Rabu, Julai 29, 2009

UFO VS Kubah


Bangunan dalam gambar di atas telah direka oleh arkitek Norman Foster. Siap dibina pada tahun 2005, bangunan ini terletak betul-betul di tengah pusat bandar, berhampiran dengan bangunan Parlimen, Galeri Seni Nasional Singapura, beberapa buah bangunan awam lain termasuk muzium, gedung membeli-belah, rumah kedai dan hotel. Lokasi bangunan ini menjadikannya ramah dengan masyarakat awam. Rekaannya ringkas, hanya berpetak, garis lurus, berdindingkan cladding aluminium dan gelas. Pemilihan material bahagian façade tidak menampakkannya sebagai bangunan yang angkuh, tiada dekorasi yang membazir, sebaliknya lebih menampakkan kesederhanaan. Paling menarik, ada ‘kapal UFO’ yang selamat mendarat di atas bangunan ini, yang menempatkan ruang Mahkamah Rayuan selaku simbolik peringkat tertinggi dalam hireraki sistem pengadilan di negara Singapura. ‘Kapal UFO’ ini juga sekali pandang macam neraca timbang yang cuba melontarkan idea bahawa di sinilah keadilan akan dipertimbangkan seadil-adilnya, sekaligus mengukuhkan sistem kehakiman sebagai salah satu institusi kenegaraan yang berintegriti.

Saya kira, Singapura ini bukan negara pengamal kapitalis moden yang terburu-buru membabi buta, kerana hakikatnya ia sempat juga membangunkan citarasa artistik yang selari dengan terma modeniti yang sebenar. Bangunan mahkamah ini sebagai satu bukti dari sekian banyak bukti lain. Proses urbanisasi negara pulau ini bergerak secara menyeluruh, baik dari segi pola pemikiran warga hinggakan ke bongkah-bongkah bangunan. Berlainan sekali jika dibandingkan rumah para borjuis negara saya dengan borjuis Singapura, yang mana gaya senibina rumah mereka adalah ringkas tanpa ornamen picisan tapi tetap sophisticated, lambang terbaik kehidupan moden sebenar. Begitupun, sebenarnya bangunan mahkamah yang saya ceritakan ini juga telah dikritik oleh sebahagian warga Singapura itu sendiri yang mempertikai pelantikan firma dari negara luar, sampaikan mereka juga tak berpeluang untuk memberi pandangan tentang rekaan itu semasa belum mula dibina.

Tapi kalau nak dibandingkan dengan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di jalan Duta, memang jauh beza. Saya mengatakan rekaan Mahkamah Agung Singapura lebih baik dari bangunan Mahkamah Kuala Lumpur bukan semata-mata ia direka oleh orang putih. Cuma ini kenyataan. Saya pelik bagaimana kita nak mengaku maju dan moden kalau kita masih lagi berminat menghasilkan senibina seperti Mahkamah Kuala Lumpur ini? Itu belum kira lagi kerosakan-kerosakan seperti siling runtuh, dinding retak, paip bocor, termasuklah masalah ruang bilik hakim yang sempit. Bertambah lawak, siap ada cerita di mana bangunan besar bagak ini rupa-rupanya tiada bilik simpanan fail. Mahkamah…tapi tempat simpal fail perbicaraan pun lupa disediakan. Sebagai penyelesaian, sebahagian ruang di bahagian basement telah dikorbankan untuk menyediakan bilik simpanan fail. Bahasa senibinanya juga ternyata keras. Ia langsung tak mencerminkan sebarang unsur ketelusan, tapi rupanya yang terlampau solid dengan tiang-tiang besar mencerminkan sifat kuku besi. Ia memang berjaya memancarkan citra ‘kekebalan’ yang tidak boleh disanggah, hingga ke tahap tak boleh dipercayai. Soalnya, mengapa gaya Neo-Georgian ini yang dirayakan?

Sama seperti kompleks mahkamah ini, di atas bangunan-bangunan kerajaan yang lain macam mahkamah, pejabat dan rumah rasmi perdana menteri di Putrajaya, ditenggekkan juga dengan kubah. Konon sebagai tanda senibina Islamik. Konon menunjukkan negara ini negara Islam. Konon negara Islam yang didominasi oleh ketuanan Melayu-Islam. Walhal kubah itu asalnya dari zaman Byzantine, satu empayar Kristian. Kubah hanya menjadi ‘milik’ Islam setelah empayar Byzantine, dengan kota bernama Byzantium, yang kemudiannya dikenali sebagai Constantinople, dikuasai oleh kerajaan Turki Uthmaniah. Nama Constantinople lalu bertukar menjadi Istanbul. Maknanya, kubah ini dipakai dalam senibina Islam setelah Gereja Hagia Sofia ditukar menjadi masjid. Kemudiannya, kubah telah mengalami proses evolusi hingga mempengaruhi pembentukan senibina Moorish. Ini sekadar bukti, kubah bukannya milik mutlak senibina Islamik. Tapi bila kubah diterima sebagai senibina Islam, ia membuktikan pula yang agama ini sebenarnya bersifat universal dan tidak ortodok. Tapi soalnya, apa itu senibina Islamik? Untuk saya, ia paling penting terletak pada nawaitu dan isi (substance), bukan gaya.

Di negara ini, senibina masjid berkubah tiba melalui gaya senibina Moorish. Tiga contoh jelas ialah Masjid Jamek di Kuala Lumpur, Masjid Zahir di Alor Setar dan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar. Bila kita merdeka, kubah telah cuba digantikan dengan ‘payung.’ Petandanya adalah Masjid Negara, di KL. Tapi perlahan-lahan, ia lesap dari pandangan. Kubah pula yang banyak timbul, terutama sekitar 1990-an. Masalah ini malah berjangkit terhadap senibina tempatan secara amnya. Manakan tidak, daripada senibina tradisional, datang penjajah membawa gaya senibina masing-masing. Paling lama, British yang bertapak di Tanah Melayu yang kurang lebih, 200 tahun. Maka mereka telah membawa senibina Georgian ke mari. Dipendekkan cerita, bila kita konon merdeka, kita konon mahu membina aspirasi Negara baru yang demokratik, bebas merdeka. Lalu kita mengambil gaya senibina moden, bawaan Le Corbusier, misalnya. Bukti ‘kebrutalan’ Le Corbusier ini dapat dilihat pada bangunan Bank Negara.

Senibina moden terputus dari tradisi klasikal Barat. Sebab itu, setelah ia diterima di Barat pada awal abad ke-20, kelansungannya telah diperluas ke negara-negara pasca kolonial termasuk negara ini. Ia menjadi seolah-olah tapak percubaan, bagi mengisi gaya senibina negara-negara pasca kolonial yang masih tercari-cari arah dan identiti senibina nasional. Itu pasal ia mudah di terima di negara ini selepas merdeka. Gaya moden saya kira bergerak di atas landasan yang tepat, dari era 1960-an, 70-an hinggalah ke awal 80-an. Antara bangunan yang saya rasa menarik ialah Masjid Negeri di Bandar Seremban, Wisma Ekuiti dan Pejabat Pos Besar di Kuala Lumpur.

Yang saya perasan, dah elok-elok moden, tiba-tiba masuk saja pertengahan 1980-an dan awal 1990-an, ia mula tergelincir dari landasan. Tak pasal-pasal, kita berlaku curang terhadap gaya moden. Entah kenapa, kita tiba-tiba bernostalgia dengan membawa senibina Revivalist. Kita mula membina bangunan-bangunan besar yang berbumbung limas. Mulalah kita sibuk membina ‘senibina Melayu moden’. Walhasilnya, dapatlah kita tengok menara Bank Simpanan Nasional sebagai antara bangunan yang paling hodoh di KL. Saya syak, ini mungkin kerana dipengaruhi unsur politik etnosentrik, lebih-lebih lagi bila kuasa politik parti utama yang memerintah semakin dominan. Dari konon-konon Melayu, orang kita, semua bangsa, mula beralih membawa kembali senibina Neo-Klasikal dan Georgian yang kedua-duanya adalah warisan Barat.

Tapi sefaham saya, malah ikut logik pun, Revivalist ini tujuannya nak mengembalikan semula tradisi tempatan untuk dirayakan dalam konteks semasa. Dah tu, yang kita terhegah-hegah merayakan tradisi Barat ni buat apa? Bukan ada kena mengena dengan kita pun! Betul, dulu zaman British mereka membina gaya Georgian/Victorian di sini, tapi itu kan zaman dijajah? Bila kita merdeka, maknanya kita mestilah putuskan warisan penjajah ini. Ganti dengan yang baru, yang bebas dari lambang penjajahan. Sekarang yang terjadi, kita seolah-olah merayakan kembali penjajahan. Fenomena ini mengingatkan saya dengan pengalaman negara Amerika Syarikat. Selepas Revolusi Amerika, mereka menolak gaya Georgian/Victorian ini sebagai usaha pelupusan saki-baki pengaruh Britain. Sebagai negara yang masih hijau ketika itu, ia seakan satu percubaan mencari identiti sendiri. Namun menjelang awal abad ke-20, entah kenapa mereka mula bernostalgia tentang masa silam. Maka sekonyong-konyong muncul pula dengan apa yang dipanggil sebagai senibina ‘Colonial Revival.’ Apa yang terjadi di Amerika dulu, itulah yang berlaku di negara kita hari ini. Kita boleh panggil Norman Foster untuk design pangsapuri mewah Troika, tapi dalam masa yang sama, ada lagi bangunan-bangunan yang berpura-pura tradisional, konon nak mengekalkan ‘warisan’. Paling lucah, katanya nak melambangkan ‘identiti’.

Masalah ini juga saya percaya berpunca dari aspirasi sosial para klien. Maksud saya, klien-klien ini, yang rata-rata dari kalangan borjuis kebangsaan selain mengalami sindrom yang dipanggil sebagai ‘undeveloped artistic taste’, ia juga adalah manifestasi pemikiran mereka yang cuba sedaya upaya untuk kekal eksklusif. Lantas, mereka dengan pantas mencilok gaya luar yang terdiri dari senibina Neo-Klasikal, (Greek/Roman/Palladian) dan Neo-Georgian/Victorian atas keyakinan senibina yang dirasakan mahal kerana berukir ini tidak akan mampu dimiliki oleh orang biasa. Malah bukan saja atas faktor kos, tapi dari segi skala dan propotion-nya juga, gaya senibina Neo-klasik/Georgian relatifnya memerlukan saiz bangunan yang lebih besar seperti saiz maligai mewah. Gaya seperti ini jika yang dikenakan ke atas rumah/bangunan bersaiz kecil atau sederhana akan menyebabkan rumah/bangunan itu kelihatan ‘pelik’. Dengan itu, saiz besar berserta ukiran-ukiran palsu ini semua akan dapat membezakan kelompok borjuis ini dengan orang kebanyakan. Agaknya fikir mereka, dengan cara itu mereka akan dapat terus kekal eksklusif, selain cubaan untuk menunjuk-nunjuk. Sedangkan kalau dibuat rumah/bangunan dengan gaya moden sebenar, ringkas, elegan, tiada dekorasi palsu, mungkin ramai orang yang tak elitis mampu menikmati gaya estetika yang sama.

Mengenangkan nasib senibina di negara ini, saya sedih dan pilu. Penuh dengan kekeliruan dan tiada arah. Dalam kita tak malu mengaku moden, sempat pula kita merojakkan pelbagai gaya tradisional dengan moden. Tak cukup Melayu, kita tenggekkan kubah tanda Islamik. Tak cukup kubah, angkut pula Neo-Klasikal/Georgian/Victorian yang merupakan warisan budaya luar. Kemudian, gaya seperti Georgian dirojakkan pula dengan tiang-tiang klasik Roman dan Greek, tapi masih guna tingkap cermin gelap dan pintu sliding. Ini tandanya kita masih keliru dan tak menepati hukum estetika moden. Macam pakai tanjak kat kepala, lepas tu pakai baju kemeja. Ataupun pakai baju kebaya nyonya, padankan pula dengan blouse. Apa jadi? Lawak!


Mohd Ikhwan Abu Bakar