Ahad, April 12, 2009

3 Budak Bumiputera

"ah, aku bosan dengan sisa sisa keju ini." – Rozinor Razali

Filem 3 Budak Melayu (2009) oleh Mamu ini secara amnya agak menarik untuk dikupas unsur satira syot babak-babaknya, tapi dalam masa yang sama sintaksisnya serabai. Perjalanan filem ini mengelirukan, ia cuba membawa audiens tentang kepayahan seorang pelajar filem untuk bikin filem. Tapi daripada apa yang dipaparkan, filem ini lebih kepada kepayahan seorang pelajar filem untuk beli kamera video terpakai semata-mata. Dan isu yang ditekankan adalah dalam bentuk wang ringgit, halangan ini sangat remeh lagi picisan. Tambah parah, 3 budak Melayu ini kononnya ‘bijak’ untuk berjimat serta rajin seperti makan percuma di kenduri-kenduri kahwin tapi ironinya mereka pandu kereta (yang menggunakan petrol.) Semangat kebebasan dan bikin sendiri (a.k.a d.i.y) –nya berbaur hipokrasi dan boleh dipertikaikan.

Separuh masa selepas mereka sudah ada kamera video, ianya jadi main-main. Filem yang dibikin itu tiba-tiba ghaib, dan diakhiri dengan majlis perkahwinan salah seorang daripada 3 budak Melayu itu. Resolusinya aneh, bukan filem yang disiapkan, tapi mereka berkahwin, adakah ini yang dipanggil ‘kerja separuh jalan?’. Tanpa disedari, ia seolah satu penghinaan terhadap proses bikin filem dan seterusnya media filem itu sendiri.

Dari segi lakonan, pelakon-pelakon ini 'katanya' natural dan bersahaja (rujuk realism) serta ada elemen slapstik (rujuk classicism,) dan mereka ditampal di atas konteks ruang yang meloncat-loncat dari satu ruang ke ruang yang lain (rujuk formalism.) Eklektika bak rojak! Tidak dapat dinafikan ia sememangnya ‘sebuah filem Malaysia.’


Ridhwan Saidi