih pun sesuai.

Jadi jika gunakan bumbung lengkung, atau rata, bukan setakat lebih praktikal, tapi juga sangat kena dari segi estetika-nya. Lagipun, orang dulu bukannya peduli pun dengan identiti ni semua. Apa yang mereka lakukan hanyalah cuba bertindakbalas sebaiknya dengan kejadian alam, bersumberkan apa ada di sekeliling. Lagi satu, macam awan larat dan kerawang itu semua, memang sebagai satu simbol ekspresi mereka, masa tu. Ala, kiranya macam kita sekarang ni la, isi masa lapang dengan melukis misalnya.

Lihat pula manusia zaman primitif yang dikatakan tinggal dalam gua. Selain dari menjadi tempat berteduh dari fenomena alami seperti hujan dan ribut, gua juga dipilih sebab ianya tempat paling cool untuk berlindung dari serangan pak belalang dan juak-juaknya. Satu lagi, mereka berteduh di dalam gua bukan kerana mereka memang terlampau minat terperuk di situ, atau kerana sengkek tiada duit nak beli simen, sebaliknya mereka pada waktu itu langsung tak terfikir lagi untuk membina rumah. Mereka ini pun bukan sengaja merancang untuk tinggal dalam gua pasal nak bina identiti.

Masyarakat yang tinggal di pedalaman hutan Amazon pula ada yang membina rumah di atas pokok. Saya percaya, ini juga kerana faktor-faktor keselamatan, iaitu mengelak dari jadi hidangan makan malam harimau atau beruang. Bukannya kerana mereka berasa cemburu melihat kehidupan bahagia para beruk atau suka berlagak nak jadi tupai.

Kesimpulannya, di sebalik tuduhan primitif atau kuno, orang-orang dahulu kelihatan lebih berotak dan rasional dalam membuat sesuatu keputusan dan pilihan. Berbeza dengan manusia masakini, yang kononnya telah bertamadun, telah berpendidikan, namun hakikatnya mereka semakin hilang pertimbangan rasional, seperti meniru sesuatu itu bulat-bulat, ataupun melakukan sesuatu hanya disebabkan ‘orang lain’ juga melakukan hal yang sama hanya kerana takut dituduh sebagai kolot.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Rabu, Julai 29, 2009

UFO VS Kubah


Bangunan dalam gambar di atas telah direka oleh arkitek Norman Foster. Siap dibina pada tahun 2005, bangunan ini terletak betul-betul di tengah pusat bandar, berhampiran dengan bangunan Parlimen, Galeri Seni Nasional Singapura, beberapa buah bangunan awam lain termasuk muzium, gedung membeli-belah, rumah kedai dan hotel. Lokasi bangunan ini menjadikannya ramah dengan masyarakat awam. Rekaannya ringkas, hanya berpetak, garis lurus, berdindingkan cladding aluminium dan gelas. Pemilihan material bahagian façade tidak menampakkannya sebagai bangunan yang angkuh, tiada dekorasi yang membazir, sebaliknya lebih menampakkan kesederhanaan. Paling menarik, ada ‘kapal UFO’ yang selamat mendarat di atas bangunan ini, yang menempatkan ruang Mahkamah Rayuan selaku simbolik peringkat tertinggi dalam hireraki sistem pengadilan di negara Singapura. ‘Kapal UFO’ ini juga sekali pandang macam neraca timbang yang cuba melontarkan idea bahawa di sinilah keadilan akan dipertimbangkan seadil-adilnya, sekaligus mengukuhkan sistem kehakiman sebagai salah satu institusi kenegaraan yang berintegriti.

Saya kira, Singapura ini bukan negara pengamal kapitalis moden yang terburu-buru membabi buta, kerana hakikatnya ia sempat juga membangunkan citarasa artistik yang selari dengan terma modeniti yang sebenar. Bangunan mahkamah ini sebagai satu bukti dari sekian banyak bukti lain. Proses urbanisasi negara pulau ini bergerak secara menyeluruh, baik dari segi pola pemikiran warga hinggakan ke bongkah-bongkah bangunan. Berlainan sekali jika dibandingkan rumah para borjuis negara saya dengan borjuis Singapura, yang mana gaya senibina rumah mereka adalah ringkas tanpa ornamen picisan tapi tetap sophisticated, lambang terbaik kehidupan moden sebenar. Begitupun, sebenarnya bangunan mahkamah yang saya ceritakan ini juga telah dikritik oleh sebahagian warga Singapura itu sendiri yang mempertikai pelantikan firma dari negara luar, sampaikan mereka juga tak berpeluang untuk memberi pandangan tentang rekaan itu semasa belum mula dibina.

Tapi kalau nak dibandingkan dengan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di jalan Duta, memang jauh beza. Saya mengatakan rekaan Mahkamah Agung Singapura lebih baik dari bangunan Mahkamah Kuala Lumpur bukan semata-mata ia direka oleh orang putih. Cuma ini kenyataan. Saya pelik bagaimana kita nak mengaku maju dan moden kalau kita masih lagi berminat menghasilkan senibina seperti Mahkamah Kuala Lumpur ini? Itu belum kira lagi kerosakan-kerosakan seperti siling runtuh, dinding retak, paip bocor, termasuklah masalah ruang bilik hakim yang sempit. Bertambah lawak, siap ada cerita di mana bangunan besar bagak ini rupa-rupanya tiada bilik simpanan fail. Mahkamah…tapi tempat simpal fail perbicaraan pun lupa disediakan. Sebagai penyelesaian, sebahagian ruang di bahagian basement telah dikorbankan untuk menyediakan bilik simpanan fail. Bahasa senibinanya juga ternyata keras. Ia langsung tak mencerminkan sebarang unsur ketelusan, tapi rupanya yang terlampau solid dengan tiang-tiang besar mencerminkan sifat kuku besi. Ia memang berjaya memancarkan citra ‘kekebalan’ yang tidak boleh disanggah, hingga ke tahap tak boleh dipercayai. Soalnya, mengapa gaya Neo-Georgian ini yang dirayakan?

Sama seperti kompleks mahkamah ini, di atas bangunan-bangunan kerajaan yang lain macam mahkamah, pejabat dan rumah rasmi perdana menteri di Putrajaya, ditenggekkan juga dengan kubah. Konon sebagai tanda senibina Islamik. Konon menunjukkan negara ini negara Islam. Konon negara Islam yang didominasi oleh ketuanan Melayu-Islam. Walhal kubah itu asalnya dari zaman Byzantine, satu empayar Kristian. Kubah hanya menjadi ‘milik’ Islam setelah empayar Byzantine, dengan kota bernama Byzantium, yang kemudiannya dikenali sebagai Constantinople, dikuasai oleh kerajaan Turki Uthmaniah. Nama Constantinople lalu bertukar menjadi Istanbul. Maknanya, kubah ini dipakai dalam senibina Islam setelah Gereja Hagia Sofia ditukar menjadi masjid. Kemudiannya, kubah telah mengalami proses evolusi hingga mempengaruhi pembentukan senibina Moorish. Ini sekadar bukti, kubah bukannya milik mutlak senibina Islamik. Tapi bila kubah diterima sebagai senibina Islam, ia membuktikan pula yang agama ini sebenarnya bersifat universal dan tidak ortodok. Tapi soalnya, apa itu senibina Islamik? Untuk saya, ia paling penting terletak pada nawaitu dan isi (substance), bukan gaya.

Di negara ini, senibina masjid berkubah tiba melalui gaya senibina Moorish. Tiga contoh jelas ialah Masjid Jamek di Kuala Lumpur, Masjid Zahir di Alor Setar dan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar. Bila kita merdeka, kubah telah cuba digantikan dengan ‘payung.’ Petandanya adalah Masjid Negara, di KL. Tapi perlahan-lahan, ia lesap dari pandangan. Kubah pula yang banyak timbul, terutama sekitar 1990-an. Masalah ini malah berjangkit terhadap senibina tempatan secara amnya. Manakan tidak, daripada senibina tradisional, datang penjajah membawa gaya senibina masing-masing. Paling lama, British yang bertapak di Tanah Melayu yang kurang lebih, 200 tahun. Maka mereka telah membawa senibina Georgian ke mari. Dipendekkan cerita, bila kita konon merdeka, kita konon mahu membina aspirasi Negara baru yang demokratik, bebas merdeka. Lalu kita mengambil gaya senibina moden, bawaan Le Corbusier, misalnya. Bukti ‘kebrutalan’ Le Corbusier ini dapat dilihat pada bangunan Bank Negara.

Senibina moden terputus dari tradisi klasikal Barat. Sebab itu, setelah ia diterima di Barat pada awal abad ke-20, kelansungannya telah diperluas ke negara-negara pasca kolonial termasuk negara ini. Ia menjadi seolah-olah tapak percubaan, bagi mengisi gaya senibina negara-negara pasca kolonial yang masih tercari-cari arah dan identiti senibina nasional. Itu pasal ia mudah di terima di negara ini selepas merdeka. Gaya moden saya kira bergerak di atas landasan yang tepat, dari era 1960-an, 70-an hinggalah ke awal 80-an. Antara bangunan yang saya rasa menarik ialah Masjid Negeri di Bandar Seremban, Wisma Ekuiti dan Pejabat Pos Besar di Kuala Lumpur.

Yang saya perasan, dah elok-elok moden, tiba-tiba masuk saja pertengahan 1980-an dan awal 1990-an, ia mula tergelincir dari landasan. Tak pasal-pasal, kita berlaku curang terhadap gaya moden. Entah kenapa, kita tiba-tiba bernostalgia dengan membawa senibina Revivalist. Kita mula membina bangunan-bangunan besar yang berbumbung limas. Mulalah kita sibuk membina ‘senibina Melayu moden’. Walhasilnya, dapatlah kita tengok menara Bank Simpanan Nasional sebagai antara bangunan yang paling hodoh di KL. Saya syak, ini mungkin kerana dipengaruhi unsur politik etnosentrik, lebih-lebih lagi bila kuasa politik parti utama yang memerintah semakin dominan. Dari konon-konon Melayu, orang kita, semua bangsa, mula beralih membawa kembali senibina Neo-Klasikal dan Georgian yang kedua-duanya adalah warisan Barat.

Tapi sefaham saya, malah ikut logik pun, Revivalist ini tujuannya nak mengembalikan semula tradisi tempatan untuk dirayakan dalam konteks semasa. Dah tu, yang kita terhegah-hegah merayakan tradisi Barat ni buat apa? Bukan ada kena mengena dengan kita pun! Betul, dulu zaman British mereka membina gaya Georgian/Victorian di sini, tapi itu kan zaman dijajah? Bila kita merdeka, maknanya kita mestilah putuskan warisan penjajah ini. Ganti dengan yang baru, yang bebas dari lambang penjajahan. Sekarang yang terjadi, kita seolah-olah merayakan kembali penjajahan. Fenomena ini mengingatkan saya dengan pengalaman negara Amerika Syarikat. Selepas Revolusi Amerika, mereka menolak gaya Georgian/Victorian ini sebagai usaha pelupusan saki-baki pengaruh Britain. Sebagai negara yang masih hijau ketika itu, ia seakan satu percubaan mencari identiti sendiri. Namun menjelang awal abad ke-20, entah kenapa mereka mula bernostalgia tentang masa silam. Maka sekonyong-konyong muncul pula dengan apa yang dipanggil sebagai senibina ‘Colonial Revival.’ Apa yang terjadi di Amerika dulu, itulah yang berlaku di negara kita hari ini. Kita boleh panggil Norman Foster untuk design pangsapuri mewah Troika, tapi dalam masa yang sama, ada lagi bangunan-bangunan yang berpura-pura tradisional, konon nak mengekalkan ‘warisan’. Paling lucah, katanya nak melambangkan ‘identiti’.

Masalah ini juga saya percaya berpunca dari aspirasi sosial para klien. Maksud saya, klien-klien ini, yang rata-rata dari kalangan borjuis kebangsaan selain mengalami sindrom yang dipanggil sebagai ‘undeveloped artistic taste’, ia juga adalah manifestasi pemikiran mereka yang cuba sedaya upaya untuk kekal eksklusif. Lantas, mereka dengan pantas mencilok gaya luar yang terdiri dari senibina Neo-Klasikal, (Greek/Roman/Palladian) dan Neo-Georgian/Victorian atas keyakinan senibina yang dirasakan mahal kerana berukir ini tidak akan mampu dimiliki oleh orang biasa. Malah bukan saja atas faktor kos, tapi dari segi skala dan propotion-nya juga, gaya senibina Neo-klasik/Georgian relatifnya memerlukan saiz bangunan yang lebih besar seperti saiz maligai mewah. Gaya seperti ini jika yang dikenakan ke atas rumah/bangunan bersaiz kecil atau sederhana akan menyebabkan rumah/bangunan itu kelihatan ‘pelik’. Dengan itu, saiz besar berserta ukiran-ukiran palsu ini semua akan dapat membezakan kelompok borjuis ini dengan orang kebanyakan. Agaknya fikir mereka, dengan cara itu mereka akan dapat terus kekal eksklusif, selain cubaan untuk menunjuk-nunjuk. Sedangkan kalau dibuat rumah/bangunan dengan gaya moden sebenar, ringkas, elegan, tiada dekorasi palsu, mungkin ramai orang yang tak elitis mampu menikmati gaya estetika yang sama.

Mengenangkan nasib senibina di negara ini, saya sedih dan pilu. Penuh dengan kekeliruan dan tiada arah. Dalam kita tak malu mengaku moden, sempat pula kita merojakkan pelbagai gaya tradisional dengan moden. Tak cukup Melayu, kita tenggekkan kubah tanda Islamik. Tak cukup kubah, angkut pula Neo-Klasikal/Georgian/Victorian yang merupakan warisan budaya luar. Kemudian, gaya seperti Georgian dirojakkan pula dengan tiang-tiang klasik Roman dan Greek, tapi masih guna tingkap cermin gelap dan pintu sliding. Ini tandanya kita masih keliru dan tak menepati hukum estetika moden. Macam pakai tanjak kat kepala, lepas tu pakai baju kemeja. Ataupun pakai baju kebaya nyonya, padankan pula dengan blouse. Apa jadi? Lawak!


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Ahad, Julai 26, 2009

Romantika Marhaen

Selaku penganut sinema ortodox Soviet mahzab Eisenstein dan Kuleshov, saya percaya bahawa sinema itu ibarat bom yang akan meledakkan revolusi sosial, yakni pencerahan minda secara mutlak dari bawah ke atas. Walau bagaimanapun saya terpaksa akur dengan hakikat bahawa masyarakat kita masih lagi jahil (ignorant.) Ditambah jumlah penonton filem “arus perdana” di negara ini hanya sekitar 100,000 daripada 28 juta rakyat. Ini berbeza dengan Czechoslovakia yang mana rakyatnya hanya 15 juta, tapi jumlah penontonnya melebihi 1 juta. Dari situ wujudnya Czech New Wave yang mana tujuannya adalah untuk membuatkan warga Czech sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada sistem, yang ironisnya sedang menghentam mereka secara brutal ketika itu. Pokoknya memberi kesedaran! Tapi di negara bertuah ini ia terbalik, yang menonton filem itu makin lalok.
Guy Debord kunci kepada gerakan Lettrist dan kemudian Situationist pernah mengkritik Jean Luc Godard bahawa filem-filemnya adalah revolusi sosial yang gagal. Ini sama ceritanya dalam cabang senibina. Rem Koolhaas mengkritik Le Corbusier bahawa senibina-senibinanya adalah revolusi sosial yang gagal, (pulak dah.) Dogme 95 (yang dianggotai Lars von Trier) juga mengkritik karya-karya Godard yang “anti-borjuis” itu, kerana akhirnya menjadi santapan golongan borjuis lagi exklusif. Turut dikritik adalah teori auteur yang bersangkut paut dengan French New Wave dan Cahiers du Cinéma yang dikatakan tak lebih dan tak kurang adalah romantika borjuis semata-mata. Kontra, saya pula percaya apa yang saya raikan selama ini adalah romantika marhaen, counter-auteur! Konon.

“Sinema telah mati!”

“Lebih tepat pada 31 September 1983” bak kata Peter Greenaway. Tambah si futurist bermulut celupar ini lagi, “apa kejadahnya audiens duduk membatu di dalam gelap?”. Meta-sinema yang dibawanya sudah melangkaui zaman, penonton tidak lagi sepatutnya duduk diam, sebaliknya sudah mula berinteraksi (pengalaman fizikal) atau bersimbiosis dengan imej-imej visual. Jadi karya yang dipersembahkan kebiasaannya kini berupa, apa yang kita panggil art installation. Dari segi kemajuan sinema sebagai meta-sinema, saya cenderung bersetuju dengan pendapatnya. Malah dengan selamba beliau menyamakan filem-filem Martin Sorcese dengan filem-filem D.W. Griffith kembali sejak 1910. Hujahnya bahawa emosi dilayar kelihatan lebih bijak, enjin publisitinya beribu kali ganda lebih baik, akan tetapi format naratif serta organisasi material dan karakternya tetap serupa, tidak berubah, statik.

Meta-sinema itu selari dengan pasca-moden. Ini saya terima sebagai satu landasan diakronis evolusi seni. Cuma masalahnya, di negara serba eklektik lagi keliru ini, pemikiran pasca-moden hanyalah satu lawak jenaka semata-mata. Orde!

Tradisional—Moden—Pasca-moden

Pasca-moden menolak modeniti seratus peratus, manakala modeniti menolak tradisi seratus peratus. Salah satu ciri modeniti adalah dengan menolak hiasan (ornament) sebagai nilai estetika. Kita ambil contoh baju kurung tradisional, dengan teluk belanga/cekak musang berserta pesak dan kekek. Kainnya biasanya bercorak bunga-bunga kecil. Ia berbeza dengan baju kurung moden, yang sepatutnya tidak lagi berbunga-bunga. Dari segi potongan pula, pesak dan kekek dibuang (tolak tradisi.) Malah ada juga yang satukan baju kurung dan kain sekali macam dress. Lepas itu, baju kurung pasca-moden pula – rasanya belum dibuat orang – tapi pokoknya geometri paten pesak dan kekek yang dibuang tadi didekonstruk (revive) menjadi sesuatu yang baru. Kalau saya pereka fesyen, baru kurung moden tadi dibikin seperti dress paras atas lutut (ya, memang seksi,) kemudian paten kekek dijadikan poket (comel) manakala pesak dijadikan waist line ala belt gitu. Teluk belanga atau cekak musang boleh dekonstruk menjadi sesuatu yang baru. Malah pada tahap ini, material kain boleh diadu domba: kain kapas, cashmere, sheer, jersey, denim, linen, lycra, leather atau suede belasah saja, eklektika!

Berbalik kepada realiti estetika masyarakat kita. Macam mana nak moden sedangkan kedai kain di negara kita ini penuh dengan kain bercorak? Lebih kacau bila kain-kain itu berkilau, bercorak penuh dan berlabuci, over bak kata omputih. Estetika tradisional ini patut dibuang jauh-jauh. Ini sangat penting, pencerahan estetika mesti berada di tangga teratas revolusi sosial.

Sekarang, dari kedai kain ini akan saya bawa anda masuk ke dalam filem dan televisyen, apa yang kamu nampak? Ok, pertama sekali pemikiran tradisional, ahli keluarga golongan borjuis yang tak habis-habis berebut harta atau cinta di antara dua darjat, tipikal, klise. Takpe, mungkin terlalu berat atau deep untuk berfikiran moden (yakni hanya dengan menolak tradisi.) Mula-mula kita tengok kereta, ah, rekabentuk moden Eropah, BMW, clean & sleek, cun. Tapi bila kita masuk ke dalam istana si borjuis tadi, aik? Kerusi gajah? Langsir bercorak? Bingkai gambar berukir? Pasu bunga berhias? Hey ini art direction, kalau bajet sifar atau rendah tak mengapa, ini bajet ribu-ribu tahap industri. Percanggahan demi percanggahan estetika ini serius membingungkan, malah sampai satu tahap, menghina intelektualiti saya selaku penonton.

Sebab itu saya percaya bahawa kita perlu redefine kembali modeniti (rujuk: remodeniti,) sebab kita belum betul-betul moden. Dalam senibina, kalau kamu nak tahu, Masjid Negara adalah simbol modeniti sebenar. Malah adalah identiti negara Malaysia, ianya original dan tak pernah dibuat orang. Kepada yang layan semiotik, bumbung Masjid Negara adalah simbol payung, yang memayungkan kita daripada hujan panas, sekaligus bertindakbalas dengan iklim negara ini. Tapi hairan, identiti Malaysia ini tidak dikembangkan atau diterapkan ke dalam Putrajaya. Identiti orang lain yang dicedok, mengecewakan. Sama macam filem dan televisyen, identiti orang lain yang dicedok, kasihan.


Ridhwan Saidi

Jumaat, Julai 24, 2009

Katering dan Keikhlasan

Keikhlasan sering menjadi percaturan dalam hidup. Bila saya menuduh masakan pihak katering selalunya hampeh, ini juga bersangkut paut dengan soal keikhlasan. Mereka akan berperang antara keikhlasan dan keuntungan. Malah orang yang pandai masak sekalipun, jika tak ikhlas, atau waktu dia masak itu dia sedang marah, masakannya berkemungkinan besar jadi hampeh juga. Oh, sudah tentu, tidak semua syarikat katering yang bersikap tak profesional dan gelojoh dalam mencari untung. Lagipun, ini hanya pandangan empirikal saya sendiri, berdasarkan beberapa pengalaman yang lepas.

Jadi, macam mana saya boleh tuduh masakan sesetengah pihak katering selalunya tak sedap? Berdasarkan hipotesis mentah saya, saya merasakan ia berpunca dari tiadanya unsur keikhlasan ketika masakan itu disediakan. Pihak katering memasak berdasarkan upah. Mereka sedang melakukan bisnes. Orientasi klasik sesuatu bisnes adalah melibatkan modal dan untung. Maka mereka akan bercatur-catur tentang bagaimana modal dapat diminimumkan dan untung pula dimaksimakan. Ini hukum biasa orang berniaga. Saya tak berminat untuk mengatakan ianya satu ‘kesalahan’ atau apa.

Tapi dalam masa yang sama, bahana dari percaturan ini, makanan yang disediakan tak cukup enak. Justifikasi akhir keenakan masakan terletak pada deria rasa, yang hanya dapat ditentukan dengan lidah. Namun mata dan hidung berperanan dalam membentuk persepsi awal tentang sesuatu kualiti makanan. Mata dan hidung berfungsi membangkitkan selera. Ia mengolah cadangan awal, sama ada masakan itu memang menarik atau sebaliknya.

Pihak katering, termasuk juga dengan pengusaha hotel lazimnya bijak memanipulasi deria pandang dan bau untuk mengaburi ‘rasa’ sebenar terhadap sesuatu jenis makanan. Kerana itu, tidak jarang pihak katering atau hotel yang akan mendandan dan menghias makanan itu cantik-cantik, untuk mengolah persepsi awal kita terhadap makanan itu. Ini penipuan yang sering dilakukan oleh pengusaha hotel dan chalet. Kadang-kadang, temberang mereka ini memang betul-betul licik.

Sebagai misalan, terdapat segelintir pengusaha hotel yang mendapatkan bekalan makanan seperti nasi lemak dari pengusaha luar, selalunya pengusaha persendirian yang dibeli dengan kos yang murah kerana dibeli secara pukal. Sampai di hotel, nasi lemak ini akan dihias cantik, dihidang atas pinggan mahal. Dengan mengguna-pakai taktik pembohong ini, mereka akan menaikkan harga nasi lemak tadi berkali ganda. Kalau harga dari pengusaha asal nasi lemak ini RM1 sebungkus, sampai saja atas pinggan mahal milik hotel/chalet, tak semena-mena harganya melambung jadi RM5 sepinggan. Mereka yang makan nasi lemak itu pula akan dilimpahi ilusi prestij, kelas tinggi, hebat dan sebagainya. Padahal pengujung hotel terbabit tak sedar mereka telah ditipu hidup-hidup.

Berbalik kepada pihak katering tadi, ya, sesetengah mereka tak ikhlas kerana mereka memang hanya mahu buat duit. Mereka ini pula selalunya pandai mengaburi mata pelanggan dengan menyediakan pelbagai jenis hidangan. Namun, kualiti setiap hidangan itu yang dipersoalkan sebenarnya. Mereka biasanya akan menggunakan kos yang paling murah dan hasilnya, makanan itu tak memuaskan. Contohnya, kalau hidangan itu nasi ayam, ayam yang mereka sediakan ciput dan kedekut. Kadang-kadang, mereka hanya meletakkan tongkeng ayam. Ini boleh disifatkan sebagai ‘mencuri ketika memasak.’ Maksudnya, mereka akan mencari helah, bagaimana makanan itu dapat disediakan dengan kelihatan ‘sempurna’ tapi hanya menggunakan bahan-bahan masakan yang paling cikai sekali.

Lain pula ceritanya dengan orang-orang lama yang menjadi tukang masak di kampong untuk acara kenduri-kendara. Saya percaya, kebanyakan dari tukang masak ini tak berkepentingan dan lebih ikhlas. Selalunya atas sebab kenal sama kenal, si tukang masak bersedia untuk ‘menolong’ menyempurnakan majlis si tuan rumah. Oleh kerana itu, si tukang masak tak akan memikirkan agenda ‘keuntungan.’ Tukang masak juga akan dibantu secara sukarela oleh beberapa orang anak buah tanpa sebarang upah.

Namun tuan rumah yang berhati perut biasanya tetap akan memberi sedikit upah kepada tukang masak. Tak banyak, antara RM 50-100 berserta dengan dua tiga kotak keretek. Caranya, tukang masak hanya perlu menyenaraikan bahan-bahan masakan yang diperlukan. Ada barang, segala-galanya akan beres. Kebiasaanya, proses ini dilakukan atas persetujuan bersama. Dalam sesetengah keadaan, tuan rumah akan membawa sekali tukang masak ketika memilih dan membeli bahan-bahan masakan terutamanya beras. Tukang masak yang bagus lazimnya cukup arif menilai kualiti beras.

Jadi, jika tuan rumah mahu kualiti masakan yang baik, dia pasti akan mendapatkan bahan masakan yang berkualiti. Jika si tuan rumah kekurangan modal, atau mungkin memang dasar kedekut tahi hidung masin untuk menyediakan bahan-bahan berkualiti, masakan itu beresiko untuk jadi tak sedap, dan ini bukan masalah si tukang masak dan anak buahnya.

Sebagai kelangsungan, andai simbiosis tuan rumah dan tukang masak ini baik, maka masakan itu akan berpotensi besar untuk berasa sedap. Saya sendiri tak tahu bagaimana, macam misteri nusantara pula. Ini mungkin juga magik keikhlasan, yang melangkaui perhitungan untung-rugi. Mereka sama-sama mahu menikmati masakan yang enak, bukan seperti pihak katering yang lebih berminat mendapatkan wang semata-mata dari hasil kerja mereka. Kalau ada tetamu yang hanya merasa tongkeng ayam, mampuih pi la!

Sebab itu juga, kita mungkin biasa terbaca kesah wanita muda yang berkahwin dengan datuk tua bangka yang akhirnya berkecai di tengah jalan. Saya percaya, itu berpunca dari tiadanya keikhlasan dari kedua-dua pihak. Yang perempuan hanya berkehendakkan harta si tua, manakala si tua ini pula hanya mahukan pulangan seks. Masing-masing punya agenda peribadi yang tersirat.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Isnin, Julai 20, 2009

Disampuk Kertas Merah

Saya tak berapa suka untuk pergi ke majlis perkahwinan. Tak kiralah perkahwinan sesiapa pun. Saya tiada alasan kukuh akan hal ini. Selalunya, saya sedaya upaya mengelak dari dijemput. Tapi setidak-tidaknya, pengalaman cetek menghadiri beberapa majlis kenduri kahwin sebelum ini pantas dijadikan modal. Terutama sekali, bila seseorang datang menjemput, bukan sekadar dengan layangan kad jemputan, tapi juga dengan mulut. Atas rasa rasional kemanusiaan, kadangkala saya akur dan pergi jua.

Biasanya saya datang memenuhi jemputan untuk makan saja. Tapi sambil-sambil, saya kerlingkan mata melihat gelagat manusia pelbagai ragam. Ragam yang adakalanya lucu, ada waktunya juga menyesakkan nafas. Saya lihat, ada anak kecil menangis, tertawa riang, berkejaran, makcik-mak cik sibuk mengomel, pak ciknya pula sedang asyik menyedut tembakau. Ada yang buat-buat sibuk, ada juga yang buat-buat peramah. Bagi budak lelaki ‘yang baru nak naik’, masa ini mereka akan berlagak terjal, terutama di depan ‘awek-awek’, konon biar nanti nampak cool, padahal tak sedar perangai macam bahlul.

Saya masih tak faham, apa yang menariknya dengan kenduri kahwin. Berada di bawah khemah dalam cuaca yang panas, memang merimaskan bagi saya. Badan jadi melengas, melekit, ketiak basah bermandikan peluh. Lepas itu, sesetengah tuan rumah cuba menghiburkan para tetamu dengan sesi karaoke. Zaman sekarang pakai karaoke, mungkin lebih senang dan menjimatkan jika dibanding dengan menyewa sebuah kugiran muzik. Sambil mulut menyumbat makanan, sambil itu juga telinga disumbat dengan nyanyian sumbang para penyanyi amatur. Nasi terus jadi tak sedap. Tambahan pula, kalau yang dimakan itu nasi minyak, makan di bawah khemah yang dipanah panas mentari, sambil peluh bercucuran di dahi.

Ha, lagi satu, orang Melayu sibuk sangat nak tengok pengantin. Apa pasal? Mungkin kerana teruja nak tengok ‘raja sehari’ bersanding, kot. Ye lah, esoknya dah tak jadi ‘raja’ lagi dah. Seumur hidup, ‘sekali’ je dapat jadi raja. Kalau lepas ni nak jadi ‘raja’ lagi, mungkin kena pergi menyeberang Sungai Golok atau Hadyai. Orang Melayu memang suka bab-bab raja ni. Macam nenek saudara saya, mak saya cerita, kalau pergi kenduri kahwin memang takkan balik selagi tak dapat tengok pengantin. Jadi, suka tak suka, terpaksalah tunggu orang tua tu. Ye lah, dah tua, mana lah tau dah nak jalan… karang mengidam pula.

Bila sebut pasal bersanding ni, ha, yang ini pun satu hal. Saya sampai sekarang gagal menikmati estetika persandingan. Saya langsung tak seronok tengok sepasang lelaki dan perempuan duduk terpaku dalam keadaan 'control' di atas pelamin. Apa yang syok sangat entah. Mak andamnya pula bijak, menyolek pengantin dengan make-up, mak datuk, tebal nak mampus! Macam kena tempek dengan tepung gomak. Nak berlakon opera Cina ke apa? Dari segi pakaian, pengantin lelaki memakai persalinan ala-ala raja Melayu gitu, siap dengan keris, rupa dah macam pendekar. Si perempuannya pula, macam pemaisuri dari negeri kayangan mana entah. Tapi saya tengok, saya pula yang rasa rimas. Persalinannya nampak serabut. Apa mereka tak rimas ke? Tak panas ke? Kalau yang sanding kat hotel tu, lain ceritalah.

Tapi jika diperhalusi pemerhatian, kita akan dapati sedikit-demi sedikit acara kenduri kahwin juga mengalami perubahan, hasil asakan, bukan saja kemodenan, tapi perubahan corak fikir dan kepercayaan masyarakat. Kita ambil acara persandingan sebagai contoh. Acara ini kalau diikutkan, memang tebal dengan pengaruh Hinduisme seperti acara menabur beras kunyit atau menepung tawar. Kalau rajin tengok filem Hindustan atau Tamil, pasti kita pernah terserempak dengan adegan yang sama, lebih-lebih lagi jika filem itu melibatkan adegan perkahwinan. Ini kerana memang nenek moyang kita, sebelum kedatangan Islam, kalau tak sembah pokok, sembah api, lepas tu, jadi penganut Buddha, atau Hindu. Mujur juga Nabi Muhammad bukan seorang fasis. Kalau tak…

Pengaruh Hinduisme ini, secara umumnya sampai sekarang tak berubah. Ada pengantin yang berbusanakan ala Barat, tapi masih ditepung tawar dan direnjis-renjis dengan apa benda entah. Air mawar kot? Aik, bukan ke yang orang siram kat kubur tu pun air mawar juga? Entah le. Kalau dilihat pengaruh Barat, rasa saya yang paling ketara ialah ketika acara memotong kek tinggi bertingkat sampai ke siling. Yang ini memang obvious, kalau sesiapa sangkal memang patut kena tempeleng. Saya tertanya, mungkinkah pengaruh potong kek ini diceduk dari filem-filem Hollywood?

Kemudian, kalau perasan, orang sekarang suka buat majlis resepsi. Yang ini pun tiru mat salleh. Dulu setahu saya mana ada. Yang ada hanya acara kenduri makan-makan, lepas akad nikah. Kenduri dulu-dulu bagi saya menarik la juga, sebab yang terlibat akan bergotong-royong merewang. Kopek bawang sama-sama, hiris lada ramai-ramai, kacau nasi kawah bergilir-gilir. Dirikan balai/khemah pun ramai-ramai. Berat sama dipikul, ringan sama di…? Takkan dah lupa, bang... Jadi majlis itu lebih bermakna dan menyeronokkan, sebab ada acara rewang ni semua. Biasalah, kalau dulu-dulu, di kampong-kampong memang orang dalam kampong tu saja yang merewang. Orang kampong ni pula kebanyakkannya saudara mara antara satu sama lain. Jiran depan rumah, saudara, sebelah rumah, saudara, selang tiga rumah, saudara, ah, siasat punya siasat, satu kampong bersaudara rupanya! Tapi itu dulu…

Kalau sekarang, orang ramai pindah duduk di bandar. Biasanya atas faktor nak cari makan, lah. Duduk dalam taman perumahan, kat rumah teres satu, dua tingkat, atau apartmen bertingkat-tingkat. Jadi, macam mana nak merewang? Payah! Nak selesai masalah, panggil katering. Semuanya dok pakai upah. Kesannya, belanja jadi makin mahal. Maka terbunuhlah budaya rewang… Inilah dia tuntutan zaman. Kat Singapura, benda-benda macam ni dah berlaku lama dah, sebab mereka rata-rata tinggal di rumah pangsa.

Bagi yang berada sikit, mereka mungkin sewa dewan orang ramai, atau hotel. Jadi, para tetamu hanya perlu bawa perut. Kalau majlis tu di hotel, tetamu makan atas meja bulat, yang barangkali memuatkan lapan susuk manusia dalam satu-satu masa. Macam dalam Anugerah Grammy kat Hollywood. Masakan biasanya tak sedap, sebab yang masak orang katering. Syarikat katering ini orangnya bukannya pandai masak, dia tahu meniaga saja. Kalau gelas, guna gelas yang ada kaki. Ala, yang macam orang putih isi wain merah tu la. Cuma orang kita tak berani la nak pakai wain yang betul-betul punya. Jadi depa pergi tuang dengan pseudo wain a.k.a air sirap. Maka kita pun berilusilah yang kita sudah ada kelas, ada prestij, tak pun macam mat salleh la gamaknya, sebab warna minuman dalam gelas berkaki tu, merah. Itu yang saya tension, gelas saja bergaya mat salleh, tapi isinya masih sirap...arrgghhh!

Dari majlis perkahwinan ini, kita dapat menyedari betapa budaya Melayu itu memang tak fix, tidak tetap kepada sesuatu unsur atau elemen saja. Ia bukanlah sesuatu yang mendukacitakan, bukan jua berita buruk umpama kiamat datang esok. Saya mengerti, budaya kita sebaliknya budaya yang ditabur dengan pelbagai rencah budaya yang berlainan, dan sentiasa berevolusi mengikut peredaran zaman. Masakini, faktor penting yang mempengaruhi perubahan budaya kita pastinya media massa.

Eh, nanti sat, saya nak tanya. ‘Resepsi’ ni pundek apa?


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Sabtu, Julai 18, 2009

Nasi Goreng Colosseum

Tahun lepas ketika sibuk kononnya mahu mencari hakikat kehidupan di Kuala Lumpur. Entah bagaimana saya telah diajak ke Melaka oleh Razaisyam, ya, mamat yang bikin My Indie Rock Darling (2008) itu kononnya untuk tayang filem pendek “bersama”. Dia dengan Konsekuensi (2007), manakala saya dengan Ah Long dan Cekik (2008) (takde modal lain.) Kami janji akan bertemu di KL Sentral. Terkejut, ada sosok lelaki kurus berkaca mata, berambut panjang ikut sekali. Nama dia Fahmi Reza, ya, yang bikin *10 Tahun Sebelum Merdeka (2007) itu. Dari situ, kami bertolak menaiki kereta Razaisyam untuk tayang filpen/dokumentari masing-masing di MMU Melaka.

Di dalam kereta si Razaisyam tak habis-habis mempromosikan dua perkara yang menarik di Melaka; buah-buahan fresh dan **nasi goreng colosseum. Katanya, nasi goreng ini sedap gila. Paling menarik bentuknya seperti Colosseum di Rome dengan nasi goreng diisi di tengah. Rasa ingin tahu tekstur/material apa yang digunakan untuk bina dinding colosseum itu membuak-buak. Adakah keropok? Atau roti? Jujur, sehingga hari ini saya masih mengidam nasi goreng colosseum ini.

Dipendekkan cerita, kami tiba di Melaka disertai dua orang lagi (tak ingat nama, tapi ingat rupa.) Selaku yang paling naïf dengan konsep “screening” ini, maka filpen saya ditayang dahulu. Ada juga dalam sejam kami tunggu kru-kru teknikal terkial-kial cuba pasang ***Cekik.

Saya: Kenapa, ada masalah ke?

Kru teknikal (berpeluh-peluh): Sorry bang, kami ada masalah teknikal, audio tak work, kami tengah cari kabel lain.

Saya: Ooh ok, tapi filem pendek ni filem bisu tau, takde bunyi.


Ridhwan Saidi

* Hairan, masih ramai anak muda yang berkomputer tidak sedar tentang kewujudan dokumentari ini.
** Restoran nasi goreng colosseum itu tutup semasa kami tiba.
*** Cekik Re-cut baru ditambah bunyi.

Khamis, Julai 16, 2009

Maggi Goreng

Tiga budak Melayu yang celik teknologi, kreatif lagi "artistik" sedang lepak di kedai mamak untuk makan malam. Kesemuanya pesan Maggi goreng. Lama selepas itu, muncul tiga orang pelayan menghidangkan tiga pinggan Maggi goreng di hadapan tiga budak Melayu itu. Seterusnya ketiga-tiga pelayan ini pun menyuapkan Maggi goreng itu (dengan menggunakan garfu) ke dalam mulut ketiga-tiga pelanggan Melayu itu. Tidak perlu buat-buat hairan, situasi ini hakikat "industri" yang berlaku di negara bertuah ini.

Filem itu makanan minda. Aku sediakan/hidang, kau suap sendiri. Apa kejadahnya aku kena suapkan Maggi goreng ke dalam mulut kau?


Ridhwan Saidi

Sabtu, Julai 11, 2009

Produksi dan Kolektif

Tatkala saya sedang menulis entri ini, saya sudah pun lupa semua karangan yang pernah saya tuliskan sebelum ini. Malah username blog Gua Tak Peduli pun saya dah lupa, celaka. Tapi tidak mengapa, rasanya apa yang ingin saya sentuh kali ini belum pernah ditulis.

Bagi saya unsur yang menggerakkan sesebuah produksi adalah duit – dan tugas seorang produser adalah untuk mengawal/memantau aliran duit agar simbiosis kos—untung dalam kitaran yang diingini. Disebabkan duit ini umpama nadi atau darah yang mengalir di dalam sesebuah produksi, dengan itu semestinya ikatan yang terbina di antara kesemua pasukan produksi itu juga adalah duit atau dengan lebih mesra dipanggil gaji. Tapi ada juga yang kononnya cuba sulami hubungan diantara pasukan produksi itu dengan kasih sayang. Ini saya tidak hairan kerana akhirnya duit juga yang diperlukan untuk suap anak bini di rumah, di negara bertuah ini.

Tidaklah bermakna saya menolak konsep duit (walaupun saya pernah bakar duit kertas RM50), tapi disebabkan projek filem pendek saya tidak dibiayai dana satu sen sekalipun. Maka dengan itu ia terpaksa bergerak secara kolektif/himpunan individu, yakni atas dasar minat semata-mata ditunjangi idea, (ditokok faktor ‘misteri’ bin filem.) Semestinya budaya kerja konvensional lagi glamer ala-ala industri ditolak habis-habisan. Jangankan “action” atau “cut,” pengarah pun tiada. 

Selain budaya kerja di belakang tabir, proses rakaman konvensional (dalam konteks sekolah filem tempatan terutamanya) juga disodok. Kebiasaannya kamera, cahaya serta bunyi dirancang pacak (kononnya supaya cantik dan tidak diganggu oleh kebenaran) dan kemudian si pelakon yang dibedak akan masuk ke dalam ruang artifisial itu. Dengan kata mudah, apa yang ingin dipaparkan dirancang dengan kepuraan demi kepuraan. Untuk menerbalikkan ini semua, mudah, bukan pelakon atau subjek yang perlu masuk ke dalam ruang rakam kamera, tapi sebaliknya kamera yang perlu mengikuti subjek di dunia realiti. Andai kata tiba-tiba si pelakon tidak mahu berlakon, mahu balik rumah, kamera mesti terus ikut, serius.

"Ianya jauh dari mudah untuk menunjukkan kebenaran, tapi kebenaran itu cukup mudah." –Dziga Vertov

Dalam Kaki Lima, selain daripada metafora Buta, Rabun, Celik, pengadeganan serta gerakan kamera juga dirancang bersebab. Kalau kamu rajin, ketika si Celik sedang memimpin si Buta, kamera/audiens bergerak ke hadapan/maju, tapi pabila kamera/audiens mengikuti si Rabun beretorika pula, ia bergerak mengundur ke belakang. Maju/undur ini mise en scène bagi saya (selain faktor ruang-masa.) Walau apapun hasil akhir filpen ini cukup subjektif. Ini cocok dengan skala universiti yang seharusnya dipenuhi dengan audiens yang aktif lagi kritikal dan bukannya pasif. Filem pendek dalam erti kata sebenar, dan bukannya drama pendek!

Jujur sebenarnya saya tidak gemar pendekatan realis atau vérité separa Kaki Lima dan lebih meminati kolaj montaj bisu yang berbahasa dengan bayang-bayang visual penuh efek-efek Kuleshov. Walau bagaimanapun, tidaklah bermakna saya melakukannya secara lewa. Adapun Kaki Lima ini hanya sekadar projek sisi spontan, ditulis dengan penuh rasa kekecewaan, dalam durasi yang singkat. 


Ridhwan Saidi

Sabtu, Julai 04, 2009

Jenayah Filem

Pernahkah kamu terfikir, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘filem jenayah?’ Setahu saya, jenayah dalam filem belum lagi dapat dilihat sebagai satu genre filem yang khusus. Penafsirannya sebagai satu genre masih lagi terbuka kepada pelbagai kemungkinan dan terlalu umum. Apakah kriteria umum untuk sesebuah ‘filem jenayah?’ Bagaimana mahu menaksirkan sesebuah filem itu sebagai ‘filem jenayah?’ Apakah ada cinematic form yang khusus untuk menjatuhkan label terhadap sesebuah filem itu sebagai ‘filem jenayah?’

Adakah filem jenis ini wajib melibatkan adegan-adegan ganas, tembak-menembak, kejar-mengejar, kereta terbalik, letupan-letupan extravaganza, polis, samseng, wanita penggoda, cerut Cohiba, kepukan dollar atau apa? Adakah ia mesti membabitkan Mafia dengan susuk penjenayah cult seperti Al Capone? Kalau begitu, bagaimana pula dengan jenayah-jenayah lain seperti rogol, pembunuhan bersiri, atau rasuah politik? Adakah filem jenayah itu Scarface, the Untouchable, Goodfellas, the Usual Suspects, Heat, Blow atau semudah err, Gangster ala Rosyam Nor?

Jika diselak kembali susur galur ‘genre’ ini, ia telah bermula seawal era filem bisu (silent era) lagi, yakni awal abad ke-20. Pernah disebutkan bahawa filem The Musketeers of Pig Alley (1912) adalah antara ‘filem jenayah’ yang terawal. Manakala filem Scarface lakonan Al Pacino pula, yang kita sedia maklum, dihasilkan pada tahun 1983. Tapi, berapa ramai antara kita yang tahu sebenarnya filem arahan Brian De Palma ini merupakan sebuah filem yang dibikin semula sebagai tribute untuk filem Scarface: The Shame of a Nation, dihasilkan pada 1932?

Filem jenis ini (jenayah) juga pernah disabitkan sebahagian daripada filem pasca-perang sekitar awal 1940-an hingga lewat 1950-an yang turut terpalit dalam genre film noir. Noir ini adalah perkataan Perancis yang bermaksud ‘hitam.’ Istilah film noir yang dicipta oleh Nino Frank ini bukan sekadar merujuk kepada ciri filem hitam putih pada waktu itu sahaja, akan tetapi bagi saya, ia juga boleh dilihat sebagai filem yang mengungkap tema perilaku sisi gelap manusia, selain dari adunan pelbagai aspek lain yang meliputi struktur naratif, gaya visual, setting dan karekter. Pertentangan hitam-putih itu sendiri adalah simbolik dialetika antara unsur jahat-baik, negatif-positif. Secara teknikal pula, kontra hitam-putih yang dikuatkan lagi dengan permainan bayang-bayang merupakan mekanisme penyampaian teks dan subteks dalam bingkai filem-filem noir.

Sebagai bukti, jenayah adalah dianggap satu bentuk kesalahan dalam tatacara hidup manusia normal kerana membawa banyak keburukan dan kerugian. Kesalahan jenayah mudah dianggap satu penzahiran sebuah kejahatan. Contoh paling dekat rasa saya ialah filem garapan Orson Welles, Touch of Evil (1958). Sila beri perhatian pada perkataan ‘evil’ pada tajuknya yang bermaksud ‘kejahatan.’ Filem ini sampai ke hari ini berdiri teguh sebagai salah satu filem noir yang paling klasik dalam sejarah, yang menceritakan kisah pertingkahan moraliti sekumpulan pegawai polis. Justeru, saya tertanya-tanya, adakah Touch of Evil ini selayaknya digelar sebagai ‘filem jenayah?’

Sebenarnya, persoalan ini bukannya persoalan yang begitu membelenggu fikiran saya. Saya selalu percaya, terdapatnya hubungan erat antara filem dan penonton. Berlainan dengan cabang seni yang lain, betapa syok sendirinya seseorang pengarah itu, filem tetap memerlukan penonton. Ini yang menjadikan sesebuah filem itu ‘filem’, bukan puisi, lukisan, atau muzik. Misalnya, kamu boleh melukis, lalu, andai lukisan itu mahu kamu perukkan di dalam stor, apa ada hal? Malah, saya berani mengatakan bahawa, setiap filmmaker perlu membabitkan penonton sedari awal pembikinan sesebuah filem itu lagi, iaitu semasa proses merangka cerita. Pendek kata, perlu ada simbiosis antara filem dan penonton. Memikirkan respon audien hanya sesudah filem itu siap ditayangkan adalah tak tepat.

Mengapa saya tuduh begitu? Sebabnya, hubungan filem dengan penonton ibarat pertalian seni bina dengan manusia. Filem mempunyai form dan content. Sama juga halnya dengan seni bina, mengandungi bentuk dan ruang. Bagi saya, senibina tidak akan dikira ‘siap’ selagi ia tidak mula digunakan. Seni bina bermula dari lakaran idea ke peringkat pembinaan dan disudahi dengan kepenggunaan ruang apabila ia siap dibina. Filem pula, bermula dari karangan skrip, ke penggambaran, ke pasca produksi sehingga akhirnya bertemu dengan audien di panggung, barulah ia dikira telah ‘siap.’

Oleh itu, semasa peringkat lakaran idea lagi, arkitek seharusnya menebak setiap kemungkinan yang akan dihadapai oleh bakal pengguna ruang rekaannya, sama ada ia mampu berfungsi dengan baik sekaligus memberi keselesaan fizikal dan mental. Filem, pembikinnya pula perlu memikirkan apakah yang akan dipersembahkan kepada khalayak penonton itu akan, bukan saja ‘menghiburkan’, tapi juga mampu memberi kepuasan mental tanpa memperbodoh-bodohkan mereka (penonton). Ini tergantung kepada mutu content, bukan permukaannya saja. Jika filem itu teruk, ia sama juga dengan ruang bangunan yang menyusahkan pengguna, seperti tinggi siling rumah yang kurang dari tiga meter, yang menyebabkan ruang menjadi panas.

Mengapa ini mungkin terjadi? Puncanya, arkitek itu tidak memikirkan keselesaan manusia sebagai pengguna sewaktu rekaan dihasilkan, akibat hanya mengambil kira seni bina sebagai objek fizikal, kemudian ditampal pula dengan pelbagai elemen estetika picisan. Ini sama juga dengan filmmaker yang mengajak penonton supaya percaya bahawa filem sekadar hiburan semata-mata, tengok saja, tak payah fikir apa-apa dan enjoy. Hasilnya, filem sebegini hanya tinggal seputar soal untung-rugi bagi pembikinnya, manakala penonton cukup sekadar berani bertanya kepada diri sendiri sama ada wang yang mereka laburkan untuk menonton sesebuah filem itu ‘berbaloi atau tidak.’ Itu sebab, saya katakan ketika penulisan skrip lagi, pembuat filem harus mengambil kira apakah yang akan diberi kepada penonton itu bukan hanya ‘a well told story,’ tapi mampu ‘menjentik’ pemikiran penonton.

Tapi, bukankah kita sering terdengar, sesetengah pembikin filem tempatan selalu mengaku bahawa mereka membuat sekian-sekian filem menjadi begitu dan begini lantaran dari memikirkan kepuasan audien? Atau katanya, mengikut kehendak penonton? Adakah ini benar dan boleh dipercayai? Secara peribadi, saya meragui keikhlasan mereka. Kenapa?

Sebagai jawapan, mereka ini lazimnya ‘gemar’ memperbodoh-bodohkan penonton. Apa yang saya maksudkan dengan memikirkan audien ketika mula merangka cerita bukan bererti mengikut kehendak audien atau selalunya dikatakan, ‘memenuhi selera penonton’ secara membuta tuli. Memikirkan audien saat mengarang skrip bermaksud memikirkan sama ada filem yang dihasilkan akan menyentuh minda dan hati penonton, bukan menggula-gulakan mereka. Bukankah filmmaker sepatutnya sentiasa treat audien sebagai orang yang bijak? Jika kita berfikir yang kita akan berurusan dengan orang bijak, maka kita juga wajib memastikan yang kita tak akan memperbodoh-bodohkan mereka. Sebaliknya, jika kita perlu memberi sesuatu kepada orang yang kita anggap bodoh sedari awal lagi, maka kita rasa cukup selamat untuk memberikan yang cincai-cincai sahaja.

Tak dinafikan, filmmaker yang suka beralasan ‘memenuhi selera penonton’ ini juga telah ‘memikirkan’ kepuasan penonton, tapi sekadar untuk memenuhi ruang eskapisme dan hiburan kosong. Tetapi saya percaya pengakuan ‘memenuhi selera penonton’ itu dibuat atas nama keuntungan. Mereka berpegang kepercayaan karut filem sebagai produk bagi memenuhi komoditi pasaran hiburan. Ia umpama melambakkan pasaran dengan barang mainan buatan China. Mereka kata memenuhi selera penonton, padahal hakikatnya mereka memikirkan keuntungan dengan cara mudah. Saya ragu-ragu apakah mereka menghiraukan fikrah penonton, kerana mereka seolah-olah sekadar meletakkan sampah dengan kepercayaan penonton akan tatap apa saja sampah yang disogok di depan mata. Yang lawaknya, mereka sering berkata ‘penonton hari ini sudah matang.’

Kemudian, mereka akan menggunakan beberapa formula tipikal bagi menghasilkan filem bermutu rendah ini. Antara formula basi yang kerap dikitar semula adalah seperti meletakkan ‘baby doll’ yang sedang popular, yang disolek tebal-tebal untuk dijadikan ‘pelakon,’ dengan kepercayaan penonton akan ke panggung kerana mahu melihat baby doll tadi mengilai di layar perak. Unsur kosmetik ini adalah satu penipuan dalam filem, dan penipuan ini juga adalah satu ‘jenayah.’ Dalam hal ini, mari kita berkongsi pandangan dengan arkitek modenis, *Adolf Loos, untuk melabelkan filem-filem sebegini sebagai ‘filem jenayah’ yang sebenar.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Adolf Loos merupakan arkitek modenis tersohor kelahiran Austria yang pernah menulis 36 rampaian esei di bawah tajuk; Ornament and Crime pada 1908.