Sabtu, Julai 18, 2009

Nasi Goreng Colosseum

Tahun lepas ketika sibuk kononnya mahu mencari hakikat kehidupan di Kuala Lumpur. Entah bagaimana saya telah diajak ke Melaka oleh Razaisyam, ya, mamat yang bikin My Indie Rock Darling (2008) itu kononnya untuk tayang filem pendek “bersama”. Dia dengan Konsekuensi (2007), manakala saya dengan Ah Long dan Cekik (2008) (takde modal lain.) Kami janji akan bertemu di KL Sentral. Terkejut, ada sosok lelaki kurus berkaca mata, berambut panjang ikut sekali. Nama dia Fahmi Reza, ya, yang bikin *10 Tahun Sebelum Merdeka (2007) itu. Dari situ, kami bertolak menaiki kereta Razaisyam untuk tayang filpen/dokumentari masing-masing di MMU Melaka.

Di dalam kereta si Razaisyam tak habis-habis mempromosikan dua perkara yang menarik di Melaka; buah-buahan fresh dan **nasi goreng colosseum. Katanya, nasi goreng ini sedap gila. Paling menarik bentuknya seperti Colosseum di Rome dengan nasi goreng diisi di tengah. Rasa ingin tahu tekstur/material apa yang digunakan untuk bina dinding colosseum itu membuak-buak. Adakah keropok? Atau roti? Jujur, sehingga hari ini saya masih mengidam nasi goreng colosseum ini.

Dipendekkan cerita, kami tiba di Melaka disertai dua orang lagi (tak ingat nama, tapi ingat rupa.) Selaku yang paling naïf dengan konsep “screening” ini, maka filpen saya ditayang dahulu. Ada juga dalam sejam kami tunggu kru-kru teknikal terkial-kial cuba pasang ***Cekik.

Saya: Kenapa, ada masalah ke?

Kru teknikal (berpeluh-peluh): Sorry bang, kami ada masalah teknikal, audio tak work, kami tengah cari kabel lain.

Saya: Ooh ok, tapi filem pendek ni filem bisu tau, takde bunyi.


Ridhwan Saidi

* Hairan, masih ramai anak muda yang berkomputer tidak sedar tentang kewujudan dokumentari ini.
** Restoran nasi goreng colosseum itu tutup semasa kami tiba.
*** Cekik Re-cut baru ditambah bunyi.